MINOR | Minor adalah orang yang masih di bawah umur. Di kebanyakan negara, umur yang sah dari segi undang-undang ialah 21 tahun. Namun kini, banyak negara telah mengurangkan umur itu kepada 18 tahun. Umur dewasa adalah umur ketika seseorang itu layak untuk mengundi, dan berkahwin tanpa meminta keizinan ibu bapa. Ia juga merupakan umur seseorang itu perlu bertanggungjawab terhadap perbuatannya. | UMUM | |
SEKOLAH TINGGI | Sekolah tinggi ialah sekolah yang terdapat di Amerika Syarikat dan Kanada yang menyediakan beberapa tahun pengajian untuk kanak-kanak yang berusia antara 14 tahun dan 17 tahun di bawah peringkat umur muda. Di negara-negara lain sekolah tinggi dikenali sebagai sekolah menengah . Sekolah tinggi menyediakan pendidikan biasa dan menyediakan pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke kolej atau untuk mendapatkan pekerjaan. | UMUM | |
DIVERTIKULITIS | Divertikulitis ialah penyakit biasa pada kolon (usus besar). Antara gejalanya termasuk rasa sakit di bahagian bawah kiri abdomen dan demam. Penyakit ini terjadi daripada divertikulosis, iaitu gangguan yang merebak dalam kalangan orang pertengahan umur dan orang tua di negara maju. | UMUM | |
ADAT PERKAHWINAN MELAYU SARAWAK | ADAT PERKAHWINAN MELAYU SARAWAK, adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Sarawak di Kuching, Seri Aman, Miri, Sibu, Bintulu dan Limbang. Adat perkahwinan dan peraturan kekeluargaan penduduk Melayu Sarawak tertakluk kepada Undan-undang Mahkamah Melayu Sarawak yang mula dilaksanakan pada tahun 1910 di bawah pentadbiran Majlis Islam. Perkahwinan di kalangan masyarakat Melayu Sarawak terbahagi kepada lima. Pertama, ‘nikah benar’ iaitu perkahwinan yang biasa berlaku dan mengikut segala peraturan hukum dan adat yang biasa. Kedua, ‘nikah salah’ iaitu perkahwinan setelah melakukan perbuatan yang curang atau sumbang. Ketiga, ‘nyerah diri’ dan keempat, ‘ngekot’, serta kelima, ‘basuh kaki’. Nyerah diri berlaku jika lelaki menyerahkan dirinya kepada keluarga perempuan yang berada kerana tidak mampu untuk berkahwin mengikut adat. Keluarga perempuan boleh menghalau atau menolaknya secara lembut dengan mengenakan syarat yang ketat. Ngekot pula berlaku jika perempuan lari dari rumah untuk mengikut kekasihnya. Basuh kaki ialah perkahwinan yang sebahagian besar belanjanya ditanggung oleh pihak perempuan. Merisik Mencari jodoh dilakukan melalui keserasian antara pasangan lelaki dan perempuan. Apabila ibu bapa merasakan anak lelaki mereka sudah cukup umur untuk berkahwin, mereka akan mencadangkan nama beberapa orang gadis daripada saudara dekat dengan mengambil kira persamaan status dalam masyarakat. Anak lelaki dibenarkan membuat pilihannya sendiri dan pemilihannya itu diuji melalui ‘berugam’. Upacara menguji keserasian ini dijalankan oleh orang perempuan sahaja. Barang yang digunakan dalam upacara ini ialah ‘turak’ (alat penenun yang bulat), beras, tepung tawar iaitu tepung beras yang dicampur dengan limau, sirih tiga kapur dan tiga gulung rokok. | BUDAYA | Konsep |