Dompet yang saya temui di kantin sekolah akan saya serahkan kepada guru disiplin. apakah kesalahan tatabahasa di dalam ayat ini? soalan yang sama tetapi dua buah buku berlainan mempunyai berlainan jawapan. sebuah menyatakan temui adalah salah manakala sebuah buku lagi menyatakan tiada kesalahan. yang manakah benar? apakah kesalahan ayat ini? | Dalam Kamus Dewan tidak ada kata temui, yang ada hanyalah menemui sama makna dengan menemukan. Oleh itu, kata yang digunakan (temui) adalah salah. | Tatabahasa | 07.06.2008 |
Wang yang saya TEMU ketika balik dari sekolah akan saya serahkan kepada polis. Dalam ayat di atas, adakah penggunaan perkata TEMU betul? Sekiranya salah, perkataan mana yang sesuai digunakan sama ada TEMUKAN @ TEMUI? Sekian, terima kasih. | Yang betul ialah wang yang saya temui ketika balik dari sekolah akan saya serahkan kepada polis. | Tatabahasa | 12.08.2010 |
Bagi yang ingin menikmati kehidupan mewah Temui anda di sini... | Bersama-sama ini disertakan iklan yang telah disahkan. Pada masa akan datang, sila kemukakan iklan melalui Khidmat Pengesahan Bahasa DBP (bukan Khidmat Nasihat DBP). Melalui Khidmat Pengesahan Bahasa DBP, puan boleh memperoleh pengesahan iklan dan terdapat sijil pengesahan yang boleh dicetak. | Lain-lain | 15.09.2012 |
1.Istilah "Empirikal" masih belum saya temui maknanya . harap tuan dapat menjelaskannya. | Empirikal atau empirik ialah perkataan dlm bahasa Indonesia Belanda yg bermaksud berdasarkan (bergantung pd) pemerhatian atau eksperimen, bukan teori: cth penggunaannnya, kaedah yg digunakan adalah melalui kajian-kajian empirik (al) dgn pengumpulan data. | Makna | 27.07.2007 |
Perkataan "PRAKTIKUM" adalah sepatah perkataan baru yang saya temui yang digunakan dalam satu frasa "PRATIKUM KEUSAHAWANAN" Apa ertinya "Praktikum" ? dan apa perkataan seerti dalam bahasa Inggeris. Sila bantu. Terima kasih Dari: David Chua | Praktikum ialah padanan perkataan practicum dalam bahasa Melayu dan merupakan istilah dalam bidang pendidikan, walau bagaimanapun tidak ada huraian makna bagi perkataan tersebut. Melihat kepada bentuk perkataan tersebut seperti akronim dua perkataan, hal ini akan kami pastikan terlebih dahulu sebelum menghubungi pihak Datuk. | Tatabahasa | 09.04.2010 |
Maaf, saya masih belum berpuas hati sebab saya temui penggunaan perkataan gambarajah satu perkataan dalam portal DPB (seperti dilampirkan). Adakah boleh digunakan pada hal-hal @ situasi tertentu. Jika boleh, bila? | Ejaan yang betul ialah gambar rajah. Untuk pengetahuan saudara, ejaan gambar rajah dalam portal DBP seperti yang dilampirkan ialah istilah lama dan pada ketika itu ejaan gambar rajah dieja rapat. Setelah sistem ejaan baru diperkenalkan, ejaan yang betulnya ialah dua patah perkataan. | Istilah | 12.12.2008 |
Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai maksud perkataan 'fazihat'. Perkataan ini saya temui ketika membaca "Syair Definisi Orang Berakal". | Fazihat bermaksud aib, cela dan nista. | Makna | 29.07.2019 |
Adakah perkataan 'tahun' boleh digugurkan dalam penulisan seperti yang biasa kita temui dalam bahasa akhbar sekarang ini? Misalnya ayat berikut: Malaysia akan melaksanakan sepenuhnya rekod kesihatan secara elektronik (EMR system) pada tahun 2021. Bolehkah digugurkan perkataan 'tahun' dalam ayat ini? | Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua maksud tahun ialah jangka waktu (masa) yang lamanya dua belas bulan atau angka yang menyatakan tarikh. Maka perkataan tahun perlu digunakan supaya dapat menyatakan angka yang menyatakan tarikh. | Tatabahasa | 12.05.2019 |
Adakah wujud istilah survival dalam Bahasa Malaysia kerana kebelakangan ini sering saya temui istilah ini dalam petikan Bahasa Melaysia. | Istilah survival diterima dalam bidang perubatan seperti cumulative survival probability diterjemahkan kepada kebarangkalian survival kumulatif. Walau bagaimanpun dalam konteks umum dan bidang-bidang lain perkataan survival diterjemahkan mengikut konteks penggunaannya. Untuk maklumat lanjut, lihat http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=survival. | Istilah | 20.04.2012 |
Mohon perincian tuan mengenai penggunaan/fungsi/maksud bagi empat perkataan yang saya temui dalam Kamus Carian kata DBP. 1. bandaraya (bandaraya tropika) 2. bandar raya (bandar raya perindustrian) 3. perlantikan (appoinment) 4. pelantikan (pertabalan) | Dalam buku Daftar Istilah Kewangan yang diterbitkan pada tahun 2001 tropical city diterjemahkan kepada bandar raya tropika dan bandar raya sememangnya dieja dua perkataan, berkemungkinan terdapat kesilapan sewaktu proses memindahkan data tersebut. Dalam Kamus Inggeris-Melayu Dewan appointment diterjemahkan kepada pelantikan (bukan perlantikan) dan pelantikan itu sendiri boleh digunakan untuk merujuk perihal/perbuatan melantik. | Tatabahasa | 12.04.2008 |