Bolehkah 'airside' diterjemahkan sebagai 'kawasan lapangan terbang' (konteks : bahagian airside di lapangan terbang) | Dalam pangkalan data istilah DBP, padanan bahasa Melayu untuk "airside' ialah rusuk udara. Maksud istilah ini ialah kawasan di lapangan terbang atau bangunan terminal yang pergerakan masuk orang ramai dikawal. | Istilah | 26.08.2016 |
Apakah penjodoh bilangan yang paling sesuai bagi landasan kapal terbang? Contoh ayat: "Dua buah landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur" atau "Dua batang landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur." | Jika kita menggunakan ungkapan sebatang jalan, maka untuk konsep yang hampir sama, iaitu landasan penjodoh bilangan yang sesuai ialah batang. | Tatabahasa | 14.11.2012 |
Salam Sejahtera, Sila puan/tuan semak sama ada ayat yang di bawah ini betul dari segi tatabahasa. " Beiau dijangka akan tiba ke lapangan terbang itu pada pukul lima petang." Terima kasih. | Ayat yang betul ialah 'Beliau dijangka tiba di lapangan terbang itu pada pukul lima petang'. | Tatabahasa | 15.12.2012 |
Lapangan Terbang Kota Bharu merupakan "secondary hub" syarikat penerbangan Firefly. "Secondary hub" boleh diterjemahkan sebagai "hab sekunder"? Atau DBP mempunyai cadangan istilah lain? | Istilah hab sekunder adalah betul dan boleh digunakan. | Istilah | 18.08.2015 |
Kenapa singkatan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Ke-2 ditulis klia2 sedangkan mengikut peraturan sepatutnya KLIA2? Kenapa tidak ditulis dalam bahasa rasmi negara LTAKL2? Kenapa bahasa Melayu diabaikan? Terima kasih. | Dewan Bahasa dan Pustaka melaksanakan pemantauan penggunaan bahasa dalam semua media termasuklah media peragaan dan paparan. Pemantauan kesalahan penggunaan bahasa yang dibuat berserta dengan pembetulannya akan dikemukakan kepada pihak-pihak berkenaan untuk diambil tindakan pembetulan dan sebagainya. Usaha pemantauan memang dilakukan termasuklah surat-surat teguran yang dihantar kepada syarikat atau agensi kerajaan yang melakukan kesalahan dalam apa juga jenis paparan yang ditujukan untuk umum. Terima kasih kerana peka dengan kesalahan dan perkara berkenaan dan amatlah kami hargai. | Tatabahasa | 09.05.2014 |
Apakah istilah atau terjemahan dalam Bahasa Melayu untuk "Space Port"? - lapangan terbang angkasa? - lapangan lancar angkasa? | Kami mencadangkan "space port" diterjemahkan sebagai "pelabuhan angkasa" atau "pelantar angkasa", bergantung pada konteks dan konsep penggunaannya. | Istilah | 15.07.2020 |
Apakah terjemahan yang paling tepat bagi "taxiway," iaitu laluan kapal terbang di lapangan terbang yang biasa digunakan selepas mendarat untuk menuju ke bangunan terminal tanpa mengganggu laluan landasan yang akan digunakan oleh pesawat lain? | Padanan bahasa Melayu bagi perkataan tersebut ialah jalan rayap. | Istilah | 22.06.2009 |
Apakah terjemahan yang tepat bagi "aerobridge" ke dalam bahasa Melayu? (Merujuk kepada "aerobdridge" di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.) | Terjemahan bagi "aerobridge" dalam konteks tersebut ialah "jambatan udara". | Istilah | 16.07.2007 |
Salam mesra, Apakah terjemahan yang sesuai bagi "Dependent Information"? Konteks ini digunakan dalam borang di lapangan terbang. Terima kasih. | Dalam data kami, istilah dependent dipadankan sebagai tanggungan yang digunakan dalam bidang ekonomi. Cadangan kami bagi istilah dependent information ialah Maklumat Tanggungan jika bersesuaian dengan konsep yang hendak dinyatakan. | Penyemakan dan penterjemahan | 30.05.2014 |
Apakah kesalahan istilah dan kesalahan tatabahasa yang terdapat dalam ayat berikut: 1. Hanya dua buah pesawat sahaja yang akan bertolak ke Tokyo di hari ini setelah ditunda selama dua hari ekoran rusuhan di Lapangan Terbang Bangkok. | 1. Hanya dua buah pesawat sahaja yang akan bertolak ke Tokyo pada hari ini setelah ditunda selama dua hari ekoran rusuhan di Lapangan Terbang Bangkok. | Lain-lain | 29.10.2009 |