| Saya memasuki pertandingan syair peringkat daerah, bagaimana saya ingin memastikan irama yang saya bawa adalah betul ? Adakah irama Syair yg ada di Youtube adalah betul ? | Untuk maklumat, pihak DBP tidak menawarkan khidmat seperti yang tuan/puan maksudkan. Apa yang dipaparkan di Youtube, kami juga tidak dapat memastikan kesahihannya. Sungguhpun demikian, kami mencadangkan supaya tuan/pun menghubungi pihak ASWARA kerana mungkin ada yang dapat memberikan bantuan disebabkan di sana terdapat kursus-kursus yang berkaitan dengan seni dan sastera, sama ada moden atau tradisional. | Lain-lain | 12.05.2017 |
| KEGAGALAN MEMASUKI AKSARA CARIAN KERANA PAPARAN MAKLUM BALAS SENTIASA KELUAR WALAU PUN BORANG TERSEBUT TELAH DIAMBIL TINDAKAN PENGHANTARAN | Aduan tuan telah kami panjangkan kepada Bahagian Sistem Maklumat DBP. Untuk sementara waktu, kami mencadangkan tuan menggunakan enjin carian Crome, bukan Internet Explorer. | Lain-lain | 22.11.2016 |
| Jangan memasuki bilik itu tanpa kebenaran Adakah ayat ini betul ? | Penggunaa ayat di atas adalah tepat. | Tatabahasa | 02.09.2012 |
| 1. Penyewa telah membayar deposit tetapi belum memasuki unit rumah PPR akibat kerosakan; Atau 2. Penyewa telah membayar deposit tetapi belum memasuki rumah ppr akibat kerosakan. | Ayat yang lebih tepat ialah “Penyewa telah membayar deposit rumah PPR, tetapi belum memasuki rumah berkenaan disebabkan terdapat kerosakan.” | Tatabahasa | 11.07.2024 |
| Selamat Sejahtera Tuan Apakah perbezaan antara memasuki dan memasukkan Terima kasih | Kedua-dua perkataan “memasuki” dan “memasukkan” merupakan kata terbitan daripada kata dasar “masuk” yang tergolong dalam golongan kata kerja. Menurut Kamus Dewan Perdana, perkataan “memasuki” bermaksud masuk ke dalam (sesuatu); menuju masuk hingga sampai di (sesuatu tempat); pergi ke dalam, datang ke dalam, mendatangi, menyertai, mengambil bahagian atau mengikuti. Perkataan “memasukkan” pula bersinonim dengan perbuatan mengisikan, membawa masuk atau memuatkan. Secara ringkasnya, “memasuki” menunjukkan perbuatan masuk ke dalam (sesuatu). Contohnya, “Abang memasuki bilik darjah pada waktu rehat.” Perkataan “memasukkan” pula menunjukkan perbuatan mengisikan sesuatu ke dalam sesuatu yang lain. Contohnya, “Abang memasukkan semua buku teks ke dalam beg sekolahnya.” Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang https://prpm.dbp.gov.my/ dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 1422. | Tatabahasa | 12.05.2024 |
| Mana satu yang betul? 1. Jangan biarkan syampu memasuki mana-mana rongga terbuka pada tubuh kucing / Jangan biarkan syampu memasuki mana-mana rongga terbuka di tubuh kucing. 2.Walaupun kucing mempunyai kelenjar peluh di tapak kaki, jumlah peluh yang dihasilkan sangat sedikit / Walaupun kucing mempunyai kelenjar peluh pada tapak kaki, jumlah peluh yang dihasilkan sangat sedikit. Mohon jelaskan perbezaan penggunaan di/pada kerana pada juga boleh digunakan untuk tempat. Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah “Jangan biarkan syampu memasuki rongga terbuka pada tubuh kucing.” Jawapan yang betul ialah “Walaupun kucing mempunyai kelenjar peluh pada tapak kaki, jumlah peluh yang dihasilkan sangat sedikit.” Perbezaan “di” atau “pada” bergantung pada konteks penggunaan ayat. Kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Contohnya, Ibunya bekerja di sekolah itu. Kata sendi nama "di" tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman. Contohnya, Raja Iskandar memerintah pada zaman itu. Kata sendi nama "pada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu seperti yang berikut, (i) menunjukkan keterangan waktu apabila mendahului kata nama yang menyatakan waktu atau masa, (ii) kata sendi nama "pada' apabila didahului ada mesti diikuti oleh kata nama yang merujuk manusia dan haiwan, dan (iii) sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Kata sendi nama "pada" tidak boleh digunakan di hadapan kata nama yang membawa maksud sasaran, Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), hlm. 265-274. | Tatabahasa | 25.03.2026 |
| Adakah ayat ini betul tatabahasanya? Banyak pengunjung berduyun-duyun memasuki zoo. | Berduyun-duyun telah membawa maksud jamad, ayat yang gramatis "pengunjung berduyun-duyun memasuki zoo". | Tatabahasa | 14.07.2012 |
| Kebanyakan kanak-kanak di kampung itu telah didedahkan dengan pelajaran asas sebelum memasuki alam persekolahan. Apakah kesalahan bahasa dalam ayat itu? | Ayat yang betul ialah: Kebanyakan kanak-kanak di kampung itu telah didedahkan kepada pelajaran asas sebelum memasuki alam persekolahan. | Lain-lain | 01.11.2021 |
| 1. Adik jatuh sakit ,kerana keracunan makanan. / Adik jatuh sakit kerana keracunan makanan. 2. Abang menonton televisyen ,sambil meminum air. / Abang menonton televisyen sambil meminum air. 3. Siti mengetuk pintu ,lalu memasuki kelas. / Siti mengetuk pintu lalu memasuki kelas. | Ayat/tanda baca yang betul; 1. Adik jatuh sakit kerana keracunan makanan. 2. Abang menonton televisyen sambil meminum air. 3. Siti mengetuk pintu lalu memasuki kelas. | Tatabahasa | 15.03.2010 |
| Adakah ayat ini betul? Kalau salah mengapa salah?Di bawah 18 tahun dilarang memasuki kedai ini. Terima kasih. | Ayat tersebut tidak gramatis kerana tiada pelaku (subjek). Ayat mudah yang lengkap ialah ayat yang mempunyai subjek dan predikat. Ayat tersebut hanya terdiri daripada predikat sahaja. - Remaja/Kanak-kanak di bawah 18 tahun dilarang memasuki kedai ini | Ejaan | 09.08.2006 |