ABDUL RAHMAN YA’KUB, TUN | Abdul Rahman Ya'kub, Tun (1928 - ) ialah Ketua Menteri Sarawak yang ketiga (1970–1981) dan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang keempat (1981– 1986). Abdul Rahman mula aktif dalam politik apabila menyertai Parti Barisan Anak Jati Sarawak (BARJASA) pada tahun 1962. Kemudian dia menyatukan Parti Negara Sarawak (PANAS) dan BARJASA bagi membentuk Parti Bumiputera pada tahun 1966 bersama-sama Datuk Abang Ikhwan Zaini dan Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud. | UMUM | |
JULI EDO | JULI EDO, (1959 - ) ahli akademik daripada keturunan kaum Semai. Dia lahir pada 29 April 1959 di Kampung Cangkat Kereta, sebuah perkampungan Orang Asli yang terletak berhampiran Ladang Ulu Bernam, Hutan Melintang Perak. Bapa Juli bernama Edo a/l Ah Hei ialah anak jati Kampung Cangkat Kereta. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
CIREBON | CIREBON, pusat pemerintahan, yang pada asalnya adalah sebahagian daripada kerajaan Hindu Pajajaran. Selepas tahun 1552, Kesultanan Islam telah ditubuhkan oleh Falatehan atau Fatahillah, yang juga telah menubuhkan kerajaan Banten. Falatehan, anak kepada Maulana Machdar Ibrahim, dipercayai telah meninggalkan kampungnya di Pasai apabila Pasai ditakluk oleh Portugis. Dia tiba di Sunda selepas menunaikan haji di Makkah. Sesetengah pihak mempercayai bahawa Falatehan dan Sunan Gunung Jati adalah orang yang sama. Purwaka Caruban Nagari membezakan kedua-dua tokoh ini. Teks itu mengaitkan Sunan Gunung Jati adalah anak Syarif Hidayatullah, hasil perkahwinan antara Syarif Abdullah, anak Raja Mesir dengan Rara Santang, seorang puteri Pajajaran, yang menunaikan haji bersama-sama abangnya atas nasihat guru agama mereka, Syeh Datu Kahfi. Selepas menamatkan pengajian agama dan kembali daripada perantauan, Syarif Hidayatullah dikatakan menetap berhampiran Gunung Jati di Cirebon dan menjadi salah seorang daripada wali sembilan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
ZA'BA, TAN SRI | Za’ba, Tan Sri (1896 –1973) ialah tokoh bahasa, kesusasteraan, dan nasionalis Melayu. Nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Nama penanya ialah Anak Melayu Jati, Patriot, dan Zai Penjelmaan. | UMUM | |
PERSEKUTUAN PERSETIAAN MELAYU KELANTAN | PERSEKUTUAN PERSETIAAN MELAYU KELANTAN, pertubuhan orang Melayu Kelantan yang memperjuangkan hak orang Melayu. Pertubuhan ini telah dikenal sebagai Persetiaan Melayu dan ditubuhkan pada 9 Februari 1940. Ibu pejabat pertubuhan ini terletak di Opis Panjang, Jalan Sultanah Zainab, Kota Baharu. Keahliannya dibuka kepada anak Melayu jati Kelantan sahaja. Presidennya yang pertama ialah Tengku Mahmud bin Muhammad. Pertubuhan ini diasaskan bersama-sama 34 orang ahli yang diberi taraf sebagai jawatankuasa kehormat (walaupun tidak memegang sebarang jawatan) dan keahlian mereka adalah seumur hidup. Persetiaan Melayu mempunyai cawangan di setiap jajahan di Kelantan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Persatuan |