Selamat sejahtera... Kata ganda terbahagi kepada 3 iaitu kata ganda penuh, kata ganda berentak dan kata ganda separa. Saya inginkan penjelasan lanjut tentang kata ganda separa, iaitu adakah semua perkataan boleh digandakan menggunakan kata ganda separa ? Sebagai contoh, pohon menjadi pepohon, rambut menjadi rerambut, tingkap menjadi tetingkap dan sebagainya. Adakah kipas boleh menjadi kekipas, ladang menjadi leladang, benda menjadi bebenda, baju menjadi bebaju sekiranya kita menggunakan kata ganda separa untuk perkataan tersebut ? Jika ada kekecualian atau kategori perkataan yang boleh digunakan, perkataan yang bagaimana boleh menggunakan kata ganda separa dan perkataan yang bagaimana tidak boleh menggunakan kata ganda separa ? Terima kasih... | Encik Abdul Razak, Pergandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Contoh kata ganda separa kata tunggal, laki - lelaki pohon - pepohon, gelang gegelang tikus - tetikus. Namun tidak semua perkataan boleh menjadi kata ganda separa. Ada juga perkataan yang dijadikan kata ganda separa apabila ia dibentuk menjadi istilah. Contohnya rambut - menjadi rerambut. Ada juga yang mengatakan kata ganda separa dibentuk apabila sesuatu benda itu menjadi seolah-olah seperti. Contohnya kuda menjadi kekuda, tikus (mouse dalam istilah komputer) menjadi tetikus.Untuk huraian yang lebih lengkap sila rujuk tatabahasa halaman 77 dan 78. | Tatabahasa | 30.03.2010 |
dalam kata ganda, terdapat jenis kata ganda berentak. Mohon terangkan tentang perkataan yang seperti kata ganda berentak tetapi bukan kata ganda? dan jelaskan sebabnya? contohnya, asal usul bukan kata ganda berentak kerana merupakan rangkai kata. harap dapat menerangkan tentang beberapa contoh lain. sekian, terima kasih. | Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata tersebut diulang keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. "Asal usul" ialah kata ganda kerana kedua-dua kata tersebut mempunyai makna tersendiri. Kata ganda yang boleh berdiri sendiri tidak perlu tanda sempang, iaitu perkataan "asal usul" (kerana perkataan "usul" boleah berdiri sendiri).Lain pula halnya dengan perkataan "gunung-ganang" yang perlu ada tanda sempang selepas perkataan "gunung" kerana perkataan "ganang" tidak boleh berdiri sendiri sebagai satu perkataan yang mempunyai maksud. | Tatabahasa | 16.03.2013 |
adakah perkataan 'sapu-menyapu' boleh digunakan sebagai kata ganda? | Perkataan sapu-menyapu tidak boleh digunakan sebagai kata ganda. Kata ganda yang betul ialah menyapu-nyapu yang membawa maksud mengesat-ngesat, menggosok-gosok, mengusap-usap. | Tatabahasa | 07.02.2013 |
saya ingin mengetahui makna: Kata ganda penuh / seluruh, Kata ganda separa, Kata ganda berirama dan Kata ganda berimbuhan. Harap dapat tolong. | Kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata tersebut diulang keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Kata ganda penuh ialah penggandaan seluruh kata dasar jenis kata nama tanpa sebarang perubahan bentuk, contoh : buku-buku dan sekolah-sekolah. Kata ganda separa ialah penggandaan yang melibatkan sebahagian sahaja kata dasar, contoh : gegelang, sesiku dan sesumbu. Kata ganda berirama/berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar jenis kata nama mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar, contoh : kuih-muih, kayu-kayan dan saudara-mara. Kata ganda berimbuhan ialah menambah imbuhan awalan pada kata dasar yang diulang, contoh : beramai-ramai. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Makna | 27.02.2008 |
