Mohon pencerahan penggunaan penjodoh bilangan berikut: Ayat 1:Syura menempah beberapa JAMBANGAN/JAMBAK bunga untuk majlis hari lahir adiknya. Penjodoh bilangan jambangan atau.jambak yang paling sesuai berdasarkan ayat di atas? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jambak bermaksud karangan (bunga, kunci, dan lain-lain), rangkai, berkas: sejambak bunga. Manakala jambangan bermaksud tempat meletakkan bunga dan pasu bunga. Berdasarkan huraian di atas, perkataan yang paling betul ialah jambak. | Tatabahasa | 10.01.2017 |
Apakah maksud, 'Bagaikan serai ditimpa jambak' dan 'Jong jong inai, mak ipong rajawali'? | Maksud 'Bagaikan serai ditimpa jambak' ialah menjadi celaka kerana perbuatan (kawan,kaum dan sebagainya) sendiri. Manakala 'Jong jong inai, mak ipong rajawali', pihak kami sedang membuat rujukan untuk menemukan maksud yang bersesuaian. Pihak kami juga telah mengambil butiran puan untuk tindakan selanjutnya. | Lain-lain | 03.11.2010 |
bagaimana kita nak berurusan dengan tokoh sastera dan bahasa untuk tujuan temuramah? saya seorang pelajar UPSI,di minta membuat kerja kursus berkaitan tokoh,,, | Persediaan awal sebelum menemuramah tokoh sastera dan bahasa, antaranya ialah mengkaji latar belakang tokoh, taraf pendidikan, bidang dan kepakaran tokoh yang dipilih, penglibatan dalam organisasi atau badan-badan amal, sumbangan dan karya-karyanya. Dalam hal ini, bagi memperlengkapkan maklumat dan persediaan di pihak sdr, sdr bolehlah merujuk kepada buku Wawancara, (terbitan DBP) karya Prof. Emeritus Dato' Dr. Hajah Asmah Haji Omar dan buku Jambak I, Jambak II, Jambak III dan Jambak IV (terbitan DBP) yang diselenggarakan oleh Kemala. Sekian dan salam. | Lain-lain | 27.07.2009 |
1. Emak menghiris se ____ bawang merah. A. ulas B. ketul C. labu D. jambak. 2. Pemuda ____ minuman. A. menyedut B. menghirup Apakah jawapan yang betul dalam soalan 1 dan 2 ?Mengapakah ? 3. Lina tidak suka mengambil makanan yang (berat) seperti nasi terutamanya pada waktu malam. Perkataan "berat" boleh gunakan dalam ayat ini?Jika salah, apakah perkataan yang sesuai ? Terima kasih. | 1. Emak menghiris seulas bawang merah. Labu boleh digunakan sebagai penjodoh bilangan untuk bawang besar. Walaupun makna labu sebagai penjodoh bilangan tidak ada dalam kamus, tetapi korpus bahasa Melayu (boleh dilihat melalui laman web DBP www.dbp.gov.my) merakamkan penggunaan labu sebagai penjodoh bilangan untuk bawang besar dan bawang putih. 2. Dalam Kamus Dewan, menghirup bermaksud "menyedut dan menelan benda cair, meneguk". Menyedut pula bermaksud "menarik masuk (ke dalam) dengan kekuatan udara (dengan mulut , hidung dan lain-lain), menghirup, menghisap.' Berdasarkan maksud yang diberikan, kedua-dua perkataan "menghirup" dan "menyedut" boleh digunakan. 3. Makanan berat adalah betul dan boleh digunakan. | Tatabahasa | 24.01.2013 |
apakah penjodoh bilangan bagi rumpai laut? | Penjodoh bilangan yang digunakan ialah gugus atau jambak bergantung pada keadaan atau bentuk rumpai laut. | Lain-lain | 09.03.2010 |
"Apakah ertinya perkataan 'karangan' dlm ayat ini?Kamala meletakkan karangan bunga itu di atas meja di ruang tamu. " | 'karangan' dalam ayat ini bermaksud 'jambak bunga 'rangkai' dan ''ikat ' bunga. | Makna | 27.05.2013 |
Salam sejahtera. Bolehkah saya tahu, perkataan yang sepadan untuk menerangkan "flower spike" dan "flower head" dalam bahasa melayu. Perkataan ini biasa ditemukan dalam bidang botani. Adakah kedua-duanya membawa maksud yang sama? | Berdasarkan maklumat internet dan prpm kami boleh mencadangkan: flower head - jambak flower spike -- bulir. Namun, padanan yang tepat tetap bergantung pada konteks penggunaan. | Makna | 29.03.2014 |
salam tuan. saya menggunakan sebuah buku latihan/buku kerja tatabahasa bertajuk 'Latih Tubi Total (Terkini)' Tatabahasa Tahun 4 keluaran Sasbadi tahun 2006. Penulis buku; Norida Tan & Fatimah Azzahra Mat Yunus. Dalam Unit 5 buku itu bahagian penjodoh bilangan disediakan nota/fakta iaitu: kaki - untuk payung dan bunga SOALAN: adakah betul penjodoh bilangan kaki boleh digunakan untuk bunga? setakat yg saya tahu, penjodoh bilangan bunga; kuntum, jambak, tangkai, pasu. -Terima kasih- | Penjodoh bilangan bagi bunga ialah kuntum, jambak dan tangkai, manakala "pasu" boleh digunakan untuk bunga tetapi bukan penjodoh bilangan. Jika bunga ditanam di dalam pasu, boleh digunakan "sepohon bunga" tetapi "kaki" tidak boleh digunakan untuk bunga. | Lain-lain | 04.03.2010 |