mana satu yang betul diperakui atau diperakukan? | Memperakui bermaksud mengesahkan: lantikan tersebut adalah sah dan diperakui oleh undang- undang; Memperakukan bermaksud 1. memberikan sokongan (utk), menyetujui serta menyokong (atau menganjurkan): dia ~ dua hari cuti; 2. mengemukakan (menyarankan dsb) sbg baik (sesuai dsb): ~ beberapa buah buku utk diterjemahkan; Oleh yang demikian kedua-dua perkataan ini betul bergantung pada penggunaannya dalam ayat. | Tatabahasa | 05.05.2009 |
Apa perbezaan 'analisa' dengan 'analisis' dari segi maksud dan penggunaannya dalam ayat? Istilah 'blog' tidak ada dalam kamus dewan. Adakah perkataan ini telah sah menjadi bahasa Malaysia baku? Kita sering mendapati perkataan tanya digunakan dalam ayat penyata. Misalnya, 'Dia ingin mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku'. Adakah ayat ini betul? | Tidak ada perbezaan antara kedua-dua kata tersebut. Kata yang betul ialah analisis. Maksud analisis ialah penyelidikan atau penghuraian sesuatu untuk mengetahui pelbagai aspeknya secara terperinci atau mendalam. Cth. analisis data kajian. Kata analisa tidak lagi digunakan. Kata blog merupakan istilah baru dalam bidang komputer dan ICT dan boleh diterima dalam bahasa Melayu kerana istilah ini sudah digunkan secara meluas oleh masyarakat. Ayat dia ingin mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku betul. | Tatabahasa | 24.04.2008 |
Sis Aaliah 3.49 PTG Sis Aaliah Salam Saya ingin bertanya Kalau nak check bahasa yang diguna di atas banner , macam mana permohonannya? sebab saya ada tanya di PBT tadi, dia cakap kalau nak mohon letak banner kena dapatkan khidmat nasihat DBP | Permohonan pengesahan bahasa dalam iklan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui portal DBP Sah Bahasa (http://dbpsahbahasa.my) | Lain-lain | 20.09.2017 |
a. saya keliru dengan penggunaan perkataan "berhemah" dengan "berhemat". 1. Apa beza antara kedua-duanya. 2. Boleh beri contoh ayat yang sesuai ? b. ada khabar angin mengatakan kamus dewan edisi 4 tidak "valid". Betulkah ? | Sekiranya sdr merujuk Kamus Dewan, kata berhemah membawa maksud seseorang yang mempunyai budi pekerti yang mulia: Contoh ayat; dia jujur dan berhemah tinggi. Manakala kata berhemat menggambarkan sikap seseorang yang berjimat cermat dalam perbelanjaan atau penyimpanan wangnya. 1. berjimat, bercermat: sebab itu dia hendak ~ menyimpan wang; 2. berhati-hati, teliti: amatlah mustahaknya pengarang itu ~ kerana sekiranya perkataannya itu didapati palsu maka hukuman terhadapnya menjadi berat; ingat sebelum kena, ~ sebelum habis prb perlu berikhtiar dgn sungguh-sungguh supaya tidak menyesal pada kemudian hari. Berkaitan dengan khabar angin yang mengatakan Kamus Dewan Edisi keempat tidak sah (valid) kurang tepat. Hal ini demikian, kerana Kamus Dewan ini menjadi rujukan umum pengguna bahasa dan mendapat permintaan yang sungguh menggalakkan daripada pengguna bahasa. Untuk makluman pihak tuan, Kamus Dewan juga diterbitkan dalam bentuk digital (cakera padat), iaitu Kamus Dewan Eja Pro. Walau bagaimanapun, kami merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan tuan terhadap Kamus Dewan Edisi Keempat ini. DBP sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan, maklum balas, dan komen daripada pengguna terhadap produk DBP untuk tindakan penambahbaikan. | Tatabahasa | 11.06.2009 |