Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang penggunaan frasa "...kita akan peroleh..." dan "...akan kita peroleh...". Penggunaan yang manakah yang betul? Contoh ayat: Banyak faedah yang kita akan peroleh jika menyertai program ini. atau Banyak faedah yang akan kita peroleh jika menyertai program ini. Terima kasih. | Banyak faedah yang kita akan peroleh jika menyertai program ini. | Lain-lain | 23.02.2018 |
memperolehi/peroleh | memperoleh/peroleh | Tatabahasa | 19.02.2009 |
frasa manakah yang lebih sesuai "pengajaran yang kita peroleh melalui filem" atau "pengajaran yang kita peroleh dalam filem"? | Kedua-dua farasa tersebut boleh digunakan. Namun, cadangan kami yang lebih sesuai ialah "pengajaran yang kita peroleh dalam filem". | Tatabahasa | 25.06.2013 |
1) peroleh atau perolehi 2) Tambahbaik atau tambah baik | Ejaan yang betul ialah peroleh dan tambah baik. | Tatabahasa | 11.03.2014 |
Saya kurang faham perbezaan penggunaan perkataan PEROLEH dan PEROLEHI. Harap dapat penjelasan daripada pihak Tuan/Puan. Sila juga beri beberapa ayat contoh di mana kedua dua perkatan tersebut dapat dipraktikan. SALAM SEJAHTERA. | Perkataan yang betul ialah peroleh (tidak ada kata perolehi), contohnya: Karmin adalah pigmen berwarna merah yang diperoleh daripada sejenis serangga. | Tatabahasa | 01.11.2010 |
1. tertarik oleh / kepada keindahan .penggunaan oleh atau kepada yang betul serta ulasannya. 2. Sebatang anak panah atau sebilah anak panah. 3. Kejayaan itu kami peroleh berkat usaha gigih. Adakah betul kata peroleh dalam ayat itu. 4. Mengapa kata sendi oleh tidak menerima akhiran"i" berikan ulasan. 5. Buku di dalam perpustakaan itu tebal-tebal belaka. Adakah betul "tebal-tebal belaka" | Saudara Zam, i. Kata sendi nama 'oleh' digunakan untuk menunjukkan hubungan pembuat dalam ayat pasif dan juga untuk menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab. Kata sendi nama 'kepada' digunakan untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan perubahan keadaan. Oleh yang demikian, berdasarkan keterangan di atas, kedua-dua kata sendi nama betul dan boleh digunakan dalam frasa tersebut. ii. Yang betul sebatang anak panah. iii. Perkataan yang betul ialah 'peroleh' daripada bentuk kata kerja transitif 'memperoleh' bukan 'memperolehi'. iv. Ayat 'Buku di perpustakaan tebal-tebal belaka' betul. Ayat ini bermaksud semua buku di perpustakaan tebal. | Tatabahasa | 06.08.2009 |
Jawapan ini saya peroleh daripada pertanyaan yang lepas: "Frasa yang gramatis ialah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak ialah..." Mengapakah frasa "Peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak ialah..." itu gramatis? Bukankah "dalam" perlu diikuti oleh kata nama memandangkan "dalam" merupakan kata sendi? | Frasa yang betul ialah "Peranan ibu bapa dalam usaha mendidik anak-anak ialah...". Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 13.08.2014 |
(1) Rasional berhubung penggunaan "peroleh" tanpa "i" manakala "didapati" boleh menggunakan "i". (2) Perbezaan antara "skop" dan "spesifikasi". adakah perbezaan antara keduanya. (3) Istilah "berkuat kuasa"..kenapa perlu dua perkataan. adakah perkataan "berkuat" itu boleh tersendiri.. Segala perhatian amat dihargai. TK | 1. Apitan di-…i ialah bentuk pasif bagi meN-…-i . Contoh: kata kerja aktif mendapati, kata kerja pasifnya didapati. Apitan mempeR-…-i tidak begitu produktif. Kata-kata yang bergabung dengan apitan ini tidak banyak. Setakat ini hanya empat perkataan yang terbentuk dengan apitan ini iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami(i), memperisteri(i). Berlaku pengguguran huruf i pada perkataan mempersuami dan memperisteri. Bentuk lazim memperolehi sebenarnya bentuk terbitan yang lewah, untuk membawa pengertian yang lazimnya dikaitkan dengan perkataan di atas. Memperolehi seharusnya menerima awalan memper-. Oleh itu memperolehi seharusnya memperoleh. Sebagaimana hal yang berlaku pada memper-...-i, demikian juga pada bentuk apitan dipeR-...-i. Bentuk yang lazim digunakan iaitu diperolehi, sebenarnya merupakan bentuk terbitan yang lewah. Kata dasar bentuk apitan ini seharusnya menerima awalan diper- , yakni diperolehi seharusnya diperoleh. (Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlm. 208, 211 – 217) 2. Perkataan skop dan spesifikasi ialah dua perkataan yang mempunyai makna yang berbeza. Skop bererti bidang yg diliputi, ruang liputan, ruang lingkup. Spesifikasi bererti butiran terperinci yg ditentukan (dinyatakan) untuk sesuatu, perincian (tentang sesuatu). Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.3. Kata majmuk ialah kata yang terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit. Ada beberapa kata majmuk yang telah mantap dieja bercantum. Contohnya:tandatangan, tanggungjawab. Apabila kata majmuk ini menerima awalan, kata dasarnya dieja terpisah, tetapi apabila menerima apitan, kata dasarnya dieja bercantum. Contohnya: Kuat kuasa, berkuat kuasa, dikuatkuasakan. | Tatabahasa | 01.06.2011 |
Tuan, berpandu pada Kamus Dewan Edisi Keempat (maklumat Kamus Dewan Edisi Ke-4 saya peroleh daripada PRPM), selain bentuk "mengajar", ada bentuk "mengajari" juga. Mengapakah ada wujud keadaan demikian? Bukankah "mengajar" sudah memadaikan maksud "mengajar seseorang", atau maksud Kamus Dewan, iaitu "menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orang lain"? Mengapakah wujudnya bentuk "mengajari" yang sama maksud dengan "mengajar" pula? Bolehkah bentuk "mengajari" digunakan dalam penulisan? Adakah Kamus Dewan menyenaraikan kata terbitan yang betul dengan menyenaraikan bentuk "mengajari"? Cikgu saya berkata tiada bentuk "mengajari" ini. Minta tuan berikan jelasan tentang kewujudan perkataan ini. | Perkataan mengajar dan mengajarkan termasuk dalam kategori apitan me-…-kan dan me-…-i yang sama. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan mengajar sebenarnya berasal daripada perkataan mengajari. Namun bentuk yang baku ialah mengajar berbanding mengajari. Dengan berdasarkan petua tersebut kita boleh membina ayat seperti yang berikut: (siapa)(me-…-kan) (apa)kepada (siapa) (siapa)(me…-i)(siapa)(apa) 1. Saya mengajarkan mata pelajaran Sejarah kepada pelajar tahun lima. Saya mengajar pelajar tahun lima mata pelajaran Sejarah. | Tatabahasa | 04.12.2014 |
Aminah membalut buku-buku teks yang telah diberi oleh gurunya. Apakah nilai murni yang kita peroleh daripada ayat ini? Menghargai harta benda atau bertanggungjawab? | Kedua-dua nilai murni, iaitu menghargai harta benda dan bertanggungjawab boleh dikaitkan dengan ayat tersebut. Untuk tujuan peperiksaan sila rujuk guru di sekolah saudara. | Lain-lain | 01.05.2013 |