Mohd Fazli Bin Abdullah Mohon pandangan DBP. Kata swafoto sudah ada lama dalam bahasa Indonesia. Gabungan dari kata swa + foto. Bererti kata swa secara tunggal bawa maksud sesuatu yg bersifat sendiri (apakah itu berasal dari kata swasta?). Indonesia juga terjemahkan istilah 'self-service' sebagai swalayan. Saya tertarik dengan cara Indonesia yg pelbagaikan kata swa untuk istilah-istilah lain yg bersifat personal. Di Malaysia, kita masih terjemahkan 'self-service', sebagai layan diri. Jadi apakah kata swa, tidak membawa apa-apa erti menurut pandangan DBP? | 1. Untuk makluman tuan, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "swa" merupakan awalan asing (sanskrit) yang bermaksud sendiri. Perkataan "foto" juga telah lama diterima dan bahasa Melayu dan telah meluas penggunaannya. Oleh sebab itu, DBP menerima istilah swafoto sebagai padanan untuk perkataan bahasa Inggeris "selfie". 2. Tidak ada maklumat tentang etimologi kata swasta dalam pangkalan data kami. Jika dirujuk maksud swa ialah awalan asing yang bermaksud sendiri, namun tidak dapat dikaitkan dengan maksud asta untuk pembentukan kata baharu itu. 3. Dalam bahasa Melayu penggunaan awalan "swa" digunakan seperti "limbungan swa-apung" padanan terjemahan "self-docking dock", hipotesis swa-penanda untuk padanan "self-marker hypothesis". Selain kata pinjaman, ada kata Melayu yang sama maksudnya dengan swa- iaitu "kendiri" bagi padanan kata "self" dalam bahasa Inggeris, contohnya self-regulatory policy - dasar peraturan kendiri, self-management - pengurusan kendiri. 4.Sekiranya tuan memerlukan maklumat lanjut mengenai cara pembentukan istilah bahasa Melayu, sila rujuk kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka. | Istilah | 08.06.2017 |
boelhkah saya menggantikan semua perkataan Inggeris 'self' kepada 'swa'. misalnya 'self monitoring glucose meter' kepada 'meter glukosa swapantau' | Untuk makluman awalan asing "swa" memang telah diterima dalam pembentukan istilah bahasa Melayu. Oleh itu, meter glukosa swapantau adalah betul dan boleh digunakan. | Istilah | 14.03.2013 |
adakah swasta merupakan kata terbitan daripada imbuhan pinjaman swa dan perkataan 'asta'? | Tidak ada maklumat tentang etimologi kata swasta dalam pangkalan data kami. Jika dirujuk maksud swa ialah awalan asing yang bermaksud sendiri, namun tidak dapat dikaitkan dengan maksud asta untuk pembentukan kata baharu itu. | Penyelidikan | 14.05.2017 |
Berkenaan perkataan "swafoto". 1) Apa maksud "swa"? 2) perkataan "foto" pula berasal dari perkataan Inggeris "photo". Kenapa DPB tidak memartabatkan Bahasa Melayu dengan menggunakan perkataan seperti "gambar" atau "wajah"? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "swa" bermaksud sendiri. Perkataan "foto" juga telah lama diterima dan bahasa Melayu dan telah meluas penggunaannya. Oleh sebab itu, DBP menerima istilah swafoto sebagai padanan untuk perkataan bahasa Inggeris "selfie". Sekiranya tuan memerlukan maklumat lanjut mengenai cara pembentukan istilah bahasa Melayu, sila rujuk kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka. | Istilah | 04.01.2017 |
Mengapakah lekafon dieja dekat? Adakah leka- dianggap awalan sama seperti pra-, pasca- dan swa- atau -fon dianggap sebagai akhiran seperti - wan, -wati. | Perkataan leka bukan tergolong dalam kumpulan imbuhan awalan atau dan akhiran. Perkataan lekafon diambil daripada istilah sumber bahasa Inggeris, iaitu “phubbing”. Kata asal istilah “phubbing” adalah daripada gabungan perkataan “phone” dan “snubbing” (Phone + snubbing). “Phone” bermaksud telefon manakala “snubbing” bermaksud tidak mempedulikan, mengendahkan atau leka. Gabungan perkataan dalam bahasa Melayu membentuk perkataan leka telefon atau akronimnya lekafon. | Istilah | 28.06.2018 |
Sekiranya "self-appraisal" adalah "swanilai", bagaimana pula dengan "self-health care"? Adakah penggunaan "swapenjagaan kesihatan" betul? Terima kasih atas nasihat. | Untuk makluman awalan asing "swa" memang telah diterima dalam pembentukan istilah bahasa Melayu. Oleh itu, swapenjagaan kesihatan adalah betul dan boleh digunakan. | Lain-lain | 21.03.2018 |
Mengapakah DBP menetapkan ejaan 'swasambada' sebagai baku (terakam dalam kamus dewan) dan bukannya swasembada seperti yang terakam dalam kamus besar bahasa Indonesia yang mungkin lebih tepat kerana dalam kamus dewan dam kbbi menyenaraikan kata dasar swasembada yakni 'sembada' (swa- + sembada) sebagai entri baku bukan sambada (tiada dalam kedua - duanya). | Swasambada dalam Kamus Dewan dilabelkan sebagai Bahasa Indonesia. Oleh itu, apabila terdapat kekeliruan antara data Kamus Dewan dengan Kamus Besar Indonesia maka data Kamus Besar Indonesia lebih persis. | Tatabahasa | 30.10.2018 |
swafoto- Saya pernah tengok cerita Indonesia yang dibuat dalam dua tiga tahun lalu dan ada dialog swafoto. Tapi di Malaysia penggunaan swafoto saya kira agak baru juga. Oleh itu saya ingin tahu adakah ia asalnya daripada bahasa Indonesia? Jerayawara juga baru tahu daripada surat dari agensi kerajaan yang diterima. Rupa-rupanya ia sudah ada dalam kamus edisi keempat. Saya rasa perkataan yang lebih popular ialah jelajah dan jika menggunakan perkataan ini lebih tidak faham. Jika menggunakan perkataan jelajah adakah ianya tidak tepat? | 1. Untuk makluman tuan, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "swa" merupakan awalan asing (sanskrit) yang bermaksud sendiri. Perkataan "foto" juga telah lama diterima dan bahasa Melayu dan telah meluas penggunaannya. 2. Perkataan jerayawara bermaksud persembahan, pameran, ceramah dan sebagainya diadakan oleh seseorang atau sekumpulan orang (penyanyi, ahli politik dsb) yang berkunjung dari satu tempat ke tempat lain dengan tujuan memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai, mempromosikan sesuatu dan sebagainya. Perkataan jerayawara lebih mengkhusus maksudnya berbanding perkataan jelajah yang bermaksud pergi berjalan ke merata-rata tempat (untuk menyelidik dan lain-lain). | Penyemakan dan penterjemahan | 09.04.2017 |