Salam Sejahtera; Saya ingin bertanya tentang penggunaan a) .....belajar dengan sungguh-sungguh b) .....belajar dengan bersungguh-sungguh c) .....belajar bersungguh-sungguh manakah yang betul? Terima kasih. | Andrew, kedua-dua ayat ini - belajar dengan bersungguh-sungguh dan .....belajar bersungguh-sungguh - boleh digunakan tetapi kita kena lihat penggunaannya dalam ayat yang penuh. | Tatabahasa | 26.03.2010 |
soalan. 1.Terima kasih banyak-banyak atas pertolongan awak. Adakah betul penggunaan kata banyak-banyak dalam ayat. | Banyak-banyak bermaksud sungguh-sungguh atau amat sangat. Boleh digunakan dalam ayat tersebut tetapi ayat yang gramatis cukup sekadar merakamkan ucapan "terima kasih atas pertolongan anda". | Tatabahasa | 03.01.2013 |
Perhatikan ayat di bawah: "Tuhan, aku sungguh menuji-Mu!" Soalan: Bolehkah "sungguh" dipadankan dengan "menuji"? Jika tidak boleh, apakah jawapan yang sepatutnya... Terima Kasih. | Dalam Kamus Dewan edisi keempat, sungguh bererti 1. tidak bohong, benar, betul; 2. sungguh hati = sungguh-sungguh, tidak main-main, dengan segenap hati, dengan tekun; 3. amat sangat, terlalu; 4. memang, sebenarnya, sebetulnya. Dalam buku Nahu Melayu Mutakhir, halaman 368, dinyatakan bahawa adverba kesungguhan “mempersungguhkan” sesuatu perbuatan atau peristiwa. Contoh ayat: Dia betul-betul menafikan hal itu. Berdasarkan keterangan di atas, ayat “Tuhanku, aku sungguh memuji-Mu.” tidak salah. Namun, ayat “ Tuhanku, aku benar-benar memuji-Mu.” lebih sejadi. | Tatabahasa | 28.04.2011 |
Selamat sejahtera, Saya menghadapi kesukaran utk menentukan perbezaan antara 'sungguh' dan 'sangat' dalam konteks ayat. Ada tak formula untuk menggunakannya?TQ | Sangat bermaksud 1. terlalu, terlampau 2. hebat, kuat, menjadi teruk 3. benar-benar(sungguh-sungguh, sememangnya Contoh: Bilangan murid yang mendapat sijil pertama sangatlah sedikit. Sungguh bermaksud 1. tidak bohong,tidak lancung, benar,betul 2. amat, sangat, terlalu. Contoh: bising sungguh bunyi kedua-duanya bertengkar. Penggunaan dalam ayat bergantung pada konteks. | Tatabahasa | 30.01.2008 |
Salam sejahtera, Terima kasih ! Saya menerima respon daripada pihak DBP tadi mengenai soalan " sungguh hebat benar " dan " sungguh hebat betul " tetapi saya masih tidak memahami dgn jelas. Saya difahamkan " benar dan betul " bukan kata penguat tetapi kata pembenar. Jadi adakah " sungguh hebat benar " dan " sungguh hebat betul " itu salah ? Contoh ayat : Ahli gusti itu sungguh kuat betul . Adakah ayat ini gramatis ? Menurut sebuah buku, dikatakan kata " sungguh " dan " betul " tidak boleh hadir serentak dalam satu ayat yang sama. Sekiranya benar, mengapa dua kata tersebut tidak boleh hadir bersama dalam satu ayat ? Terima kasih & maaf mengganggu. | Kata benar dan betul boleh berfungsi sebagai kata pembenar atau kata penguat bergantung pada kesesuaian ayat. Jika ayat 'Benar, kamilah penjaga kanak-kanak ini' (kata pembenar) dan 'Keputusan peperiksaannya buruk betul' (kata penguat). Frasa 'sungguh hebat benar' dan 'sungguh hebat betul' adalah tidak gramatis. Frasa yang gramatis ialah 'sungguh hebat', hebat benar' dan 'hebat betul'. Untuk makluman saudara kata benar dan betul adalah kata penguat belakang, manakala sungguh adalah kata penguat hadapan dan kedua-dua kata penguat (hadapan dan belakang) tidak boleh hadir dalam satu ayat. | Tatabahasa | 21.02.2011 |
