As salam tuan di talian, Betulkan penggunaan perkataan memperbaiki atau perbaiki dalam ayat di bawah. 1. Cikgu Salina meminta Salman agar memperbaiki karangannya yang lemah itu. atau 2. Saya akan perbaiki karangan saya yang lemah ini. Sekian terima kasih dan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. | 1. Cikgu Salina meminta Salman agar memperbaik karangannya yang lemah itu. 2. Saya akan baiki karangan saya yang lemah ini. | Tatabahasa | 01.10.2014 |
Apakah perbezaan antara perkataan 'perbaiki' dan 'perbaik' | Kata terbitan yang baku ialah memperbaik, iaitu membuat supaya menjadi lebih baik; dan memperbaiki, iaitu berbuat baik kepada. | Tatabahasa | 28.10.2015 |
Merujuk ulasan tuan tentang soalan 93. Tuan menyatakan bahawa ' antara perkataan yang lain yang boleh menerima imbuhan memper...i ialah peroleh, perbaiki...' . Sepatutnya 'oleh' menerima memper...i, ' baik' menerima 'memper...i'. Walau bagaimanapun, ' memperolehi' memperbaiki' memperkuasai', 'dll ( rujuk TD Ketiga, m/s 212 ) dikatakan bentuk yang lewah yang seharusnya dieja sebagai (memperoleh), (membaiki), menguasai dll. Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa' lewah' membawa maksud berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal, dsb yang tidak perlu . Jadi 'memperolehi' adalah salah penggunaan imbuhan. 'Oleh' sebagai kata sendi nama hanya menerima 'memper...' bukan memper... i' (TD Edisi ketiga m/s 180) | Apitan memper-.....-i wujud hasil daripada perkembangan bahasa, iaitu keperluan menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Setakat ini hanya bentuk yang berikut yang wajar dianggap sebagai jenis kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-.....-i ini, iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami, dan memperisteri. Bentuk mempersuami dan memperisteri sebenarnya berbentuk mempersuamii dan memperisterii tetapi telah berlaku pengguguran satu huruf i dalam kedua-dua perkataan ini. Bentuk yang lazim digunakan dengan apitan memper-...-i seperti memperolehi, memperbaiki, memperkuasai, memperdalami, memperakui, mempersetujui dan memperhalusi merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk terbitan di atas seharusnya menerima awalan meN- atau memper-, apitan men-...-i atau apitan memper-...-kan, seperti yang berikut: memperolehi seharusnya memperoleh, memperbaiki seharusnya memperbaik, memperkuasai seharusnya menguasai, memperdalami seharusnya mendalami, memperakui seharusnya mengakui/memperakukan, mempersetujui seharusnya menyetujui, memperhalusi seharusnya menghalusi. Kami memohon maaf atas kekeliruan jawapan yang diberikan sebelum ini. | Tatabahasa | 19.04.2010 |
Adakah ayat berikut betul? Jika tidak, tolong baiki. Kitar semula adalah membuat benda baru daripada benda lama. | Sila semak ketepatan fakta yang digunakan dalam menerangkan konsep kitar semula dan selepas itu perbaiki penggunaan ayat. Saudara boleh merujuk www.prpm.dbp.gov.my dan rujuk juga buku tatabahasa. | Makna | 09.02.2012 |
Perkataan 'ulu' terdapat takrifan sebagai kepala benda dalam bahasa sukuan ( Bisaya). Adakah ianya boleh diterima sebagai istilah bahasa melayu. Masalah saya ialah saya mengajar murid perkataan ulu dengan merujuk kepada kepala benda. Contoh ppt dilampirkan (email pd En Sulaiman). Adakah ianya satu kesalahan dan perlu saya perbaiki. Dalam buku Panduan Pengurusan Pemulihan Khas terbitan Jabatan Pendidikan Khas KPM juga digambarkan ulu sebagai kepala benda( keris). Tarima kasih | Dalam hal ini kami berpegang pada Kamus Dewan yang menggunakan frasa hulu keris bukan ulu keris, kerana ulu tidak ada dalam entri Kamus. Untuk makluman saudara, lazimnya pengambilan daripada bahasa sukuan dilakukan apabila tidak ada bahasa/istilah dalam bahasa Melayu. Kami mencadangkan saudara menggunakan perkataan yang standard dan telah diseragamkan iaitu hulu kerana kata tersebut juga mengandungi maksud ulu. | Tatabahasa | 29.04.2010 |
Tahniah terlebih dahulu untuk laman web carian v2. Tapi, saya menghadapi masalah dalam portal carian kamus online. Apabila saya cuba memasukkan sesuatu perkataan, ia memberikan saya ‘carian kata tiada dalam kamus terkini’. Hal ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Pautan untuk kamus dewan bahasa/edisi 2,3 & 4 tiada. Mohon perbaiki masalah ini secepat mungkin kerana saya amat memerlukan perkhidmatan kamus bahasa melayu. | Terima kasih atas keprihatinan terhadap sistem Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP kami. Kami akan sentiasa memantau dan memperbaik sistem yang sedia ada ini bagi kemudahan masyarakat sebagai rujukan bahasa Melayu. Segala kesulitan amat dikesali. Sekian terima kasih. | Lain-lain | 25.01.2019 |
Menurut TD Edisi Ketiga, m/s 211. Imbuhan apitan `memper-...-i' tidak begitu produktif. Setakat ini hanya bentuk yang berikut yang wajar dianggap sebagai jenis kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper-...-i, iaitu memperingati, mempersuami dan memperisteri. Adakah tiga perkataan di atas sahaja yang boleh menerima imbuhan memper-...-i ? | Merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat, antara perkataan lain yang boleh menerima imbuhan memper...i ialah peroleh, perbaiki, perkuasai, perdalamai, perakui, persetujui, perhalusi. Untuk keterangan lanjut, sila rujk muka surat 212 buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 13.04.2010 |
Saya cadangkan DBP menggantikan Koleksi Lembar Bahasa Bil. 1/2007 kepada yang baru dalam siaran laman web DBP memandangkan ia mengandungi beberapa perkataan yang mengelirukan seperti "Fefinisi", "Cedekiawan". Ya, saya faham ia telah dimuatkan dalam Aktiviti Terkini, Tajuk Bulan Bahasa Terkini di facebook. Namun demikian, siaran dalam "Pedoman/Lembar Bahasa" masih dibiarkan berterusan tanpa apa-apa pembetulan. Ia pasti akan "mislead"(salah bimbing) pembaca dan juga menjejaskan kredibiliti DBP dan kualiti perkhidmatannya. Dicadangkan juga "Penyemak Kualiti" untuk setiap siaran di laman web DBP. | Terima kasih atas makluman dan cadangan tuan. Hal ini akan kami perbaiki segera agar tidak timbul sebarang kekeliruan kepada para pengguna. | Lain-lain | 10.05.2013 |