Berikut adalah ayat-ayat yang digunakaan pada papan tanda: "khidmat simpan beg" "kanak-kanak di bawah 6 tahun" "tempat menyimpan beg" "Restoran Al-Berkat Maju" "awasi penyeluk saku" atau "awas penyeluk saku" "dilarang berlegar dan berurus niaga di kawasan ini" "D'Santai Station" "Wakil Insurans Am" "laluan untuk busiuness sahaja" "Parking Motosikal" "Motosikal s'ja" saya ingin tahu ayat yang betul. terima kasih. | Saudara, Frasa yang betul ialah : i. khidmat simpan beg atau tempat menyimpan beg ii. Restoran Al-Berkat Maju (bergantung pada pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia) iii. kanak-kanak di bawah 6 tahun iv. awas, penyeluk saku! v. Dilarang berlegar dan berurus niaga di kawasan ini vi. D Santai Station seharusnya Stesen D' Santai(bergantung pada pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia) vii. wakil insurans am viii. laluan untuk niaga sahaja ix. motosikal sahaja | Tatabahasa | 25.08.2010 |
1 wang saku diberikan oleh ayah kepada saya. 2. sepasang sepatu dibelikan oleh ayah kepada saya. tuan, kedua-dua ayat di atas, jawapan yang diberikan adalah "diberi" dan "dibeli". namun, saya berasa tidak tepat. apakah pandangan tuan? | Jawapan "dibeli" dan "diberi" adalah betul kerana apabila objek sipi asal (wang saku dan sepasang sepatu) berubah kedudukannya selepas kata kerja dan menjadi objek yang baharu manakala objek tepat yang asal (saya) berpindah ke bahagian akhir ayat dan menerima kata sendi nama kepada atau untuk, kata kerjanya tidak mengandungi -kan. Oleh itu, ayat pasif tersebut berasal daripada ayat berikut: 1. Ayah memberi wang saku kepada saya. 2. Ayah membeli sepasang sepatu untuk saya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 194 - 196. | Tatabahasa | 06.04.2011 |
Soalan pertama, mana satu yang betul? 1a. Ali memberikan anak kucing makanan kegemarannya. 1b. Ali memberi anak kucing makanan kegemarannya. 2a. Ali memberikan anak-anaknya wang saku. 2b. Ali memberi anak-anaknya wang saku. Soalan kedua, adakah contoh 1a dan 2a betul sekiranya mengikut binaan “subjek + kata kerja + objek 1 + objek 2? Soalan ketiga, bagaimana pula sekiranya contoh 1a dan 2a mengikut definisi kata, iaitu perkataan “memberikan” hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa seperti nasihat, hadiah dan lain-lain? Kalau mengikut definisi ini, perkataan “memberi” yang lebih sesuai digunakan seperti contoh 1b dan 2b. | Jawapan soalan pertama. Kata "memberi" diikuti dengan kata nama objek bernyawa, seperti Ali memberi adiknya sebatang pen. Manakala kata "memberikan" diikuti kata nama objek tidak bernyawa, seperti Ibu memberikan nasihat kepada anaknya. Berdasarkan ayat contoh yang diberikan, ayat yang betul ialah 1b dan 2b. Jawapan soalan kedua adalah berkaitan dengan penjelasan soalan pertama. | Tatabahasa | 09.08.2014 |
Selamat pagi. Mohon jasa baik tuan/puan tolong mengenalpastikan kesalahan ayat berikut: 1). Kapten mengangkat piala yang dimenangi bersama-sama pasukannya setelah meraih kemenangan dalam pertandingan bola sepak. 2). Polis berjaya menangkap penyeluk saku yang sedang beroperasi di perhentian bas itu. 3). "Tikar mengkuang ini anyaman saya," kata Kak Akmar. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah i. Kapten mengangkat piala yang dimenangi bersama-sama ahli pasukannya setelah meraih kemenangan dalam pertandingan bola sepak. ii. Polis berjaya menangkap penyeluk saku di perhentian bas itu. iii. "Tikar mengkuang ini anyaman saya," kata Kak Akmar. | Tatabahasa | 14.01.2020 |
