boleh menetukan kesalahan bahasa di bawah : 1 ) kesimpulan atau kesimpulannya 2 ) secara umumnya atau umumnya | Tiada yang salah tentang kedua-dua perkataan yang diberikan. Perkataan tersebut betul sekiranya merujuk kepada situasi dalam ayat. Contoh: Kesimpulan daripada cerita ini... atau kesimpulannya, pengajaran yang kita terima.... Begitu juga untuk perkataan nombor (2). | Makna | 12.11.2015 |
Secara umumnya, tempat-tempat kediaman boleh berbentuk rumah sesebuah, rumah berkembar, apartmen atau unit rumah pangsa, rumah teres, bangsal berbumbung atap atau zink, unit rumah buruh. Papan atau konkrit (seperti terdapat di estet-estet) atau sebarang jenis struktur sementara atau tetap yang lain yang tidak termasuk dalam mana-mana jenis di atas. Tempat kediaman jenis yang terakhir ini mungkin dalam bentuk bangsal, gua, tempat berteduh berbumbung zink yang kecil, bangsal yang tidak mempunyai bumbung yang sempurna atau rumah bot. Soalan saya: Terdapat perkataan 'atau' disebut secara berulang pada ayat yang kedua. Adakah sesuai atau ada cara lain yang boleh disampaikan dengan maksud yang sama? Harap pihak DBP dapat memberikan cadangan dan pandangan dalam menyelesaikan kekusutan penggunaan bahasa bagi pihak saya. Sekian, terima kasih. | Penggunaan 'atau' adalah betul pada contoh yang diberikan. Walaupun berulang tetapi tidak menimbulkan kekeliruan kepada pembaca. | Tatabahasa | 17.06.2009 |
A. Secara Umumnya, bilakah kata "dan" dan simbol "&" digunakan? B. Dalam penggunaan kata nama khas seperti jabatan (Contoh : Jabatan Penyelidikan dan Inovasi), adakah i. Penggunaan "dan" atau "&" yang sesuai. ii. Sekiranya "dan" sesuai, adakah ditulis dengan huruf kecil atau huruf besar? | Penulisan formal dalam bahasa Melayu tidak menggunakan simbol “&” untuk menggantikan perkataan “dan”. Penggunaan "dan" atau simbol "&" bagi kata nama khas, seperti nama jabatan ialah “Jabatan Penyelidikan dan Inovasi”, dengan menggunakan huruf kecil bagi kata hubung “dan”.
| Tatabahasa | 14.08.2023 |
Tuan/Puan, Umumnya, ramai yang tahu Menara Gading bermaksud universiti. Tetapi saya terjumpa satu lagi istilah yang merujuk kepada tetek perempuan, seperti yang tertera di dalam file di bawah, keluaran Al Hidayah Publishers. Boleh tuan/puan jelaskan adakah ia istilah yang boleh dipakai guna? Sekian, terima kasih. Yang benar Azahari Ishak | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "menara gading" bermaksud keadaan atau kedudukan yang tersisih daripada keadaan hidup sehari-hari (masalah sebenar yang dihadapi dan sebagainya); b) pusat pengajian tinggi (seperti universiti). Kontroversi makna simpulan bahasa menara gading yang disiarkan menerusi sebuah buku terbitan tempatan dipercayai merujuk kepada istilah Melayu lama. Simpulan bahasa itu pernah digunakan bagi merujuk payu dara pada zaman Hikayat Hang Tuah. Bagaimanapun, istilah itu tidak sesuai digunakan kini kerana menara gading merujuk kepada universiti. Pada zaman Hang Tuah, universiti belum wujud lagi. | Makna | 13.10.2021 |
Selamat sejahtera, Umumnya memang diketahui, kata hubung seperti "dan, atau, yang, untuk, agar, hingga, tetapi" ditulis dengan huruf kecil dalam penulisan tajuk. Namun, bagaimana pula dengan kata hubung pancangan seperti "semasa, apabila, walaupun, jika, sewaktu" dan seumpamanya? Logiknya, sudah tentu ia juga menggunakan huruf kecil berdasarkan formula penulisan tanda bacanya. Namun, kebanyakan tajuk yang saya dapati, ia menggunakan huruf besar. Bolehkan tuan/puan jelaskan? Sekian, terima kasih. | Penulisan Kata Hubung Pancangan ditulis dengan huruf kecil sekiranya penggunaan kata dalam ayat. Manakala, sekiranya penggunaan kata pada awal ayat, ditulis menggunakan huruf besar. Contoh: 1. Semasa kami tiba, mereka tiada di rumah. 2. Mereka tiada di rumah semasa kami tiba.
