| bagaimana penggunaan kata - di dalam fikiran atau dalam fikiran. soalan kedua - adakah langit biru dan rumah putih itu kata majmuk | Dalam ialah kata arah dan kata sendi nama. Sebagai kata arah, perkataan dalam akan hadir sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau tempat, misalnya di dalam atau ke dalam. Kata sendi nama dalam pula digunakan di hadapan frasa nama yang membawa pengertian "lingkungan yang tidak mempunyai jarak atau ruang seperti perkara, fikiran, peristiwa, hal dan sebagainya". Langit biru dan rumah putih - bukan kata majmuk. Kata majmuk bermaksud gabungan dua kata yang membawa makna tertentu. Rumah putih akan menjadi kata majmuk sekiranya merujuk kepada maknanya selain daripada rumah yang berwarna putih. Contohnya rumah putih yang merujuk kepada "White house" di Amerika. | Tatabahasa | 04.11.2008 |
| Salam. Perlukah tanda bacaan koma (,) sebelum sendi kata "dan"? Cth: "Saya mempunyai banyak barangan elektrik seperti peti sejuk, kipas angin, mesin basuh, dan sterika elektrik." (perhatian kpd koma (,) selepas mesin basuh sebelum dan). Terima kasih. | Menurut Buku Gaya Dewan Edisi Ketiga, tanda koma berfungsi sebagai unsur pemisah. Contohnya tanda koma memisahkan unsur-unsur kata yang berurutan: Bendera itu berjalur merah, putih, dan biru. Tanda koma hendaklah digunakan sebelum "dan", "atau", dan "serta" yang diikuti dengan frasa. Contoh kedudukan tanda koma sebelum "dan" pada ayat yang tuan/puan beri itu adalah betul. | Lain-lain | 25.01.2016 |
| bagaimanakah penggunaan tanda koma yang sebetulnya dalam ayat: Kami membeli pelbagai jenis sayur-sayuran seperti bayam kangkung sawi dan kobis. Adakah 'simpati' satu perkataan ataupun berasal dari 'simpat' dengan imbuhan akhiran 'i'? Sekian terima kasih. | Tanda koma berfungsi sebagai i. unsur pemisah kata dan frasa yang berurutan. Contoh, kami membeli sayur-sayuran seperti bayam, kangkung, sawi dan kubis; Bendera itu berjalur merah, putih dan biru. ii. Mengapit aposisi"dan sebaginya","dan yang lain", dan seumpamanya. Contoh, Sayur kubis, bayam,salad,kangkung,sawi, dan sebagainya, banyak dijual di pasar tani. Perkataan 'simpati' ialah satu perkataan dan bukan daripada perkataan 'simpat' dengan imbuhan akhiran'i'. Makna perkataan 'simpati' ialah 1. perasaan belas kasihan, timbang rasa, dsb terhadap seseorang atau sesuatu, terutamanya apabila ditimpa kesusahan: bencana spt itu seharusnya mendapat ~ dan bantuan dr dlm dan luar negeri; 2. perasaan bersetuju dgn menyokong sesuatu idea, pendapat, dsb bagi tujuan tertentu; Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Tatabahasa | 11.08.2009 |
| Salam Sejahtera tuan/puan. Bolehkah tuan/puan jelaskan cara menggunakan tanda baca koma sebagai pemisah ayat atau klausa | Antara fungsi tanda koma sebagai: 1. Memisahkan unsur kata dan frasa yang berurutan. Contoh: Bendera itu berjalur merah, putih dan biru. 2. Memisahkan beberapa ayat setara. Contoh: Pelita itu dinyalakan, dibawa masuk ke bilik tidur, diletakkan di hujung katil. 3. Memisahkan klausa utama daripada keterangan tambahan yang bermula dengan “iaitu”, “yakni” dan “misalnya”. Contoh: Ada dua warna yang selalu menjadi pilihannya, iaitu merah jambu dan kuning langsat. 4. Memisahkan klausa komplemen, atau frasa klausa dan keterangan daripada ayat induk (dalam ayat songsang). Contoh: Jika hujan lebat, pertunjukan itu terpaksa dibatalkan. 5. Memisahkan kata atau ungkapan yang diulang. Contoh: Tiada lain yang dibuatnya, melainkan menangis, menangis, menangis! 6. Memisahkan ayat petikan langsung. Contoh: Katanya, “Esok kita pulang.” 7. Memisahkan kata nama atau frasa nama daripada frasa penjelasan yang mengikutinya. Contoh: Dia ke kota dengan kereta abangnya, Proton Perdana hitam. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023) halaman 109 – 113. | Ejaan | 05.07.2024 |
| Apakah seramik, porselin dan tembikar merujuk benda yang sama? Terima kasih. | Tembikar ialah jenis seramik, manakala porselin ialah salah satu bahan yang digunakan untuk membuat seramik, selain tanah liat. Takrifan seramik, tembikar dan porselin dalam Kamus Dewan Perdana ialah: seramik سيراميک [se⋅rɑ⋅mik] n 1 barang yg dihasilkan drp tanah liat, mis tembikar, pasu dan jubin: Kami menyediakan seramik berukir bagi hiasan dalaman masjid tsb. 2 bahan yg keras, rapuh dan mempunyai takat lebur yg tinggi yg dibuat drp tanah liat: Seramik yg paling penting ialah tanah liat tradisional. 3 seni dan teknik membuat barang-barang drp tanah liat, tembikar dsb: Karya yg dipamerkan ialah seni catan, cetakan, seramik, anyaman dan foto yg merupakan hasil kerja tangan pelajar UPSI. berseramik برسيراميک [bər⋅se⋅rɑ⋅mik] ktt ada seramik atau berhias dgn seramik: Ruang dapur atas berseramik biru menjadikan dapur tampak mewah. tembikar تمبيکر [təm⋅bi⋅kɑr] n 1 cawan, mangkuk, pinggan dll yg dibuat drp tanah liat yg dibakar dan bergilap; 2 serpihan tembikar, cawan, mangkuk dll; tembereng; porselin ڤورسلين [por⋅sə⋅lin] n bahan yg dibuat drp campuran tanah liat, kuarza dsb, yg dipanaskan sehingga menjadi pepejal putih yg licin, keras dan digunakan sbg penebat elektrik, peralatan dapur, makmal dsb; berporselin برڤورسلين [bər⋅por⋅sə⋅lin] ktt mengandungi porselin: bahan batuan berporselin. Semoga jawapan ini menjawab persoalan tuan. Terima kasih. | Makna | 22.03.2023 |