unlimited opportunity | peluang tanpa had | Ejaan | 27.05.2011 |
Tuan, Jabatan Arkib Negara Malaysia (ANM) kini sedang dalam proses membangunkan aplikasi Online Finding Aids (OFA). Penggunaan OFA membolehkan capaian bahan arkib kini tersedia diakses oleh segenap lapisan masyarakat tanpa had waktu, tempat dan ketika. Penyelidik dalam mahupun luar negara boleh terus menggunakan OFA semasa melayari Portal ANM pada bila-bila masa. Portal ini akan disediakan dalam dwi bahasa bagi memudahkan penyelidik dari dalam dan luar negara. Namun pihak ANM perlu pengesahan daripada pihak tuan sama ada penggunaan nama aplikasi ini, Online Finding Aids (OFA), boleh digunakan terus dalam versi bahasa Melayu tanpa diterjemahkan. Mohon makluman dan pengesahan daripada pihak tuan. Kerjasama yang diberikan didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian. BASYARAH BAHALDIN PEGAWAI ARKIB SEKSYEN PANDUCARI ARKIB NEGARA MALAYSIA TEL:03-62090600 / 765 FAX:03-62014352 | Aplikasi baharu yang jabatan tuan bangunkan sama seperti kemudahan/khidmat yang DBP sediakan kepada pengguna tanpa batas masa dan wilayah geografi. Pengguna di seluruh dunia boleh akses kepada khidmat kami seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Pangkalan Data Korpus dan Khidmat Nasihat DBP secara dalam talian. Dan walaupun penggunanya pelbagai bangsa dan merentas benua, tetapi kita perlu kekal dengan citra kebangsaan dengan memberi nama aplikasi tersebut dalam bahasa Melayu. Oleh itu, Online Finding Units perlu mempunyai padanan dalam bahasa Melayu kerana itulah bahasa rasmi negara. | Istilah | 10.01.2013 |
1. Apa beza penggunaan antara perkataan hingga dengan sehingga. 2. Dalam ayat pasif,penggunaan kata 'oleh'wajib atau tidak. contoh buku dibaca oleh Ahmad/buku dibaca Ahmad | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, 'hingga' bermaksud garis terakhir, batas; sampai ke (had tempat, waktu, dll). Contoh : percakapan terhenti hingga itu; hingga kini. 'Sehingga' bermaksud sampai pada keadaan (masa,dll); sampai menjadi; setelah (sudah). Contoh : sehingga matahari telah condong ke barat, barulah Si Tanggang berkayuh balik. 2.Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat. Contoh: Barang itu sudah diambil Ali semalam, sampah sarap dibakar ayah pada pagi tadi. Namun demikian, sekiranya binaan oleh + FN terletak jauh daripada kata kerja, maka oleh tidak boleh digugurkan. Contoh: Barang itu sudah diambil semalam oleh Ali, sampah sarap dibakar pagi tadi oleh ayah. | Tatabahasa | 03.05.2010 |