Pilih ayat yang betul A. Mak Senah mempercantik sarung bantal cucunya dengan kain yang berwarna- warni. B Pameran barangan antik itu akan berlangsung selama beberapa hari. | Kedua-dua ayat tersebut betul. 1. Mak Senah mempercantik sarung bantal cucunya dengan kain yang berwarna-warni. 2. Pameran barangan antik itu akan berlangsung selama beberapa hari. | Tatabahasa | 04.06.2018 |
1(a). Hasil kraf tangan tersebut termasuklah anyaman daripada daun kelapa dan ukiran. 1(b). Hasil kraf tangan tersebut termasuklah barangan daripada daun kelapa dan ukiran. 2(a). Mereka melihat pelbagai anyaman seperti bakul, sarung ketupat dan burung hiasan. Semuanya diperbuat daripada daun kelapa. 2(b). Mereka melihat pelbagai barangan seperti bakul, sarung ketupat dan burung hiasan. Semuanya diperbuat daripada daun kelapa. Ayat yang mana satu lebih tepat? Terima kasih. | Kesemua contoh ayat adalah betul. Walau bagaimanapun untuk konteks ayat sebegini perkataan anyaman lebih tepat menggantikan barangan. | Tatabahasa | 16.02.2017 |
Salam, yang manakah frasa yang betul di bawah ini: 1) anyam ketupat 2) anyam kelongsong ketupat Jika difikirkan logik, kita menganyam sarung (kelongsong) ketupat, kemudian barulah dibubuh isi di dalamnya. Tetapi anyam ketupat lebih kerap digunakan dalam masyarakat. Jadi, yang manakah betul? Terima kasih. | Frasa menganyam ketupat yang menunjukkan perbuatan menyediakan sarung atau kelongsong ketupat boleh digunakan dan sudah gramatis. | Tatabahasa | 19.03.2013 |
1. "Kepala" seluar itu telah koyak. Penggunaan "kepala" dalam ayat ini betul ? Atau ialah Bahagian atas seluar? 2. Hei , jangan bermain dengan mancis! Penggunaan kata seru " Hei " dalam ayat ini betul ? Terima kasih. | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, penggunaan perkataan kepala pada pakaian selalunya merujuk kain (sarung), Oleh itu, dicadangkan penggunaan untuk seluar ialah bahagian atas seluar. 2. Hei bukan kata seru. Ayat ini merupakan ayat larangan yang menggunakan kata larangan jangan sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu . | Tatabahasa | 28.06.2010 |
Assalamualaikum. 1. Bolehkah perkataan "mensanitasi" digunakan untuk "sanitising", dan "pemperibadian" untuk "personalisation"? 2. Apakah terjemahan/ringkasan untuk DBA ("doing business as") yang lazimnya diletakkan selepas nama sah syarikat dan diikuti oleh nama operasi syarikat berkenaan 3. Apakah padanan tepat untuk "probe" seperti "thermometer probe"? 4. Apakah terjemahan untuk "lowboy freezer" yang selalunya digunakan dalam persekitaran komersial seperti di restoran. Alat ini biasanya diletakkan di bawah kaunter. 5. Bolehkah frasa "Introduction to " diterjemahkan kepada "Pengenalan " tanpa sebarang kata sendi? 6. Selain daripada "sarung tangan", adakah istilah lain yang sesuai untuk "mitt" yang dipakai di dapur untuk mengangkat periuk/kuali panas? 7. Apakah terjemahan yang sesuai untuk perkataan-perkataan berikut (dalam konteks penyediaan/keselamatan makanan): - "holding time" (kata nama) - "steamwell/steam table" (kata nama) - "skim" (kata kerja) - "skimmer" (kata nama) - "drain rod plunger" (kata nama) - "polishing shortening" (kata kerja) (salah satu langkah dalam proses membersihkan "fryer" di restoran | 1. 1. Cadangan terjemahan bagi “sanitizing” ialah mensanitasikan, manakala terjemahan bagi personalization pula ialah personalisasi 2. 2. Mohon berikan contoh ayat bagi penggunaan ("doing business as") agar pihak kami dapat memberikan terjemahan yang sesuai mengikut konteks ayat. 3. 3. Terjemahan yang sesuai bagi “Probe” ialah kuar yang bermaksud Peranti pengukur yang diletakkan di persekitaran yang akan diukur 4. 4. Terjemahan yang sesuai bagi “lowboy freezer” ialah peti penyejuk beku di bawah kaunter 5. 5. Terjemahan yang sesuai bagi “introduction” ialah pengenalan, jika “introduction to” pula bermaksud pengenalan kepada yang perlu digunakan dalam ayat. 6. 6. Terjemahan yang sesuai bagi mitt ialah mit atau sarung tangan 7. 7. Terjemahan yang sesuai bagi: - holding time - masa pegangan
