| Melalui semakan kami, kedua-dua istilah bagi “minced meat” dan “ground meat” membawa maksud daging kisar. Tetapi dalam ayat yang sedang kami semak menggunakan padanan "daging giling" bagi "ground meat". Padanan ini merupakan merupakan istilah Indonesia. "Minced meat or ground meat" "Daging kisar atau daging giling" Bolehkah istilah ini digunakan atau terdapat padanan lain dalam bahasa Melayu bagi "ground meat" selain "daging giling". | Padanan bahasa Melayu bagi “minced meat” dan “ground meat” ialah daging kisar atau daging cincang bergantung pada konteks dan penggunaan ayat. | Pembinaan Bakat | 05.06.2021 |
| Jeremy ingin menyertai kempen ini kerana abangnya, Alvin merupakan pengerusi kelab yang menjayakan kempen tersebut. Soalan 1. kata kerja transitif bagi ayat di atas ialah _______? Soalan 2. Apakah jenis golongan kata bagi "merupakan" jika "merupakan" bukan kata kerja transitif? Terima kasih atas pencerahan. | 1. Kata kerja transitif bagi ayat yang diberikan ialah “menjayakan”. 2. Kata “merupakan” tergolong dalam kata kerja tak transitif. | Tatabahasa | 17.08.2023 |
| Yang manakah ejaan dan istilah yang tepat, "Saya merupakan mahasiswa Tahun Dua, fakulti Syariah Islamiah" ataupun "Saya merupakan mahasiswa tahun dua, fakulti Syariah Islamiah" ataupun "Saya merupakan mahasiswa Tahun Kedua, fakulti Syariah Islamiah" ataupun "Saya merupakan mahasiswa tahun kedua, fakulti Syariah Islamiah". Sekian, terima kasih. | Ejaan yang betul ialah "Saya merupakan mahasiswa tahun kedua, Fakulti Syariah Islamiah." | Tatabahasa | 03.02.2023 |
| 1. Manakah susunan frasa yang betul yang menepati hukum DM? "sangka baik" atau "baik sangka"? 2. "Yang berikut merupakan..." atau "Berikut merupakan..." Manakah lebih tepat? | 1. Frasa yang betul mengikut hukum D-M ialah "sangka baik". 2. Frasa yang lebih tepat ialah "Yang berikut merupakan ...". | Tatabahasa | 29.12.2025 |
| Bolehkah perkataan"hendaklah merupakan" digunakan dalam sesuatu ayat. Sebagai contoh dalam ayat di bawah ini: Sugar shall be the food chemically known as sucrose. Gula hendaklah merupakan makanan yang secara kimia dikenali sebagai sukrosa. | Perkataan "hendaklah merupakan" boleh digunakan sekiranya bersesuaian dengan konsep penulisan. Walau bagaimanapun, perkataan "hendaklah merupakan" dalam contoh ayat di atas tidak sesuai digunakan. Cadangan kami, teks tersebut diterjemahkan kepada "Gula ialah makanan dan dari segi kimia dikenali sebagai sukrosa". | Penyemakan dan penterjemahan | 31.05.2021 |
| Bahasa Melayu juga merupakan cerminan kesopanan budi dan adab bangsa Melayu. Ayat di atas pola apa? Merupakan kata apa... Minta penjelasan | Bahasa Melayu juga merupakan cerminan kesopanan budi dan adab bangsa Melayu. Jenis pola ayat di atas ialah FN + FN. Ayat yang tepat ialah: Bahasa Melayu tinggi juga ialah cerminan kesopanan budi dan adab bangsa Melayu. | Tatabahasa | 19.01.2022 |
| Saluran merupakan anak Puan Aminah yang cantik sekali di antara adik-adiknya atau Saluran merupakan anak Puan Aminah yang cantik sekali antara adik-adiknya | Ayat yang betul ialah "Saluran merupakan anak Puan Aminah yang cantik sekali antara adik-adiknya." | Lain-lain | 05.08.2022 |
| Malaysia merupakan destinasi ke - 11 pelancongan dunia atau Malaysia merupakan destinasi pelancongan ke - 11 dunia | Kedua-dua ayat tersebut betul dan boleh digunakan bergantung pada konteks penggunaan, sama ada penekanan kepada nombor atau perkara untuk didahulukan dalam ayat: “Malaysia merupakan destinasi ke-11 pelancongan dunia.” atau “Malaysia merupakan destinasi pelancongan ke-11 dunia.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan (DBP, 2023) halaman 165. | Tatabahasa | 27.07.2024 |
| Sila pilih perkataan yang merupakan kata sendi nama. 1. apabila 2. setelah | Kedua-dua perkataan bukan merupakan kata sendi nama tetapi merupakan kata hubung pancangan keterangan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk maklumat lebih lanjut. | Tatabahasa | 14.10.2021 |
| Kata "penyayang" merupakan kata nama atau kata adjektif? Berikan sebab. Saya keliru sama ada kata dasar "sayang" menerima imbuhan pe- @ penyayang merupakan kata dasar yg dikenali sebagai kata adjektif. | Perkataan “sayang” dan “penyayang” merupakan kata adjektif. Perkataan “penyayang” menerima imbuhan awalan peN- yang bermaksud orang yang bersifat sangat menyayangi seseorang atau sesuatu. Manakala perkataan “sayang” pula merupakan kata dasar yang bermaksud sifat kasih atau cinta kepada seseorang atau sesuatu. Untuk makluman lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 231 dan Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021), halaman 1976 dan 1977. | Tatabahasa | 03.09.2025 |