Anak saya akan mengambil PMR pada oct ini, tetapi dia masih keliru dengan tatabahasa seperti berikut: 1. sungguh amat cantik sungguh kurang sopan terlalu amat kencang Bolehkah kata penguat digunakan secara beriringan di depan? 2. amat nyaring betul amat sukar sekali sungguh indah nian sungguh besar sekali sungguh kuat benar Bolehkah kata penguat digunakan secara beriringan di depan/ belakang? 3. (i) Ali dianugerahi pingat oleh sultan (ii) Ali dianugerahkan sultan pingat (iii) pingat dianugerahkan oleh sultan kepada Ali Adakah ayat (i) , (ii) (iii) semuanya betul? Mana yang salah. Harap tuan dapat menolong saya. Sekian terima kasih | 1. Contoh yang diberikan adalah salah. Yang betul: Sungguh cantik, amat cantik, teramat cantik, terlalu kencang, amat kencang, teramat kencang. 2. Dalam bahasa Melayu, imbuhan teR- dan kata penguat sekali dan paling sudah menunjukkan darjah penghabisan. Oleh itu, suatu kata adjektif itu hanya boleh menggunakan teR- atau sekali atau paling. Kedua-dua atau ketiga-tiganya tidak boleh digunakan serentak. Misalnya, apabila suatu kata adjektif itu telah menggunakan imbuhan teR-, maka kata penguat sekali dan paling tidak perlu lagi. Begitu juga sebaliknya. 3. Ketiga-tiga jawapan adalah betul. | Lain-lain | 01.10.2009 |
pertandingan Puisidra Sains yang diadakan di sekolah (amat hebat sungguh) hingga para penonton tidak berganjak. yang manakah satukah jawapan yang tepat amat hebat, amat sungguh hebat, teramat hebat sungguh, amat hebat sungguh? | Kata penguat yang paling sesuai dan betul untuk ayat tersebut ialah amat hebat. Untuk rujukan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 06.08.2008 |
"sungguh amat indah" kehadiran 'sungguh' dan 'amat' dlm bentuk ini boleh diterima ?? | Frasa "sungguh amat indah" tidak boleh digunakan. Kata penguat bebas hanya boleh diletakkan di hadapan atau di belakang kata adjektif. Penggunaan kedua-dua kata penguat bebas tersebut dianggap lewah dan salah. | Tatabahasa | 16.07.2013 |
Apakah perbezaan antara 'tersangat' dengan 'sangat'? | Tersangat ialah terlalu sangat; teramat sangat: ~ pedihnya. Sangat pula ialah kata yang digunakan untuk menyatakan perbandingan yang tinggi; terlalu; terlampau: Harganya ~ tinggi. 2 makin menjadi (berkenaan penyakit); teruk; kuat: Penyakitnya bertambah ~. 3 dengan sungguh-sungguh benar; tidak main-main: Saya hendak ~ pergi ke sana. | Makna | 22.07.2013 |
Yang manakah satu betul? 1. bersungguh-sungguh belajar / belajar bersungguh-sungguh. 2. berkali-kali menasihatinya / menasihatinya berkali-kali 3. Adakah rumusan berikut terpakai untuk semua frasa keterangan kata kerja? [ frasa adjektif]+kata kerja. Contohnya, bergotong-royong membersihkan, bertungkus lumus memadamkan api, bersungguh-sungguh menyiapkan kerja rumah, dan lain-lain. | Jawapan yang betul ialah belajar bersungguh-sungguh dan menasihatinya berkali-kali. Unsur keterangan dalam frasa kerja terdiri daripada unsur yang menerangkan kata kerja dengan lebih lanjut lagi. Unsur keterangan juga berfungsi sebagai frasa adverba. Unsur keterangan hadir sesudah kata kerja. Bagi kata kerja transitif, unsur keterangan hadir selepas objek. Dari segi struktur binaannya, unsur keterangan terdiri daripada frasa sendi nama, frasa adjektif, frasa nama dan kata adverba. Contohnya, 1. Kerajaan mengeluarkan kenyataan tentang kenaikan gaji. 2. Sungai Perak mengalir dengan tenangnya. 3. Pemimpin yang sudah berumur itu bercakap perlahan-lahan. 4. Bunga rampai itu berbau sungguh harum. 5. Mereka berjuang bermati-matian. Untuk maklumat lebih lanjut tentang unsur keterangan dalam frasa kerja sila rujuk Tatabahasa Dewan ms. 399-402. | Tatabahasa | 22.03.2011 |