| Lain-lain | 17.06.2021 |
apakah erti bahasa secara umumnya? dan apakah erti gender secara umumnya? | Bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Bahasa menjadi medium komunikasi antara manusia. Bahasa dilafazkan melalui simbol yang diterima pakai oleh sesuatu masyarakat. Bahasa boleh digunakan sama ada secara lisan dan tulisan. Kategori bahasa dalam masyarakat boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti bahasa suku kaum, bahasa daerah dan bahasa kebangsaan. Bahasa merupakan identiti sesuatu masyarakat. Ini bertepatan dengan slogan ' Bahasa Jiwa Bangsa'. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku-buku berkaitan bahasa yang ada di pasaran. Gender ialah jantina atau dalam bidang Linguistik bermaksud golongan jenis kata dalam tatabahasa seperti maskulin, feminin dan neuter. | Makna | 09.08.2008 |
1. apakah penggunaan perkataan 'dibawah' dalam ayat berikut perlu dijarakkan? contoh : i) secara umumnya peruntukan masa guru dalam melaksanakan tugas di sekolah masih dibawah tahap maksimum. ii) pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam secara umumnya, masih dibawah tahap gred purata kebangsaan. 2. adakah penggunaan perkataan berkerja sesuai digunakan dalam ayat berikut?; i) kajian mendapati bahawa guru-guru yang berkerja di sekolah awam lebih bersikap positif ii). Kini, 27% daripada guru di Australia terdiri daripada guru yang berkerja secara separuh masa. bagaimanakah saya dapat membezakan penggunaan perkataan berkerja dan bekerja dalam suatu ayat? | Dalam tatabahasa, ejaan yang betul ialah di bawah dan bekerja. Sila rujuk prpm.dbp.gov.my untuk ejaan dan makna perkataan. | Tatabahasa | 08.02.2017 |
mengapakah sebuah ayat tidak boleh dimulakan dengan 'Amnya'? | Penggunaan "amnya" dalam di pangkal ayat tidak digalakkan kerana kurang gramatis dalam penulisan kecuali bahasa lisan atau percakapan. Perkataan seperti "amnya", "umumnya" dan lain-lain perlu didahului oleh kata hubung seperti pada keseluruhannya, secara amnya, secara umumnya dan lain-lain. Frasa "secara amnya" digunakan sebagai penanda wacana yang menjelaskan idea utama yang dinyatakan. | Tatabahasa | 26.10.2013 |
di Indonesia pada umumnya transliterasi ucapan salam dari bahasa Arab ke bahasa Indonesia "assalamualaikum", menurut saya hal ini keliru sebab dalam huruf Arab ada huruf "ya". jadi seharusnya ditulis "assalamualaykum" ( pakai "y" bukan "i" ). Bagaimana menurut pendapat Tuan? | Dalam data kami, ejaan yang digunakan ialah 'assalamualaikum'. | Ejaan | 16.07.2013 |
Salam sejahtera, Kita difahamkan umumnya semua kata majmuk kini dieja sebagai gabungan perkataan yang berasingan kecuali untuk 30 kata majmuk sahaja seperti tanggungjawab, jawatankuasa, singgahsana dll. Bagaimanapun, tidak mudah untuk kami menjejaki 30 perkataan ini. Mohon bantuan pihak dewan untuk menyenaraikannya. Terima kasih, Liong | Perkataan yang penggunaannya telah mantap dan dieja sebagai satu perkataan boleh dirujuk dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 134 dan 135. Perkataan yang disenaraikan adalah seperti yang berikut: 1. antarabangsa 2. bumiputera 3. jawatankuasa 4. kakitangan 5. kerjasama 6. matahari 7. olahraga 8. setiausaha 9. sukarela 10. suruhanjaya 11. tandatangan 12. tanggungjawab 13. warganegara | Ejaan | 14.04.2012 |