| Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya hendak bertanya penggunaan kata "belayar" dan "berlayar" dalam ayat berikut adakah betul? Nakhoda Hitam belayar di tengah samudera dengan kapal berlayar kain putih. | Ayat tersebut diberikan penambahbaikan seperti yang berikut: “Nakhoda Hitam belayar di tengah samudera dengan menggunakan kapal yang berlayarkan kain putih.” i. belayar bermaksud pergi ke sesuatu tempat dengan kapal, perahu dan sebagainya. ii. berlayar bermaksud (berkenaan perahu, kapal dan sebagainya) menggunakan atau mempunyai layar. iii. berlayarkan bermaksud menggunakan sesuatu sebagai layar. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1267. | Tatabahasa | 08.10.2025 |
| Permohonan semakan penggunaan perkataan bagi Tema Perhimpunan Anjuran Bahagian Perjawatan dan Organisasi, JPA. Tema Perhimpunan: Larai Stratifikasi Maksud Tema Perhimpunan: Perjalanan/Proses Membentuk Hierarki/Struktur Organisasi Soalan 1: Adakah dua perkataan "Larai Stratifikasi" boleh dicantumkan seterusnya membawa maksud yang dinyatakan atau memerlukan penambahan imbuhan? | “Larai stratifikasi” tidak sesuai digunakan kerana gabungan perkataan ini tidak menggambarkan maksud yang ingin disampaikan. “larai” ialah perkataan dalam bahasa Kedayan Brunei yang membawa maksud bidang kain, kanvas, plastik dan lain-lain, yang dipasang pada tiang layar dan dikembangkan untuk menampung angin supaya perahu atau kapal dapat bergerak di air, [Rujukan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 1252]. Perkataan “stratifikasi” pula membawa maksud pembahagian masyarakat kepada beberapa tingkatan atau taraf kedudukan mengikut hierarki yang biasanya ditentukan oleh asal usul keturunan, kekayaan dan sebagainya,[Rujukan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 2153]. Cadangan kami, gunakan perkataan dan ayat yang senang difahami oleh semua lapisan masyarakat selaras dengan saranan Perdana Menteri. Tidak salah hendak menggunakan perkataan dalam bahasa Melayu yang menarik, namun beberapa perkara perlu diambil kira antaranya termasuklah kesesuaian laras bahasa yang berkait rapat dengan penerimaan khalayak. Contohnya, Kementerian Pendidikan lebih cenderung untuk menggunakan perkataan jati dalam bahasa Melayu untuk memudahkan pemahaman masyarakat. Penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan sesuai perlu diutamakan. | Lain-lain | 20.02.2026 |