Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[mu.lut] | مولوت

Definisi : 1. bukaan tempat mengunyah makanan (tempat lidah dan gigi pd manusia atau bina­tang): kuman itu masuk ke dlm tubuh melalui ~ bersama-sama makanan dan air yg di-minum; 2. ki sesuatu yg rupanya spt mulut (boleh dianggap sbg mulut), lubang, liang: ~ belanga; ~ kubur; 3. ki perkataan, per­cakapan; banyak ~ banyak cakap, cerewet; ~ bedil lubang laras bedil; ~ berus Kl a) suka membuka rahsia; b) suka mengeluarkan kata­kata yg kesat; ~ bisa suka mengeluarkan kata­kata yg pedas; ~ busuk nafas berbau busuk; ~ daun lubang kecil-kecil (utk pernafasan) pd daun; ~ gatal gemar memperkatakan apa sahaja; ~ gunung lubang kawah gunung berapi; ~ hebiak Kd orang yg suka mengata orang; ~ hodoh Kl suka mencarut-carut; ~ kotor suka mengeluarkan kata-kata keji kata; ~ kulit lubang kecil pd kulit (utk perpeluhan); ~ manis lemah lembut dan baik tutur katanya; ~ murai orang yg sangat suka bercakap-cakap; ~ sungai kuala (muara) sungai; ~ tajam suka menge­luarkan kata yg pedas-pedas; ~ bagai ekor ayam dihembus prb seseorang yg mulutnya tidak berhenti-henti berkata­kata; ~ bau madu, pantat bawa sengat prb orang yg manis mulutnya tetapi hatinya jahat; ~ disuapi pisang, pantat dikait dgn onak prb bermuka-muka manis tetapi di belakang di­umpat atau dibuatkan pekerjaan yg menda­tangkan bahaya dll; ~ hang lebih drpd gedem-bai = ~ kamu harimau kamu, mengerkah (batu) kepala kamu prb perkataan kamu juga yg membinasakan diri kamu; ~ manis jangan percaya, lepas dr tangan jangan diharap prb jangan percaya kpd orang yg manis per­kataannya dan barang atau wang yg dipinjam­kan kepadanya jangan diharap akan dapat kembali; ~ manis mematahkan tulang prb jika seseorang disuruh dgn lemah lembut nescaya sukalah hatinya dan pastilah ia be­kerja dgn sehabis-habis upayanya; ~ satu lidah bertopang prb orang yg jahat hati itu perkataannya lain drpd hasrat hatinya; gula di dlm ~ prb sesuatu barang yg telah dlm milik kita; manis ~nya bercakap spt santan manisan, di dlm bagai empedu prb perkata­an yg lemak manis biasanya berisi tipu semu di dalamnya; terlepas dr ~ buaya, masuk ke ~ harimau prb terhindar drpd kemalangan kecil lalu menghadapi kemalangan yg lebih besar; bermulut 1. mempunyai mulut, berlubang spt mulut; 2. bk bertutur, bercakap; ~ besar banyak cakap, angkuh, sombong; ~ keras berkeras kepala (suka melawan); ~ manis bercakap-cakap dgn lemah lembut; ~ di mulut orang prb selalu menurut kata orang; bermulut-mulut bk bercakap-cakap, berkata­kata. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[mu.lut] | مولوت

Definisi : 1 rongga atau lubang tempat gigi dan lidah; ruang tempat mengunyah makanan. 2 sesuatu yg rupanya spt mulut 1: ~ tempayan; ~ belanga. 3 percakapan: banyak ~ banyak bercakap; cerewet. ~ becok banyak bercakap dan membuat bising. ~ bedil lubang laras bedil. ~ bisa suka mengeluarkan kata-kata yg pedas. ~ kotor suka mengeluarkan kata yg keji-keji. ~ murai orang yg sangat suka bercakap. ~ tempayan tidak dpt menyimpan rahsia. bermulut mempunyai mulut; berlubang spt mulut. ~ besar sombong. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
mulut (kata nama)
1. Dalam konteks kiasan
bersinonim dengan liang, rongga, muncung, muara, kuala, pintu,

2. Dalam konteks kiasan
bersinonim dengan percakapan.


Puisi
 

Manis sungguh tebu seberang,
     Dari pucuk sampai ke umbi;
Manis sungguh mulut orang,
     Manis mulut sampai ke hati.


Lihat selanjutnya...(67)
Peribahasa

Mulut tabuh dapat disumbat,
     mulut orang bagaimana menyumbatnya.

Bermaksud :

Rahsia yang sudah diketahui orang akan tersiar ke mana-mana. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Mulut buyung dapat dipendam, mulut manusia siapa dapat menutup, b. Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia bagaimana menutupnya).

