Assalamualaikum wbt Apakah maksud perkataan memperjudiskan? Contoh ayat : 1. sebaliknya hakim bicara telah mengambilkira keterangan-keterangan yang 'memperjudiskan' perayu-perayu. 2.Kedua, perayu-perayu mempunyai peluang untuk menyangkal (to rebut) anggapan dibawah s.37(d) ADB 1952 dan oleh itu perayu-perayu tidaklah 'terperjudis'. Kedua-dua contoh ini saya dapati di alamat url berikut: (http://www.kehakiman.gov.my/directory/judgment/file/K-05-8-2011.pdf) 3. AMER HAMZAH: Sejak kamu mendapat maklumat yang boleh 'memperjudiskan' tertuduh, keterangan kamu pada hari ini (semalam) memihak kepada pendakwaan. Contoh ketiga boleh didapati di alamat url berikut :(http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Saksinafimemihakpendakwa/Article) Mohon nasihat daripada pihak tuan/puan Terima kasih -Mohd Habib bin Abdul Halim- | Perkataan memperjudiskan tiada dalam data kami. Perkataan yang paling hampir ialah prejudis yang bermaksud rasa suka atau tidak suka yang tidak berasas terhadap sesuatu kaum, agama, dan sebagainya. Manakala padanan bahasa Melayu bagi istilah prejudice ialah prasangka. | Tatabahasa | 19.06.2013 |
Tuan, sila tengok yang saya garrisbawahi. (i) Keterangan musabab KETERANGAN MUSABAB ialah unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. KATA HUBUNG KETERANGAN MUSABAB adalah seperti kerana, lantaran, SEBAB, dan oleh sebab. Tuan, saya sudah banyak kali membaca tetapi sudah jelas dan nyata bahawa SEBAB yang tercatat di kategori KATA HUBUNG KETERANGAN MUSABAB. Dipetik daripada Tatabahasa Dewan Ketiga.pg 515, 18.3.3.1. | Sila baca dengan teliti Tatabahasa Dewan Ketiga halaman 515 18.3.1 Jenis Ayat Keterangan (i) Keterangan Musabab. Kata hubung keterangan musabab adalah seperti kerana, lantaran, dan oleh sebab. | Tatabahasa | 27.08.2014 |
Wujudkah perbezaan antara kata keterangan dengan inti penerang? Adakah boleh disamakan antara adverb(Bahasa Inggeris) dengan kata keterangan/penerang? | Terdapat perbezaan antara kata keterangan adverb. Untuk memahaminya lihat fungsi setiap kelas kata dan contoh ayat yang diberikan. kata keterangan berfungsi menghubungkan keterangan pada klausa utama, contohnya: Pegawai itu sering dipuji kerana rajin bekerja. Kata adverb ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama dan frasa nama dari segi acara, masa dan tempat, contohnya: Kami selalu memperkatakan hal itu. Untuk maklumat lanjut, rujuk Tatabahasa Dewan halaman 253 dan 289. | Tatabahasa | 22.06.2011 |
Penggunaan perkataan yang betul untuk perkataan 'kerana' dan apabila. Contoh ayat: 1. Anda didapati telah melanggar kod etika APABILA tidak menghadirkan diri.... 2. Anda didapati telah melanggar kod etika KERANA tidak menghadirkan diri... | Kerana dan apabila ialah kata hubung pancangan keterangan, ringkasnya kata keterangan. Kata keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Lazimnya "kerana" digunakan di tengah-tengah ayat bagi menerangkan klausa utama. Contohnya dalam ayat 1 dan 2 penggunaan yang tepat ialah "kerana" kerana kedua-dua klausa selepas perkataan "kerana" menerangkan klausa utama yang hadir sebelumnya. Kata hubung "apabila" lazimnya digunakan pada pangkal ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk halaman 253. | Tatabahasa | 16.04.2014 |
keterangan tentang peribahasa hendak seribu daya,tak nak seribu dalih | Maksud peribahasa "Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih" bermaksud setiap ada kemahuan, tentu ada jalan. | Lain-lain | 04.10.2009 |
KETERANGAN BUDI BAHASA BUDAYA BANGSA | Budi bahasa lazimnya merujuk 'tutur kata, kelakuan, sapon santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak yang mulia'. Setiap gerak laku, tutur kata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa. Umumnya, nilai-nilai murni yang diterima diamalkan oleh masyarakat Malaysia yang merentas individu, kekeluargaan, masyarakat dan kenegaraan adalah nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat rasmi dan kebudayaan. Untuk maklumat lanjut, tuan bolehlah menghubungi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan selaku penganjur Kempen Budi Bahasa atau dapatkan buku Budi Bahasa Budaya Kita yang diterbitkan oleh mereka. | Lain-lain | 30.03.2009 |
