Rujuk ayat di bawah, yang mana satu betul? (1) tiada had nilai. ATAU (2) tanpa had nilai. Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), perkataan tanpa dan tiada bermaksud tidak ada. Oleh itu, kedua-dua frasa tersebut betul. | Tatabahasa | 18.01.2024 |
bagaimana hendak membezakan pgunaan 'aras' 'tahap' dan peringkat.? | 1. Aras bermakna a) Had tingginya sesuatu permukaan air dsb; paras; takat. Contoh ayat: Aras air sampai ke lutut dalamnya. b) Permukaan air. Contoh ayat: Kerana hujan lebat, aras air Sungai Gombak naik satu meter. 2. Tahap bermaksud had atau takat dlm sesuatu usaha (projek dll); Ia sinonim dengan peringkat; tingkat. Contoh ayat: Pemikirannya sudah sampai ke tahap yg begitu tinggi; 3. Peringkat bermaksud: a) Had yg dicapai dlm sesuatu usaha; susunan mengikut kemajuan yg dicapai; tingkat kemajuan; tahap. Contoh ayat: Kerja menanam padi itu dibahagikan kpd beberapa peringkat. b) Kedudukan mengikut tarafnya atau tingkatannya: Rundingan mengenai pertahanan Asia Tenggara pd peringkat menteri akan diadakan tidak lama lagi. | Makna | 29.06.2015 |
Selamat sejahtera Encik/ Puan, yang mana satu betul? 1. Pemandu itu memandu kenderaan di bawah had laju yang ditetapkan. 2. Pemandu itu memandu kenderaan bawah had laju yang ditetapkan. Minta pencerahan. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah Pemandu itu memandu kenderaan bawah had laju yang ditetapkan. | Tatabahasa | 30.10.2022 |
Tuan, 1) mengapakah kata dasar taksir boleh menerima imbuhan pe- dan pen- dengan makna yang sama? Dalam K/Dewan Ed 2 ada entri penaksiran dan Ed 4 ada kata penaksiran dan pentaksiran. 2) Adakah akronim halaju terbit darpada hal laju atau had laju? Terima kasih. | 1. Perkataan taksir ialah homonim, perkataan yang sama tetapi berbeza makna. Taksir yang pertama membawa maksud lalai menerbitkan kata mentaksirkan, manakala taksir yang kedua membawa maksud hitung atau kira menerbitkan kata menaksir, taksiran, penaksiran dan penaksir. 2. Halaju dan had laju ialah dua perkataan yang berbeza, had laju bermaksud kelajuan maksimum yang dibolehkan, manakala halaju ialah kelajuan atau kecepatan, dan bukan juga hal laju. | Tatabahasa | 04.03.2012 |
Selamat sejahtera, mohon pencerahan tentang 2 soalan: 1) Apakah beza konkrit "Hingga" dan "Sehingga" ? Adakah Hingga hanya untuk batasan had jelas seperti masa dan harga. Dan Sehingga untuk batasan seperti apa? 2) Apakah padanan perkataan BM yang sesuai untuk "Browse" - contohnya seperti "Browse our products". Adakah "Lihat produk kami" atau ada padanan lain? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 775, sehingga merupakan kata sendi nama yang bermaksud sampai menjadi atau sampai pada sesuatu keadaan; hingga; hinggakan. Oleh itu, hingga dan sehingga mendukung makna yang sama. Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa maksud perihal peringkat dan had masa, waktu atau tempat. Contoh: Pegawai itu berjaga hingga pagi. Manakala, sehingga digunakan sama maksud dengan hingga tetapi had masa tidak tentu/ditetapkan. Contoh: Kami akan bersama-sama sehingga akhir hayat. | Tatabahasa | 11.07.2024 |
Apakah padanan yang sesuai bagi perkataan "within" dalam konteks had tempatan (local limit) dan dalam konteks bidang kuasa (jurisdiction). Contoh ayat seperti yang berikut: 1. Any cause or matter within its jurisdiction shall have full force and effect and may be served and executed anywhere within Malaysia; 2. A Sessions Court shall have jurisdiction to hear and determine any civil or criminal cause or matter arising within the local limits of jurisdiction assigned to it; dan 3. if issued or made by a Magistrates’ Court, be signed by a Magistrate of either class within the local limits of whose jurisdiction the Court is situate. Mohon penjelasan pihak Tuan/Puan berkenaan dengan padanan perkataan “within” sewajarnya diterjemahkan sebagai “dalam” atau “di dalam” mengikut konteks ayat di atas. | Penggunaan kata sendi nama di dalam digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Manakala kata sendi nama dalam hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Perkataan seperti sebab (cause), perkara (matter) atau had (limit) tidak mempunyai ruang atau jarak yang dapat ditentukan. Oleh itu, penggunaan perkataan yang betul ialah dalam. | Tatabahasa | 13.03.2020 |