Selamat sejahtera cikgu. Ada satu pertanyaan yang telah lama tidak saya endahkan, iaitu persoalan yang berkaitan dengan penggunaan huruf besar dalam kata ganda apabila kata ganda berada pada permulaan ayat. Telah difahami bahawa kata ganda mempunyai dua unsur, iaitu unsur pertama, kata dasar kata ganda tersebut, dan unsur kedua, kata dasar yang telah diulangi. Jika kata ganda seperti "negeri-negeri" berada pada permulaan ayat, huruf besar patut digunakan dalam unsur yang mana, sama ada unsur pertama sahaja, iaitu "Negeri-negeri", atau kedua-dua unsur, iatiu "Negeri-Negeri"? | Ejaan yang betul ialah "Negeri-negeri", hanya huruf pertama kata ganda ditulis dengan huruf besar. | Ejaan | 05.08.2014 |
berdasarkan jawapan tuan tempohari, Bolehkah saya merumuskan bahawa hanya kata ganda penuh sahaja yang mempunyai tanda sempang. Manakala kata ganda bebas tidak mempunyai tanda sempang. | Rumus yang betul ialah kata ganda yang tidak mempunyai tanda sempang ialah apabila kedua-dua perkataan (dalam kata ganda) mempunyai maknanya sendiri apabila tidak digandakan seperti sampah sarap, sampah bermaksud benda yang dibuang dan sarap bermaksud pelbagai jenis sampah. Kata ganda bebas masih mempunyai tanda sempang seperti cerai-berai dan ulang-alik. | Tatabahasa | 29.02.2012 |
Assalamualaikum, 1. Adakah kata ganda semu termasuk dalam kategori kata ganda dalam Tatabahasa Dewan | Kata ganda semu termasuk dalam kategori penggandaan penuh dalam Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 25.04.2010 |
Jika `sampah sarap` ialah kata ganda, mengapakah kata ganda itu tiada sempang (-) ? | Sampah sarap ialah kata majmuk, bukan kata ganda kerana sarap telah diberi makna tersendiri. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, sarap membawa makna sampah (daun-daun kering, debu, dll). Harap maklum. | Tatabahasa | 27.10.2007 |
Salam, Bolehkah tuan/puan jelaskan: 1. Bagaimanakah pihak tuan menyelaraskan ejaan kata ganda (terutamanya kata ganda berentak) yang kadang kala dieja dengan tanda sempang dan ada pula yang dieja tanpa tanda sempang. 2. Adakah cara tertentu untuk mengenal pastinya? 3. Apakah cara untuk membezakan kata ganda tanpa tanda sempang tersebut dengan kata majmuk? Terima kasih. | Kata ganda dieja dengan tanda sempang. Kekeliruan timbul apabila beberapa frasa seperti bukit bukau dan sampah sarap dieja tanda sempang. Hal ini demikian kerana bukit bukau dan sampah sarap ialah frasa nama kerana kedua-dua perkataan dalam frasa tersebut mempunyai makna, dan bukan kata ganda. | Tatabahasa | 25.04.2014 |
Kenapakah "kayu-kayan" dikategorikan sebagai kata ganda berentak pengulangan konsonan sedangkan tiada huruf konsonan "n" pada perkataan "kayu"? Bagaimanakah boleh timbul huruf konsonan "n" pada perkataan "kayan"? Kenapakah "sayur-mayur" pula dikategorikan sebagai kata ganda berentak pengulangan vokal sahaja? Apakah "sayur-mayur" tidak boleh menjadi kata ganda berentak pengulangan konsonan disebabkan oleh huruf konsonan "y" dan "r" seperti "kayu-kayan"? Adakah huruf konsonan "m" bagi "mayur" dan huruf konsonan "n" bagi "kayan" hanya untuk menyedapkan bunyi pasangan kata ganda masing-masing? | Penggandaan berentak vokal ialah penggandaan yang mengulang ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi vokal tertentu. Sayur-mayur, pengulangan vokal a dan u, dan bukannya pengulangan pada huruf konsonan. Penggandaan konsonan ialah penggandaan yang mengulangi ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi konsonan tertentu. Kayu-kayan, pengulangan konsonan k dan y. Kata ganda tersebut telah diterima seperti demikian, dan tidak ada fakta tentang penyuaipadanan huruf dalam kata ganda. | Tatabahasa | 06.11.2014 |