Cikgu, samakah maksud "kata keterangan" dengan "kata adverba"? Jika sama maksud, mengapakah penulis-penulis Tatabahasa Dewan tidak menggunakan istilah "kata keterangan" berbanding dengan "kata adverba"? "Kata keterangan" frasa Melayu, manakala kata "adverba" dalam frasa "kata adverba" pinjaman daripada bahasa Inggeris. Sedangkan kita ada frasa Melayu sendiri, mengapakah Tatabahasa Dewan tidak memakai istilah frasa Melayu itu? Mengapakah mesti memilih frasa "kata adverba" yang merupakan pinjaman daripada bahasa Inggeris? | Unsur keterangan tidak sama dengan kata adverba. Unsur keterangan dalam frasa kerja terdiri daripada unsur yang menerangkan kata kerja itu dengan lebih lanjut lagi dan unsur ini juga berfungsi sebagai frasa adverba. Unsur keterangan boleh terdiri daripada frasa sendi nama, frasa adjektif, frasa nama dan kata adverba. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 289 dan 399. | Tatabahasa | 27.02.2015 |
Saya meminta maaf kerana keliru akan keterangan yang encik berikan. Keterangan encik seolah-olah tiada wujud perbezaan antara perkataan 'bertanyakan' & "menanyakan'. Setakat yang saya maklum, 'bertanyakan' ialah kata kerja intransitif yang diikuti oleh sesuatu yang ditanya. Contohnya, Saya bertanyakan keadaan kesihatan ibunya. Kata 'bertanya' perlu diikuti oleh kata sendi. Contohnya, Saya bertanya tentang keadaan kesihatan ibunya. Manakala kata 'menanyakan' ialah kata kerja transitif yang diikuti oleh kata ganti nama atau kata nama orang yang ditanya. Contohnya, Saya menanyakan dia tentang keadaan kesihatan ibunya. Kata 'menanya' perlu diikuti oleh kata sendi. Contohnya, Saya menanya kepada dia tentang keadaan kesihatan ibunya. Adakah pemahaman saya di atas betul dari segi rumus bahasa Malaysia? Harap pihak encik dapat memberikan jawapan yang konkrit tentang soalan ini. Terima kasih. | Pendapat saudara memang benar. Dalam halaman 194 dan 200, buku Tatabahasa Dewan menjelaskan bahawa kata kerja yang terhasil dengan apitan meN-...-kan ialah kata kerja transitif dan kata kerja yang terbentuk melalui beR-...-an ialah kata kerja tak transitif. Jawapan kami sebelum ini merujuk data daripada kamus. | Tatabahasa | 25.06.2012 |
kerana keletihan dia tertidur di bawah pohon itu.(adakah terdapat keselahan pada kerana? bolehkah Kerana diletakkan di depan ayat?) | 'kerana' ialah kata hubung pancangan keterangan, dan tidak boleh diletakkan di hadapan ayat. Untuk makluman, kata hubung pancangan keterangan atau kata keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Contohnya: Pegawai itu sering dipuji kerana rajin bekerja. Ayat yang betul ialah: Dia tertidur di bawah pohon itu kerana keletihan. | Tatabahasa | 20.02.2011 |
Tuan, minta lihat ayat contoh di bawah. 1. Pemuda itu datang dengan menaiki kereta api. Ayat (1) ialah ayat majmuk pancangan keterangan. Perkataan "dengan" bertugas sebagai kata hubung keterangan cara dalam ayat ini. Andai kata saya menggugurkan kata kerja "menaiki" dalam ayat keterangan "dengan menaiki kereta api", ayat akan menjadi begini: 2. Pemuda itu datang dengan kereta api. Saya hendak bertanya, adakah ayat (2) ialah ayat tunggal atau ayat majmuk pancangan keterangan? Ada orang yang mengatakan bahawa bentuk ayat (2) ialah ayat tunggal. Setelah pengguguran kata kerja "menaiki" dalam ayat keterangan digugurkan, ayat majmuk akan berubah kepada ayat tunggal. Ada hal demikiankah? Satu soalan lagi. Adakah perkataan "dengan" dalam ayat (2) bertugas sebagai kata sendi nama atau masih kata hubung keterangan cara? Bagaimanakah saya membezakan tugas "dengan" sebagai kata sendi nama dan kata hubung? | Ayat Pemuda itu datang dengan kereta api ialah ayat tunggal, kata dengan berfungsi sebagai kata sendi nama. Sila rujuk Tatabahasa Dewan berkaitan kata sendi nama dan jenis ayat. | Tatabahasa | 22.12.2014 |