 

Lihat selanjutnya...(62)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Mohon huraian manakah yang betul penggunaanya: -pembasuh mulut -pencuci mulut Terima kasih.Kedua-duanya membawa makna yang sama iaitu: 

pencuci mulut -benda manis (spt buah-buahan dsb) yg dimakan selepas makan nasi dll.
pembasuh mulut-minuman atau penganan sesudah makan nasi;
Tatabahasa07.09.2012
apakah Sastera Rakyat tulung jawabkan

Sastera rakyat atau sastera lisan ialah sastera yang bukan bercorak tulisan. Hasil sastera ini tersebar dari mulut ke mulut dan diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi. Sastera lisan berkembang dalam masyarakat yang mempunyai kebudayaan pinggiran yang bertamadun. Sastera rakyat adalah sebahagian daripada budaya rakyat (folklore) yang merangkum semua aspek kehidupan sesuatu masyarakat.

Sastera rakyat mempunyai beberapa cirinya yang tersendiri, iaitu:

i) Sastera itu diucapkan melalui perantaraan mulut.

ii) Sastera rakyat itu lahir dalam masyarakat yang belum mencapai taraf kehidupan yang maju atau bercorak bandaran.

iii) Sifat sastera rakyat itu menggambarkan ciri-ciri budaya satu-satu kumpulan masyarakat.

iv) Hasul sastera rakyat itu dianggap sebagai milik masyarakat tanpa diketahui siapa pengarangnya.

v) Sastera rakyat tidak mementingkan fakta dan kebenaran.

Antara yang termasuk dalam sastera rakyat ialah seperti:

a) Cerita hantu atau makhluk halus seperti hantu Pocong

b) Cerita binatang seperti cerita Sang Kancil

c) Cerita jenaka seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Si Luncai.

d) Cerita Lipur Lara seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Malim Deman, Hikayat Terung Pipit, Hikayat Raja Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal.

Lain-lain01.09.2009
apakah maksud bagi `lepas daripada mulut buaya , masuk ke mulut harimau` apakah kesalahan bagi ayat berikut dari struktur ayat atou tatabahasa ~sali meminjam pinggan mangkuk yang baru dibelinya kepada kakaknya. ~nathan ialah pelajar tertinggi di kelas ituMakna peribahasa tersebut ialah seseorang yg terlepas dari sesuatu bahaya, akhirnya akan berhadapan dengan bahaya yg lain pula. Sepatutnya, Sali meminjamkan pinggan mangkuk yg baru dibelinya kepada kakaknya. Nathan merupakan pelajar tertinggi di kelas itu. Terima kasih. Makna25.09.2008
Tuan, saya selalu keliru dengan kata dari/daripada, seperti dalam ayat berikut yang manakah betul? (1)Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu DARI mulut Adi tanpa disedarinya. (2)Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu DARIPADA mulut Adi tanpa disedarinya. (3)Dia mahu mendengar sendiri DARI mulut Tina. (4)Dia mahu mendengar sendiri DARIPADA mulut Tina. (5)“Madihah…! Madihah…!” Panggilan DARI mama yang benar-benar membingitkan telinga Adi. (6)“Madihah…! Madihah…!” Panggilan DARIPADA mama yang benar-benar membingitkan telinga Adi. (7)"Kalau berubah bukan DARI hati tapi kerana seseorang, baik tak payah berubah.” (9)"Kalau berubah bukan DARIPADA hati tapi kerana seseorang, baik tak payah berubah.” (10)Berubah DARI perangai yang kasar kepada perangai yang lemah-lembut macam gadis-gadis lain. (11)Berubah DARIPADA perangai yang kasar kepada perangai yang lemah-lembut macam gadis-gadis lain. (12)Azeera duduk tidak jauh DARI mereka. (13)Azeera duduk tidak jauh DARIPADA mereka. (14)"Lokman, kalau nak berubah biarlah datang DARI hati yang ikhlas." (15)"Lokman, kalau nak berubah biarlah datang DARIPADA hati yang ikhlas." (16)Leman Rongak turut muncul tersengih-sengih DALAM mimpinya. (17)Leman Rongak turut muncul tersengih-sengih DI DALAM mimpinya. Terima kasih.Dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama 'daripada' hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. Contohnya: Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu daripada mulut Adi tanpa disedarinya, Dia mahu mendengar sendiri daripada mulut Tina dan “Madihah, Madihah!” Panggilan daripada mama yang benar-benar membingitkan telinga Adi. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 268.Tatabahasa19.05.2012
Tuan, antara ayat berikut yang mana betul? (1) Tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulut Adi (2) Tiba-tiba terpacul soalan itu daripada mulut AdiUntuk makluman, kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama dan frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu. Dalam konteks ini, mulut menunjukkan tempat. Oleh itu, ayat yang betul ialah (1) Tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulut Adi.Tatabahasa19.05.2012
Adik memasukkan jarinya ke dalam mulut. ayat ini betul atau salahDari segi struktur, ayat yang diberikan itu betul. Subjeknya 'adik' dan predikatnya ' memasukkan jarinya ke dalam mulut.Tatabahasa30.04.2008
Assalamualaikum tuan di talian, Yang manakah betul bagi penggunaan kata sendi nama tentang dalam ayat contoh di bawah. 1. Berita tentang kejayaan abang dalam peperiksaan UPSR menjadi buah mulut penduduk kampung. atau 2. Berita kejayaan abang dalam peperiksaan UPSR menjadi buah mulut penduduk kampung. Sekian, terima kasih.Ayat kedua Berita kejayaan abang dalam peperiksaan UPSR menjadi buah mulut penduduk kampung yang gramatis.Tatabahasa07.06.2012
sila berikan penerangan tentang cerita rakyat

