LIEN | Lien ialah tuntutan yang sah di sisi undang- undang oleh seseorang terhadap harta orang lain sebagai cagaran untuk hutang. Lien hampir sama dengan gadai janji (pinjaman atas harta). Tetapi tidak seperti gadai janji, lien tidak boleh diserah hak (dipindahkan) kepada orang lain (lihat Gadai janji; Kontrak). | UMUM | |
DELINKUENSI JUVENIL | Delinkuensi juvenil selalunya dikaitkan dengan perlanggaran undang-undang oleh seseorang juvenil. Perbuatan ini dianggap jenayah jika dilakukan oleh orang dewasa seperti mencuri dan juga perbuatan yang hanya salah di sisi undang-undang bagi kanak-kanak lelaki atau perempuan, seperti membeli minuman keras. Kebanyakan orang menggunakan istilah delinkuensi juvenil bagi semua perbuatan golongan remaja yang bertentangan dengan norma masyarakat, tidak kira sama ada perbuatan itu salah atau tidak di sisi undang-undang. | UMUM | |
RIBA | Riba ialah caj faedah pada kadar yang tinggi, yang dikenakan ke atas wang yang dipinjam. Di sesetengah negara, riba ditafsirkan sebagai caj faedah yang dikenakan melebihi daripada kadar maksimum yang sah di sisi undang-undang. Orang perseorangan atau institusi yang mengenakan kadar yang lebih daripada yang dibenarkan di sisi undang-undang dikenali sebagai pemakan riba . | UMUM | |
BUTANG | Butang ialah objek bulat leper atau objek berbentuk lain yang digunakan untuk merapatkan pakaian. Butang dijahit pada satu sisi pakaian dan dimasukkan ke dalam lubang butang atau gelung di sisi yang satu lagi. | UMUM | |
SETINGGAN | Setinggan ialah orang yang tinggal di atas sebidang tanah tetapi tidak mempunyai hak milik atau apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa dia memiliki tanah berkenaan. Dalam sesetengah kes, seseorang setinggan boleh membuat tuntutan yang sah terhadap tanah tertentu sekiranya tidak ada orang lain yang mempunyai tuntutan yang sah di sisi undang-undang terhadap tanah yang sama. Pada beberapa zaman tertentu dalam sejarah, para peneroka telah menjelajah ke kawasan yang belum diduduki dan kemudiannya menuntut hak milik terhadap tanah tersebut. Di Australia dan di Amerika Syarikat, ramai setinggan menduduki tanah yang belum lagi disukat ataupun diukur dan yang belum pernah mempunyai sebarang hak milik. Mereka mendirikan rumah dan membersihkan tanah berkenaan. Dengan berbuat demikian, mereka percaya bahawa mereka telah beroleh hak untuk membeli tanah berkenaan pada harga yang minimum apabila kerajaan menjualnya. | UMUM | |
OSLER, SIR WILLIAM | Osler, Sir William (1849–1919), doktor Kanada dan salah seorang pendidik perubatan yang terulung. Salah satu sumbangan Osler yang paling dikenali dalam dunia perubatan ialah pembentukan sebuah klinik di Johns Hopkins Hospital di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat. Klinik ini menjadi model bagi pendidikan perubatan moden di Amerika Syarikat. Osler begitu cenderung menggunakan “pesakit sebagai teks”, dan dia menyempurnakan kaedah pengajaran dengan menggalakkan penuntut melibatkan diri dalam merawat pesakit dan belajar seni rawatan amali di sisi pesakit. | UMUM | |
SURAH AL-ZUMAR | Surah al-Zumar ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-39 mengikut susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi 75 ayat. Surah ini dinamakan al-Zumar (kumpulan) kerana Allah S.W.T. menyebut di dalam surah ini sekumpulan ahli syurga yang hidup bahagia bersama golongan mulia dan dihormati serta sekumpulan ahli neraka yang hidup menderita bersama golongan hina dan rendah darjat di sisi Allah S.W.T. | UMUM | |
PIS GURUN STURT | Pis gurun Sturt ialah tumbuhan luar biasa yang meliputi kawasan yang luas di bahagian kontang di Australia pada musim yang baik. Tumbuhan merayap ini cepat tumbuh, mempunyai kuntum besar bunga pis berwarna merah tua yang lehernya berwarna gelap. Setiap bunga panjangnya 7.5 hingga 10 sentimeter, dengan satu kelopak yang besar di belakang, dua kelopak kecil di sisi, dan dua kelopak yang panjang bercantum di tengahnya. Bunga yang kembang diikuti dengan lenggai yang sempit, keras, berwarna perang, setiap satunya mengandungi banyak biji keras. | UMUM | |
ANUGERAH | ANUGERAH, pemberian yang berupa hadiah yang terbesar dan tinggi nilainya. Perkataan anugerah berasal daripada perkataan Sanskrit ‘nugeraha’ atau ‘ anugeraha’. Pemberian tersebut mungkin datang daripada Allah atau zaman pra-Islam disebut datang daripada Sang Hyang Dewata Mulia Raya. Pemberian tersebut sama ada dalam bentuk rezeki, umur yang panjang, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan, zuriat keturunan yang baik-baik, darjah dan martabat yang mulia di sisi masyarakat, atau kuasa dan wibawa. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
PETITION OF RIGHT | Petition of Right ialah satu dokumen yang ditulis pada tahun 1628 oleh Parlimen Inggeris dan dikemukakan kepada Raja Charles I. Dokumen tersebut mengisytiharkan bahawa tindakan- tindakan yang tertentu oleh Raja tidak mengikut perlembagaan, seperti mengenakan cukai tanpa persetujuan Parlimen, menempatkan anggota tentera di rumah persendirian, menubuhkan kerajaan tentera dan memenjarakan rakyat dengan cara yang tidak sah di sisi undang-undang. | UMUM | |