MENARA BABEL | Menara Babel ialah menara di Babylon, iaitu kota di Mesopotamia purba. Ia berbentuk piramid yang berteres, iaitu reka bentuk yang dikenali sebagai ziggurat. Menara ini mempunyai tujuh tingkat berserta sebuah kuil kecil di atasnya. Orang Babylon menamakan menara ini Etemenanki, yang bermakna rumah asas syurga dan bumi. Babel ialah nama Ibrani bagi Babylon. Babylon bermakna pintu gerbang tuhan dalam bahasa Babylon. | UMUM | |
METAFORA | Metafora, iaitu kiasan, ialah ungkapan yang diambil daripada satu bidang pengalaman dan digunakan untuk mengatakan sesuatu dalam bidang lain. Misalnya, apabila kita berkata, “He’s a sly fox,” kita menggunakan metafora, iaitu kita menggunakan nama haiwan untuk menerangkan manusia. Metafora menyatakan perbandingan tanpa menggunakan kata “like” atau “as”. Penyataan “He is like a sly fox” or “He is sly as a fox” ialah perumpamaan (lihat Perumpamaan). | UMUM | |
PITCHBLEND | Pitchblend ialah sejenis uranit, iaitu mineral yang terdiri daripada terutamanya uranium dan oksigen. Bijih ini mengandungi radioaktif yang sangat tinggi. Pada tahun 1898, ahli fizik Perancis Marie dan Pierre Curie mendapatkan radium, iaitu unsur nadir yang digunakan dalam perubatan dan sains fizikal, daripada pitchblend. Pitchblend adalah sumber utama uranium, yang digunakan untuk menghasilkan tenaga nuklear. | UMUM | |
PUTERI SA'ADONG | Puteri Sa’adong ( ? - ? ) ialah isteri kepada Raja Abdullah, pemerintah kerajaan Jembal ke-3 iaitu sebuah kerajaan di timur negeri Kelantan, pada abad yang ke-17. Puteri Sa’adong adalah puteri kepada Raja Luyor, iaitu raja ke-2 yang memerintah Jembal. Perihal kecantikan Puteri Sa’adong tersebar luas hingga ke negeri Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayung, iaitu negeri yang diperintah oleh Cik Siti Wan Kembang yang berpusat di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan. Puteri Sa’adong yang juga dikenali sebagai Puteri Wijaya Mala dijadikan anak angkat oleh Cik Siti Wan Kembang. | UMUM | |
ZHU KEZHEN | Zhu Kezhen (1890 –1974), ahli sains China dan pakar yang terkenal dalam bidang klimatologi, iaitu sains tentang iklim. Dia yang memperkenalkan fenologi, iaitu kajian tentang berlakunya peristiwa alam secara berkala, seperti migrasi haiwan mengikut musim. Dia juga ahli sains pertama yang mempelajari sejarah astronomi di China. | UMUM | |
ZENO ELEA | Zeno Elea (490? SM – 430 SM) ialah ahli falsafah Yunani yang tinggal di tanah jajahan Yunani, iaitu Elea di selatan Itali. Dia mempertahankan ajaran gurunya, iaitu ahli falsafah Parmenides, yang percaya apa yang wujud adalah satu, kekal abadi, dan tidak berubah. | UMUM | |
SAFAR | Safar adalah bulan kedua mengikut Takwim Hijrah. Nama tersebut mula digunakan sekitar tahun 412 M., iaitu pada zaman Kilab ibn Murrah; datuk Nabi Muhammad s.a.w. yang kelima. Terdapat beberapa pandangan tentang asal usul nama Safar. Ada yang berpendapat bahawa nama Safar diambil daripada nama sebuah kawasan, iaitu al-Safariyyah. Pendapat lain pula menyatakan bahawa ia diambil daripada nama pasar al-Safariyyah yang terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab, iaitu di Yaman. Orang Arab sering berulang-alik ke pasar tersebut untuk menjalankan aktiviti perniagaan. | UMUM | |
SELOFAN | Selofan ialah bahan sintetik yang nipis, fleksibel. Ia dibuat daripada selulosa, iaitu bahan dalam dinding sel tumbuhan. Kebanyakan selofan disaluti bahan kimia khas untuk menjadikannya kalis udara dan tahan lembapan. Bahan kimia ini juga menjadikan selofan terkedap haba – iaitu ia membolehkan selofan terkedap sendiri dan terkedap pada bahan- bahan tertentu dengan menggunakan haba dan tekanan. | UMUM | |
SUMER | Sumer, sebuah kawasan purba di selatan Mesopotamia (kini tenggara Iraq), iaitu tempat lahir tamadun dunia yang pertama. Tamadun ini bermula lebih kurang pada tahun 1500 S.M. dan berkembang hingga lebih kurang tahun 2000 S.M. Ia kemudian diserap oleh empayar Babylon dan Assyria yang hebat. Orang Sumer mencipta sistem penulisan pertama dunia, iaitu satu set perkataan bergambar. Sistem ini berkembang menjadi sejenis tulisan yang dikenali sebagai tulisan pepaku. Ia menggunakan simbol yang terdiri daripada tanda-tanda segi tiga. Tulisan pepaku ini digunakan untuk menulis pelbagai bahasa di seluruh kawasan barat daya Asia pada zaman purba. | UMUM | |
SULFAT | Sulfat ialah sebatian kimia yang mengandungi kumpulan tertentu atom, sulfur dan oksigen. Kumpulan ini dikenali sebagai radikal sulfat (SO4 2—). Biasanya, sulfat adalah sebatian yang stabil, yang terbentuk dalam bentuk hablur. Sulfat biasa adalah selestit, iaitu sulfat strontium; garam Epson, iaitu sulfat magnesium; gipsum, iaitu sulfat kalsium dan spar berat, iaitu sulfat barium. Banyak sulfat larut dalam air, tetapi sesetengahnya seperti sulfat-sulfat barium, strontium, dan plumbum, tidak larut dalam air. | UMUM | |