MEGAFON | Megafon ialah peranti berongga, berbentuk konyang digunakan untuk menjadikan suara lebih kuat. Seseorang yang menggunakan megafon akan bercakap atau menjerit ke dalam bukaan kecil di satu hujungnya. Suara orang itu keluar dari hujung satu lagi yang lebih besar. Megafon menjadikan suara lebih kuat kerana gelombang bunyi dihalakan dalam satu arah. Megafon panjangnya mungkin sehingga 60 sentimeter atau lebih. Pembesar suara mudah alih yang menggunakan kuasa bateri, dikenali sebagai bullhorn, sering digunakan sebagai ganti megafon. | UMUM | |
SESENDAL | Sesendal ialah silinder berongga yang digunakan sebagai lapik boleh tanggal dalam bahagian-bahagian bergerak pada mesin dan alat elektrik. Dalam jentera, sesendal mungkin digunakan sebagai bering bagi gandar atau pangsi untuk mengurangkan geseran dan haus. Ia juga mungkin digunakan untuk menyambungkan paip dengan aksesori paip yang lebih besar saiznya. Sesendal bagi jentera biasanya dibuat daripada plastik, gangsa, atau logam Babbit atau logam antigeseran yang lain. Dalam bahagian-bahagian alat elektrik, sesendal mungkin digunakan untuk menebat sambungan litar. | UMUM | |
PUNDI KENCING | Pundi kencing ialah nama biasa bagi organ berotot berongga yang menyimpan air kencing sebelum ia dikeluarkan dari badan. Pengosongan pundi kencing berlaku secara terkawal pada kebanyakan manusia dan banyak mamalia lain. | UMUM | |
EKOR KUDA | Ekor kuda ialah tumbuhan yang mempunyai batang berongga, bersendi dan biasanya berlekuk. Batangnya mengandungi silika iaitu bahan pelelas (lihat Silika). Ekor kuda kadangkala dikenali sebagai rush penyental kerana ia pernah digunakan untuk menggilapkan logam. | UMUM | |
SUNTIKAN HIPODERMIK | Suntikan hipodermik ialah satu kaedah untuk memasukkan ubat ke bawah kulit. Peralatan untuk suntikan ini termasuklah picagari dan jarum yang berongga. Picagari adalah tiub yang disambungkan dengan perocok. Jarum yang digunakan mempunyai hujung yang tajam untuk memudahkannya dicucukkan ke dalam kulit. Doktor menyambungkan jarum ini dengan tiub picagari, memasukkan ubat cecair ke dalam picagari dan kemudian mencucukkan jarum ke kulit pesakit. Kemudian, doktor tersebut akan menekan perocok untuk menolak ubat keluar melalui jarum. Jarum berongga ini dicipta pada tahun 1844 oleh Francis Rynd, doktor Ireland. Charles Pravaz, doktor Perancis pula mencipta picagari logam pertama yang praktikal pada tahun 1853. Lihat Picagari. | UMUM | |
PICAGARI | Picagari ialah sejenis peranti seperti pam. Bentuknya seperti tiub, tirus pada satu hujungnya dengan pelocok atau mentol berongga yang lembut di hujung yang satu lagi. | UMUM | |
POLO AIR | Polo air sejenis sukan yang melibatkan dua pasukan bertanding di dalam kolam dan cuba menjaringkan gol dengan membaling atau menolak sebiji bola getah berongga ke arah pintu gol lawan. Satu mata diperoleh bagi satu gol yang masuk ke gawang. Polo air adalah salah satu sukan yang paling lasak kerana pemain menendang dan bergelut atau kadangkala menekan kepala lawan ke dalam air, sungguhpun perbuatan tersebut menyalahi peraturan. | UMUM | |
MENSIANG | Mensiang ialah nama biasa bagi empat jenis tumbuhan rumput yang tinggi, halus. Mensiang juga boleh dirujuk kepada batang tumbuhan ini yang sering beruas di banyak tempat. Batangnya mungkin sehalus dan serapuh jerami, atau setebal dan setegap buluh. Empulur yang memenuhi bahagian tengah mensiang biasanya boleh dibuang, meninggalkan tiub berongga yang bersendi. Batang berongga ini digunakan untuk membuat alat muzik. | UMUM | |
SOLENODON | Solenodon ialah haiwan nadir yang kelihatan seperti tikus berhidung panjang. Solenodon kepala kuning hidup di Cuba, dan solenodon perang hidup di Haiti. Solenodon hidup di kawasan berhutan. Pada waktu siang, ia berehat dalam batang berongga dan keluar untuk mencari makanan hanya pada waktu malam. Ia mencakar dengan cakarnya yang panjang untuk mencari serangga. Haiwan ini beratnya kira-kira satu kilogram dan membesar sehingga kira-kira 60 sentimeter panjangnya, termasuk ekornya yang keras, bersisik, yang panjangnya lebih kurang 25 sentimeter. Ia mempunyai muncung yang panjang, runcing dan bulu yang pendek, kasar. Air liur solenodon adalah beracun. | UMUM | |
ARCHIPENKO, ALEXANDER | Archipenko, Alexander (1887–1964) merupakan perintis dalam seni ukiran kubisme. Dia merupakan salah seorang pengukir terawal yang menunjukkan bahawa ruang adalah sama penting dengan objek padu. Ini merupakan unsur yang asasi dalam gaya Archipenko sepanjang kariernya. Cara dia menggabungkan bahan padu dan berongga mempengaruhi ramai pengukir moden. Ukiran Archipenko berbentuk cekung (melengkung ke dalam), cembung (melengkung ke luar), bersegi- segi dan mempunyai bukaan. Contoh-contoh lazim yang menggambarkan gaya ukirannya termasuk Dual (1955) dan Architectural Figure (1957). | UMUM | |