Pertanyaan 1 1) Pokok bunga itu _____________ oleh tukang kebun itu supaya kemas. a) ditebang b) dicantas c) ditetak d) dipangkas Pertanyaan: adakah soalan di atas mempunyai lebih daripada satu jawapan berdasarkan kepada konteks soalan? mohon pencerahan. Isikan tempat kosong dalam petikan dengan perkataan sesuai. "Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa sayang __________ negara. Kita juga mesti mempertahankan keamanan dan kedaulatan Malaysia supaya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang." Pertanyaan: adakah sendi nama "kepada" jawapan yg betul dan adakah "terhadap" mempunyai makna yang sama dalam konteks ini. Bolehkah kedua-dua jawapan (kepada/terhadap) diterima? | 1) Pokok bunga itu dicantas/dipangkas oleh tukang kebun itu supaya kemas. Cantas dan pangkas bermaksud dipotong hujungnya supaya cantik. 2) "Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa sayang akan negara. Kita juga mesti mempertahankan keamanan dan kedaulatan Malaysia supaya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang." Pernyataan bersifat emotif dan didahului oleh kata adjektif, lazimnya menggunakan kata sendi nama akan. Walau bagaimanapun, boleh juga menggunakan kata sendi nama kepada atau terhadap dalam konteks ayat tersebut.
| Tatabahasa | 18.06.2015 |
Saya ada dua pertanyaan. 1) Untuk kata nyokak yang terakam dalam Kamus Dewan (diletakkan Kl yang bermakna asalnya dialek Kelantan) adakah kata ini halal digunakan dalam penulisan ataupun ada kata mirip dalam kosakata Melayu baku yang saya terlepas pandang? 2) Nyokak ditakrif membongkokkan badan dan menyisihkan tangan (ketika berjalan di hadapan orang). Apakah yang dimaksudkan dengan frasa 'menyisihkan tangan'? Terima kasih. | Dialék adalah satu bentuk bahasa yg digunakan dlm sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza drpd bahasa standard, loghat, pelat daerah (negeri dll). Variasi bahasa yg. dituturkan oleh sesuatu kumpulan sosial atau lapisan masyarakat bahasa, mis bahasa istana. Penggunaan dialek dibenarkan dalam penulisan asalkan dialek tersebut telah disahkan dan diterima pakai dalam konteks rasmi, contohnya perkataan tersohor, cakna dan sebagainya. Untuk makluman tuan juga, Kamus Dewan berfungsi merakam perkataan yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat dengan merujuk data korpus. Itulah antara justifikasi sesuatu perkataan itu dimasukkan sebagai entri dalam Kamus. Semua perkataan yang dimasukkan dalam Kamus Dewan tidak semestinya diterima sebagai baku dan boleh digunakan untuk tujuan rasmi. Untuk carian makna lain, tuan boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari laman http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". | Lain-lain | 11.12.2018 |
Assalamualaikum.... Saya ada dua pertanyaan: 1. Perkataan MANTAN dalam Kamus Dewan diperikan sebagai pernah memegang jawatan suatu masa dahulu. Benarkah makna asalnya ialah Mundar-Mandir Tanpa Jawatan? 2. Ramai yang menggunakan perkataan SADO untuk merujuk lelaki yang sasa. Adakah perkataan SADO dibentuk secara akronim? Jika benar, apa rangkai katan asalnya? Terima kasih | Tidak ada asal kata mantan dalam sumber rujukan kami. Begitu juga dengan perkataan "sado" tidak ditemukan sebarang maklumat tentang kata tersebut, Antara kedua-dua kata tersebut, kata "mantan" banyak digunakan dalam konteks rasmi, manakala kata "sado" hanya digunakan dalam bahasa percakapan. | Istilah | 13.08.2015 |
Selamat pagi dan salam sejahtera. Saya mempunyai 2 pertanyaan. 1. Apa perkataan yang sesuai digunakan untuk aktiviti menuba ikan dalam bahasa inggeris. 2. Dalam kamus kesihatan dan penyakit, apa perkataan yang boleh kita gunakan untuk tujuan BUANG ANGIN JAHAT DALAM BADAN dalam bahasa inggeris. Bantuan dari pihak DBp diucapkan ribuan terima kasih. Sekian | Untuk makluman tuan, kami tidak menyediakan perkhidmatan penterjemahan, kecuali istilah atau data yang ada dalam sumber rujukan kami. Kami juga boleh membantu semakan hasil terjemahan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. | Penyemakan dan penterjemahan | 01.07.2015 |
