penggunaan simbol sengkang ( / ) selepas penggunaan sengkang perlu jarak atau tidak perkataan berikutnya. contoh: 1. jabatan/ agensi yang terlibat. 2. jabatan/agensi yang terlibat. antara 2 contoh di atas yang mana betul? | Tanda (/) atau dikenali sebagai Tanda Garis Miring yang berfungsi sebagai pengganti kata "atau" tidak perlu dijarakkan, contohnya jabatan/agensi yang terlibat, | Lain-lain | 22.03.2011 |
Bagaimanakah perkataan gabungan seperti berikut ditulis? 1) menyalah gambarkan 2) menyalah sampaikan 3) menyalah gunakan Sebagai 2 perkataan atau dengan sengkang atau digabungkan? | Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum. Oleh itu, ejaan yang betul ialah menyalahgambarkan, menyalahsampaikan dan menyalahgunakan. | Ejaan | 29.07.2011 |
Salam Perpaduan, 1. Apakah terjemahan yang tepat bagi program "My Beautiful Malaysia"? 2. Yang manakah yang betul: a) badak sumatera ATAU badak Sumatera b) kucing parsi ATAU kucing Parsi c) kembar siam ATAU kembar Siam Bagaimanakah cara untuk menentukan penggunaan kata nama am atau kata nama khas bagi contoh di atas? 3) Apakah beza sempang dan sengkang? 4) Bilakah kita perlu menggunakan satu tanda petik dan dua tanda petik? Terima kasih. | 1. Program My Beautiful Malaysia belum mempunyai terjemahan yang khusus dalam data PRPM. Walau bagaimanapun, cadangan kami ialah Malaysiaku Permai. 2. Bagi ejaan yang dinyatakan dan cara hendak menentukan ejaan kata nama am atau kata nama khas, kami akan merujuk pakar bahasa dan akan memaklumkan kepada saudara kemudian. 3. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, sempang dan sengkang boleh merujuk simbol yang digunakan dalam kata hubung. Walau bagaimanapun kedua-dua perkataan tersebut ada makna lain yang tidak boleh disamakan penggunaannya. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan atau layari prpm.dbp.gov.my . 4. Tanda petik (" ") digunakan untuk tujuan tertentu seperti; mengapit cakap ajuk; mengapit judul rencana dan mengapit istilah ilmiah. Tanda petik tunggal (' ') digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit tanda petik (" "). | Tatabahasa | 07.02.2013 |
Salam 1Bahasa, Tuan, 1. Perkataan 'ubahsuai' dikatakan perkataan terbaharu Kata Nama Majmuk Mantap yang akan dimasukkan dalam Tatabahasa Dewan pada masa akan datang. 2. Ungkapan 'Sehubungan dengan itu...' dikatakan lewah kerana dalam Kamus Dewan, ungkapan 'sehubungan' bermaksud 'berkaitan dengan'. Dengan kata lain, 'Sehubungan (berkaitan dengan) dengan itu...' adalah lewah. Ada juga yang mengatakan fungsinya sebagai penanda wacana. 3. Perkataan 'cendera' dikatakan bermaksud 'melalaikan mata'. Jadi, kata nama 'cenderamata' adalah lebih tepat berbanding dengan 'cenderahati'. Dengan kata lain, kita bukannya hendak melalaikan hati tetapi melalaikan mata dengan pemberian cenderamata. 4. Perkataan 'sempang' dikatakan merujuk kepada penggunaan kata ganda, contohnya, gunung-ganang manakala perkataan 'sengkang' pula dikatakan merujuk kepada maksud 'hingga', contohnya, dari pagi - petang. Mohon penjelasan tuan tentang perkara di atas. Terima kasih. | 1. Ubah suai tidak tergolong dalam kategori kata majmuk yang telah mantap ejaannya sebagai satu perkataan. Sehingga kini ubah suai dieja sebagai dua perkataan. 2. Perkataan sehubungan bermaksud berkaitan dengan atau bersangkutan dengan. Frasa "sehubungan dengan itu" bermaksud sama dengan. Berdasarkan makna yang tersebut, perkataan sehubungan itu/sehubungan dengan itu sama, kedua-duanya boleh dipakai. Walau bagaimanapun, frasa "sehubungan dengan itu" yang lebih tepat kerana merujuk perkataan berhubung dengan itu, perlu adanya perkataan dengan dalam frasa tersebut. 3. Perkataan cenderamata dan cenderahati, kedua-duanya diterima pakai bagi merujuk sesuatu yang diberikan kepada seseorang sebagai tanda ingatan. 4. Dalam Kamus Dewan perkataan 'sempang' dan sengkang kedua-duanya boleh merujuk simbol yang digunakan dalam kata hubung. Walau bagaimanapun kedua-dua perkataan tersebut ada makna lain yang tidak boleh disamakan penggunaannya. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan. | Tatabahasa | 14.04.2012 |