ASAP | Asap terdiri daripada zarah pepejal dan cecair yang terbahagi kepada bahagian-bahagian kecil yang terampai di dalam gas. Asap terbentuk terutamanya daripada zarah karbon yang terhasil daripada pembakaran bahan api. Asap boleh membahayakan paru-paru. Asap juga menghitamkan bangunan, menghakis logam, dan merosakkan tumbuhan. Semua ini mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar. Asap mempunyai sedikit kegunaan. Ini termasuklah mengawet daging, menghasilkan isyarat tentera berwarna, dan melindungi dusun daripada kesan fros. | UMUM | |
TACHYON | Tachyon ialah zarah asas hipotetikal. Zarah asas ialah zarah subatom, yang tidak mempunyai bahagian kecil yang diketahui. Sekiranya tachyon wujud secara semula jadi, ia tidak pernah diam tetapi sentiasa bergerak pada kelajuan yang lebih tinggi daripada kelajuan cahaya. | UMUM | |
DAFODIL | Dafodil ialah bunga berwarna kuning yang mekar pada awal musim bunga. Ia ialah jenis narsisus, dan berasal dari Eropah. Ia hidup liar di hutan kecil. Dafodil juga banyak ditanam di taman di bahagian-bahagian lain di dunia. | UMUM | |
PERTUMBUHAN SEMULA | Pertumbuhan semula pada tumbuh-tumbuhan dan haiwan, ialah keupayaan untuk menggantikan bahagian yang hilang atau yang rosak dengan tumbuhan bahagian yang baru. Pertumbuhan semula selalunya dilakukan pada tumbuh-tumbuhan. Jika pohon atau pokok renek dicantas berhampiran dengan pangkalnya, pucuk baru mungkin tumbuh daripada tunggulnya. Di kalangan haiwan, span, snidaria, dan cacing ringkas menunjukkan kuasa pertumbuhan semula yang luar biasa. Ia boleh dipotong kecil-kecil dan setiap potongan boleh tumbuh menjadi haiwan yang baru. Tapak sulaiman boleh tumbuh tangan yang baru. Udang krai, ketam, dan lain-lain haiwan berkaitan boleh tumbuh cakar, mata, dan kaki yang baru. | UMUM | |
POTTO | Potto ialah haiwan kecil yang hidup di bahagian barat Afrika. Potto tergolong dalam famili haiwan yang meliputi monyet, mawas dan manusia. Tetapi potto kelihatan lebih mirip kepada sloth, berbanding monyet atau mawas. Potto ialah ahli sekumpulan haiwan yang dikenali sebagai lemur lembap atau loris . | UMUM | |
MERANTI | Meranti ialah sejenis pokok hutan yang tinggi, besar, berdaun tunggal dan agak kecil, tetapi bahagian hujungnya, biasanya kembang, dan batang bawahnya berbanir. Kayu meranti digunakan untuk membuat rumah dan bangunan. Manakala sesetengah jenis meranti pula dapat menghasilkan damar dan tengkawang. | UMUM | |
AUSTRALIT | Australit ialah batu kecil, berbentuk kaca yang ditemui di bahagian selatan Australia. Para pelombong terdahulu menamainya batu butang, butang lelaki gelap, atau batu emu. Kebanyakan batu ini bergaris pusat kira-kira 2.5 sentimeter dan berwarna hitam atau hijau pekat. Batu yang sama telah dijumpai di bahagian lain di dunia ini. Ahli sains menamai batu ini sebagai tektit, tetapi mereka kurang pasti asal usul batu ini. Beberapa orang ahli sains percaya bahawa tektit ialah meteorit kecil. Ada pula yang percaya bahawa ia adalah hasil perlanggaran meteorit. Lihat Tektit. | UMUM | |
ANAI-ANAI | Anai-anai ialah nama biasa bagi kumpulan serangga yang hidup dalam komuniti seperti semut. Ia telah lama dikenali sebagai semut putih. Nama ini tidak betul kerana anai-anai hanya sama dengan semut dari segi tabiat hidup bersama dan saiznya yang kecil. Sebenarnya, anai-anai lebih rapat berkaitan dengan lipas dan belalang. Bahagian-bahagian mulut, sesungut, pinggang yang besar, sayap primitif dan ciri-ciri lainnya sama seperti yang ada pada lipas. Semut mempunyai pinggang yang kecil dan sesungut bersiku. | UMUM | |
ORANG IONIAN | Orang Ionian ialah sekumpulan orang Yunani purba. Mereka tinggal di beberapa bahagian Peloponnesus (bahagian selatan semenanjung Greece) sebelum tahun 1100 S.M. Kumpulan lain orang Yunani yang dinamai Dorian menyerang Peloponnesus pada akhir tahun 1100-an. Untuk menyelamatkan diri daripada penyerang itu, ramai orang Ionian lari ke bahagian timur Greece yang dikenali sebagai Attica. Sesetengah orang Ionia ini menjadi nenek moyang kepada orang yang tinggal di Athens apabila ia berkembang menjadi bandar raya bertaraf negara kota di Attica. Orang Ionian yang lain berlayar merentasi Laut Aegean dan menduduki Ionian , sebuah wilayah di sepanjang pantai barat Asia Kecil (Turki kini). | UMUM | |
SIERRA LEONE | Sierra Leone ialah negara kecil yang terletak di bahagian yang “membonjol” di barat Afrika, di utara khatulistiwa. Sierra Leone menghasilkan sebahagian besar berlian – salah satu barang yang sangat berharga di dunia, dan antara negara utama yang mengeluarkan berlian untuk membuat batu permata dan juga digunakan dalam industri. | UMUM | Konsep |