Assalamualaikum.. Saya ada satu pertanyaan : 1) Sekiranya manuskrip berada pada status JKP, berapa lamakah masa yang diambil untuk ke proses seterusnya? Tarikh daftar manuskrip saya ialah 23/2/2010. Manakala tarikh status ialah 24/2/2012. Terima kasih. | Waalaikummussalam sdr. Setelah disemak, manuskrip sdr. berjudul Aku Ingin Cemerlang, telah lulus JKP pada 24/2/2012. Jika diteliti, agak lama tempoh perjalanan manuskrip ini dari tarikh daftarnya. Insya-Allah saya akan memantau akan perkara ini. Sebaik lulus JKP, manuskrip akan disunting oleh editor. Proses penyuntingan bergantung kepada ketebalan manuskrip. Untuk makluman sdr., semua manuskrip yang lulus JKP pada tarikh tersebut akan diserahkan ke Bahagian Penyelarasan Penerbitan untuk proses pracetak dan cetak pada akhir Jun 2012. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi editor: Puan Khatijah melalui e-mel khatijah@dbp.gov.my | Lain-lain | 07.06.2012 |
Salam pertanyaan: 1. Mana satu betul Sukan Memanah Tradisional @ Sukan Panah Tradisional @ atau ada yang lain? 2. Aktiviti Tunggang Kuda?" | 1. Sukan Memanah Tradisional 2. Aktiviti Menunggang Kuda | Ejaan | 09.12.2013 |
salam sejahtera,saya ada 2 pertanyaan. 1. saya keliru tentang penggunaan banyak dan ramai. ada yg berkata, ramai hanya untuk manusia. tapi ada juga yg kata banyak untuk manusia kerana ramai hanya hadir sebagai jamak (orang ramai). 2. perkataan jikalau.. wujudkah perkataan tu? adakah sama seperti kes samada (sama ada). dgn kata lain jikalau (jika kalau).. | 1. Ramai menunjukkan jumlah yang banyak untuk manusia, manakala banyak menunjukkan bilangan bilangan atau jumlah manusia atau bukan manusia. Lazimnya penggunaan 'ramai orang' merujuk suasana (keadaan) orang yang ramai di sesuatu tempat, manakala 'banyak orang' merujuk bilangan orang yang terdapat di tempat berkenaan. 2. Jikalau sama fungsinya dengan kata jika dan kalau, iaitu kata penghubung yang menyatakan syarat. | Tatabahasa | 02.04.2011 |
Salam sejahtera, Saya ingin membuat sedikit pertanyaan. 1) Pendedahan kepada/pada/terhadap bahan kimia tertentu boleh menyebabkan kerengsaan kulit. 2) Ujian pendedahan kepada/pada/terhadap bahan kimia tertentu pada/terhadap/kepada tikus menunjukkan kesan buruk. Saya harap pihak khidmat nasihat dapat menyediakan penerangan sekali dan penggunaan ayat yang betul. Terima kasih. | 1) Pendedahan terhadap bahan kimia tertentu boleh menyebabkan kerengsaan kulit. 2) Ujian pendedahan terhadap bahan kimia tertentu pada/terhadap/kepada tikus menunjukkan kesan buruk. Kata sendi nama "terhadap" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu sama ada manusia, haiwan atau benda. | Tatabahasa | 30.05.2016 |
Assalamualaikum Tuan DBP. Saya mempunyai pertanyaan: 1. Penggunaan bahasa yang digunakan oleh sebuah syarikat televisyen swasta yang menggunakan perkataan KAMPUNG GUA. Saya berpendapat boleh digantikan dengan perkataan KAMPUNG SAYA. Saya mohon pandangan dari tuan. 2. Dalam surat-menyurat, bahasa yang saya selalu gunakan contohnya BERSAMA-SAMA INI SAYA LAMPIRKAN SOFT COPY KEPADA PIHAK TUAN. Adakah perkataan lain yang boleh menggantikan perkataan SOFT COPY? Saya menunggu maklum balas dari pihak tuan. Sekian, terima kasih. Hisham Bin Othman @ Mohd. | 1. Pada pandangan kami, siaran media hendaklah menggunakan perkataan bahasa Melayu yang betul dan sesuai kerana media merupakan wadah utama dalam penyebaran bahasa Melayu. Kami setuju dengan pandangan tuan, iaitu KAMPUNG GUA digantikan dengan KAMPUNG SAYA. 2. Padanan bahasa Melayu bagi soft copy ialah salinan lembut. | Tatabahasa | 20.08.2015 |
Saya mempunyai beberapa pertanyaan. 1. Selepas penggunaan perkataan menghadap - adakah perlu letak kata sendi 'ke' 2. Self catering: layan diri atau katering sendiri? 3. Adakah Affordable itu berpatutan atau mampu inap (dalam konteks hotel) 4. Mana yang betul, "dilengkapi dengan" atau "dilengkap dengan" Sekian terima kasih. | 1. Dalam Kamus Pelajar, menghadap bermaksud 1 menghala; mengarah: Rumah peranginan itu ~ ke laut. 2 datang menemui atau mengunjungi raja, orang-orang besar dll: Dengan panduan anak Syed Abu, rombongan Abdullah pergi ~ Raja Kampung Laut. 3 ditujukan; dialamatkan (dalam surat kiriman): ~ ke hadapan ayahanda yang dikasihi. Berdasarkan takrifan tersebut, kata sendi nama ke perlu diletakkan atau tidak berdasarkam konteks ayat. 2. Dalam data kami, padanan bahasa Melayu bagi self catering ialah makan sendiri. 3. Padanan yang sesuai ialah berpatutan. 4. dilengkapi dengan... | Tatabahasa | 02.10.2014 |