Saudara,

Cerita Rakyat  merupakan sastera rakyat yang berbentuk cerita atau cerita lisan. Cerita rakyat  sangat  popular di kalangan  masyarakat Melayu dan diperturunkan secara lisan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Cerita rakyat berkembang dalam tradisi lisan biasanya disampaikan secara lisan dari mulut ke mulut oleh tukang-tukang cerita profesional dalam bentuk persembahan cerita kepada audiens dalam majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan, keramaian dan sebagainya.  Cerita rakyat  diceritakan oleh nenek/ datuk kepada cucu atau oleh seseorang yang tahu bercerita sebagai hiburan di masa senggang.  

Dalam masyarakat Melayu terdapat pelbagai jenis cerita rakyat seperti Cerita Binatang, Cerita Jenaka,Cerita asal-usul, Mitos dan Lagenda, cerita Lipur lara dll.

Sesuai dengan peredaran zaman, Cerita rakyat telah dirakam dan dikumpulkan dalam bentuk tulisan seperti mana yang sampai kepada kita sekarang. 

Antara fungsi cerita rakyat ialah:

1. sebagai alat hiburan,

2. Sebagai alat untuk menyampaikan pengajaran dan mendidik masyarakat,

3. wadah ekspresi seni  masyarakat menggunakan  kata-kata yang indah,

4. menjadi dasar penciptaan karya sastera moden.

Untuk memahami lebih lanjut sila merujuk Buku Kesusasteraan Melayu Tradisional, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka , 1993.

sekian, terima kasih.

Sastera11.02.2011
Apakah maksud bagi simpulan bahasa bawah ini? 1 patah hati 2 kering keringat 3 kering mulut 4 kering gusi 5 kering ringkai terima kasih

Saudara Gan,

Maksud simpulan bahasa yang dikemukakan ialah :

  i. hilang kemahuan;hilang keberanian; tidak hiraukan lagi, kecewa

 ii.  payah sekali; sangat letih;mencurahkan segenap tenaganya

iii.  tidak ada maksud untuk simpulan bahasa kering mulut

iv. tak putus-putus ketawa

v. barang jemuran yang kering sekali

 

Makna03.02.2010
Salam sejahtera, 'Surgery' vs 'Pembedahan' vs 'Bedah': Laman web Hospital UKM mempunyai "Department of Oral and Maxillofacial Surgery" yang dalam versi Bahasa Melayu ditulis sebagai: 'Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial'. Kamus Istilah Malaysia pula menyatakan "Vascular Surgery" sebagai 'Pembedahan Vaskular", tetapi "Transplantation Surgery" sebagai "Bedah Transplantasi". Manakala Kamus Inggeris-Melayu Dewan menyatakan "Thoracic Surgery" adalah 'Pembedahan Torasik', tetapi Kamus Istilah Malaysia menyatakannya sebagai 'Bedah Toraks'. Soalan saya: Menurut rumus/kaedah/cara DBP, bila boleh saya menggunakan 'surgery' (BI) sebagai (a) pembedahan, dan (b) bedah? Adakah mengikut konteks (apakah konteks tersebut)? 2) Antara 'pembedahan torasik' dan 'bedah toraks', adakah kedua-dua ini betul dan boleh digunakan? Sekiranya kedua2nya betul, apakah rasionalnya? 3)Dalam konteks 'pembedahan mulut', adakah 'pembedahan' kelas kata nama? Manakala dalam 'bedah mulut', adakah 'bedah' itu kelasnya kata kerja? Khidmat nasihat dari pihak DBP terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih.Menurut istilah perubatan, surgery diberi padanan sebagai pembedahan atau bedah/surgeri bergantung pada konteks dan penggunaan yang bersesuaian. Selain sebagai kata kerja, kata bedah boleh menjadi kata nama apabila bergabung dengan kata lain yang membentuk kata nama mengikut konteks penggunaan, misalnya bedah torasik atau pakar bedah saraf (neurosurgeon).Istilah03.02.2012
123456

Kembali ke atas