Menurut jawapan Tuan: Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM, menerangkan makna: (i) Memberi - menyebabkan seseorang menerima sesuatu. Contoh ayat: Ia memberi anak-anaknya wang saku. (ii) Memberikan - menyerahkan sesuatu kepada... Contoh ayat: Saya memberikan buku itu kepada adik saya. Soalan saya seterusnya ialah: 1. Ibu memberi Ali ikan. (betul) 2. Ibu memberikan ikan (objek bernyawa) kepada Ali (objek bernyawa). (betul atau salah?) | Berdasarkan makna Kamus Pelajar, memberikan bermaksud menyerahkan sesuatu kepada dan sesuatu bermaksud hal atau barang. Ikan bukanlah sesuatu atau barang, maka ayat tersebut tidak gramatis. | Tatabahasa | 24.03.2015 |
Saya ada beberapa persoalan: 1. Jualan maklumat kad kredit berharga di antara RM1 hingga RM300. (Apakah penggunaan sebenar di antara atau antara) 2. Dia sering mendapat wang saku di antara RM200 hingga RM300. (Apakah penggunaan sebenar di antara atau antara) 3. Chong Wei bakal berdepan tugas getir di final malam ini. (Apakah penggunaan di itu betul). Sekian terima kasih | Untuk ayat 1 dan 2 penggunaan kata sendi nama 'antara' betul kerana kata sendi nama antara hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai jarak. Manakala untuk ayat 3 kata sendi nama 'pada' yang betul, iaitu menunjukkan keterangan waktu atau tempat. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 265. | Tatabahasa | 11.03.2012 |
perkataan 'mengandung' atau 'mengandungi', mana satu yang betul? cthnya: "kertas soalan ini mengandungi/mengandung tiga halaman bercetak."harap mendapat penjelasan. terimakasih | Mengandung bermaksud membawa sesuatu dalam saku dll, hamil. Mengandung sama penggunaan dengan mengandungi untuk maksud berisi, memuat. | Tatabahasa | 19.01.2007 |
Benarkah bahawa argot merupakan bahasa rahsia? Apakah ciri-ciri bahasa argot? | Argot ialah bahasa yang khusus digunakan oleh kumpulan sosial tertentu, biasanya bersifat rahsia dan dikaitkan dengan kelas sosial rendah seperti pencuri atau penyeluk saku. Tidak banyak maklumat tentang argot dalam pangkalan data kami, ciri utama argot ialah bersifat tidak rasmi dan digunakan dalam kelompok tertentu. | Lain-lain | 15.04.2014 |
( tuan,inilah penerangan tuan sebelum ini.) 1. Ayah memberi wang sakukepada saya. 2. Ayah membeli sepasang sepatu untuk saya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 194 - 196. apabila objek sipi asal (wang saku dansepasang sepatu) berubah kedudukannya selepas kata kerja dan menjadi objek yang baharu manakala objek tepat yang asal (saya) berpindah ke bahagian akhir ayat dan menerima kata sendi namakepada atau untuk, kata kerjanya tidak mengandungi -kan. ( tuan, bagaimana pula dengan soalan sejumlah RM50000 diberi kepada pesakit jantung yang akan menjalani pembedahan secepat mungkin.) diberi atau diberikan digunakan. | 1. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 392 di bawah tajuk 13.4.2 Frasa Kerja dengan Dua Objek. Perhatikan contoh ayat yang diberi: 74. Ahmad menghadiahkan buku kepada Ali. 75. Wanita itu membeli baju untuk anaknya. Kedua-dua contoh ayat tersebut mempunyai dua objek (objek tepat dan objek sisi) dan kata sendi nama. Tidak timbul isu perubahan kedudukan objek tepat dan objek sisi. 2. Perkataan memberi dan memberikan merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan memberi hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala memberikan hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa. Diberi dan diberikan adalah bentuk pasif memberi dan memberikan. Oleh itu ayat "Sejumlah RM50000 diberi kepada pesakit jantung yang akan menjalani pembedahan secepat mungkin" adalah betul. | Tatabahasa | 20.07.2011 |
saya mohon penjelasan tentang penggunaan perkataan memberi dan memberikan | Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM, menerangkan maksud dan contoh penggunaan kedua-dua kata tersebut, iaitu: (i) Memberi - menyebabkan seseorang menerima sesuatu. Contoh ayat: Ia memberi anak-anaknya wang saku. (ii) Memberikan- menyerahkan sesuatu kepada. Contoh ayat: Saya memberikan buku itu kepada adik saya. | Tatabahasa | 27.07.2015 |