1) Apakah perbezaan antara hingga dengan sehingga? 2) Pada minggu hadapan atau pada minggun depan? 3) Diperbuat daripada sutera atau kain sutera? 4) Apakah perbezaan antara kata hubung gabungan dan dengan manakala? Terima Kasih ! | 1. "Hingga" dan "Sehingga" - Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa, waktu atau tempat, manakala sehingga digunakan sama dengan hingga tetapi had masa tidak tentu/ditetapkan. Kedua-duanya boleh digunakan mengikut kesesuaian ayat. 2. Cadangan penggunaan yang betul ialah "Diperbuat daripada sutera". 3. Kata "dan" merupakan kata hubung gabungan yang berfungsi menggabungkan dua ayat yang setara, iaitu kedua-dua ayat merupakan ayat utama. Kata hubung "dan" tidak boleh berada di pangkal ayat. Pada kelazimannya, kata hubung "dan" diletakkan pada pertengahan ayat kerana fungsinya sebagai penyambung wacana. "Manakala" merupakan kata hubung pancangan keterangan yang berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Manakala" boleh digunakan pada permulaan ayat dengan syarat ada kesinambungan wacana dengan ayat yang sebelumnya. Sehubungan dengan itu, perlu diletakkan di tengah-tengah ayat. Contohnya, “Dia duduk di samping ayahnya, manakala adiknya duduk di hadapan ibunya.” | Tatabahasa | 22.01.2022 |
Salam sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Depa ialah salah satu unit ukuran panjang. 2. Plat nombor keretanya hanya satu digit sahaja. 3. Penganut agama itu memuja tuhan yang esa. 4. Had umur minimum bagi pemandu kereta ialah tujuh belas tahun. 5. Encik Abu menjadi imam semasa bersembahyang. 6. Permukaan dinding itu mula kopak. 7. Adakah "juru" dan "kilo" tergolong dalam imbuhan pinjaman? Jika tidak, apakah golongan kata bagi perkataan yang terdiri daripada juru dan kilo? Terima kasih. | 1. Depa ialah ukuran panjang antara kedua-dua hujung tangan yang didepangkan. 2. Plat nombor keretanya hanya satu digit sahaja. 3. Penganut agama itu memuja tuhan yang esa. 4. Had umur minimum bagi pemandu kereta ialah tujuh belas tahun. 5. Encik Abu menjadi imam sembahyang zuhur. 6. Permukaan dinding itu mula terkopak. 7. Juru ialah awalan asing, manakala kilo ialah ringkasan kilogram dan kilometer dan bukan awalan asing. | Tatabahasa | 29.01.2013 |
1. Ibu mengisar cili ( sehingga / hingga ) lumat. 2. Olahragawan ( jatuh pada tangan / jatuh pada ) Ali. | 1. Jawapan yang tepat: Ibu mengisar cili sehingga lumat. 'Hingga' bermaksud garis terakhir, batas; sampai ke (had tempat, waktu, dll). Contoh : percakapan terhenti hingga itu; hingga kini. 'Sehingga' bermaksud sampai pada keadaan (masa,dll); sampai menjadi; setelah (sudah). Contoh : sehingga matahari telah condong ke barat, barulah Si Tanggang berkayuh balik. 2. Soalan kedua sukar difahami. Minta maaf. | Lain-lain | 21.09.2014 |
Frasa manakah yang betul penggunaannya? 1....seperti pada ketetapan berikut ATAU pada ketetapan seperti berikut 2....seperti pada Lampiran A ATAU seperti di Lampiran A? 3. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak urus setia.. ATAU sukacita dimaklumkan, pihak urus setia.. 4. hingga ATAU sehingga | Frasa yang betul ialah: 1....seperti pada ketetapan berikut: 2..... seperti pada Lampiran A 3. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak urus setia.. 4. hingga dan sehingga - Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa , waktu atau tempat, manakala sehingga digunakan sama dengan hingga tetapi had masa tidak tentu/ditetapkan. Kedua-duanya boleh digunakan mengikut kesesuaian ayat. | Tatabahasa | 13.03.2019 |