- steamwell/steam table - bain-marie
- skim - skim
- skimmer - sudip berlubang, penyejat, penyiring atau senduk
- drain rod plunger – Pelocok Rod Saliran
- polishing shortening – Penggilapan Lemak Sayuran
| Makna | 22.04.2021 |
1. Apakah definisi polisemi dan homonimi?Bagaimana hendak membezakan keduanya? 2. Apakah definisi sinonim?Berikan contoh kata sinonim yang bukan sinonim dan apakah maksudnya? | Polisemi ialah sesuatu bentuk kata, ungkapan, dan sebagainya yang mempunyai lebih daripada satu makna yang bertalian rapat antara satu sama lain. Contoh perkataan ialah kepala yang boleh merujuk kepada orang, ketua samseng dan kepala kain sarung. Manakala makna homonimi pula ialah penggunaan sesuatu nama yang sebelum itu pernah digunakan dalam pengelasan, dan oleh yang demikian tidak sesuai digunakan. Sinonim ialah kata yang sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain, misalnya cantik dengan indah dan cepat dengan pantas. | Makna | 12.05.2009 |
1. Apakah kekurangan dalam ayat ini~'Senarai keperluan yang perlu dibawa adalah seperti berikut:-' 2.Bolehkah kita menggunakan ayat yang mempunyai bersama-sama~'Kami pergi ke sana bersama-sama dengan ibu dan bapa.' 3. Berikan satu ayat yang dapat membezakan penggunaan kosa kata 'menyarung' dan 'menyarungkan' | 1. Tidak ada kesalahan dalam ayat tersebut kerana kata pemeri adalah boleh diikuti oleh kata sendi nama seperti "adalah seperti". 2. Kami pergi ke sana bersama-sama ibu dan bapa. - Penggunaan perkataan "bersama-sama dengan" adalah lewah dan tidak gramatis kerana mempunyai makna yang sama. 3. Menyarung bermaksud memberi bersarung. Contoh: Dia terus menyarung pakaian. Meyarungkan pula bermaksud memasukkan ke dalam sarung. Contoh: Kemudian Panglima Hitam pun menyarungkan kerisnya kembali. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut, mohon rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4. | Lain-lain | 17.09.2015 |
Selamat sejahtera bos Apakah Perbezaan antara para, pepara dan para-para Terima Kasih | 1. “Para” bermaksud: i. Rak tempat menaruh barang-barang dan lain-lain. ii. Kata (yang mendahului kata-kata lain) yang menyatakan ramai. iii. Bahan kenyal dan kalis air daripada susu getah atau bahan sintetik, biasanya digunakan untuk membuat tayar, sarung tangan, bola dan lain-lain. iv. “Paragraf”. 2. “Pepara” bermaksud sejenis tumbuhan (rumpai), rumput sendayan, Rhynchospora corymbosa. 3. “Para-para” bermaksud “para”, iaitu rak tempat menaruh barang-barang dan lain-lain. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1617 dan 1670. | Lain-lain | 18.05.2024 |
apakah perbezaan ketara antara homonim dengan polisemi kerana satu perkataan itu mempunyai banyak makna ? | Homonim ialah kata yang sama ejaan dan/atau sebutannnya, tetapi mempunyai makna yang berbeza. Contoh: 1. perak (logam) : perak (terpinga-pinga) 2. semak (kaji) : semak (kusut) Polisemi ialah kata yang mempunyai banyak makna (yang berbeza-beza) tetapi berkaitan, menurut konteks penggunaannya. Contoh: 1. kepala (orang) : kepala (kumpulan samseng) : kepada (kain sarung) | Istilah | 07.04.2009 |