SIMPSON, BOBBY | Simpson, Bobby (1936– ) ialah pemain kriket Australia, menjadi kapten pasukan Australia dalam 39 ujian. Dia mula mengetuai Australia pada tahun 1963. Simpson bersara pada tahun 1968 tetapi dipanggil semula bagi mengetuai Australia melawan India pada tahun 1978 pada umur 42 tahun. Dia bermain dalam 62 ujian dan memungut mata larian 4869 pada purata 46.81. Simpson seorang pelontar, pemain pertahanan, dan pemukul yang cekap. Dia membuat 71 wiket pada purata 42.26 dan menangkap 110 pukulan. Robert Baddeley Simpson lahir di Sydney. | UMUM | |
SHACKLETON, SIR ERNEST HENRY | Shackleton, Sir Ernest Henry (1874–1922), penjelajah Ireland yang mengetuai satu ekspedisi British dari Laut Ross dalam kawasan 180 kilometer ke kutub geografi selatan pada tahun 1908 (lihat Antartika [Penjelajahan awal]). Pada tahun 1914, dia mengetuai satu ekspedisi ke Laut Weddell. Di sana kapalnya, Endurance , karam setelah terlanggar ketulan ais. Kumpulannya menyelamatkan diri dengan menaiki bot ke Pulau Elephant. Kemudian Shackleton dan empat temannya meneruskan perjalanan ke Pulau Georgia Selatan menggunakan bot dan menyeberangi rabung pergunungan pulau itu untuk mendapatkan bantuan penyelamat. Hasilnya, seluruh pasukannya berjaya diselamatkan. Shackleton lahir di Kaunti Kildare. | UMUM | |
TAMBO, OLIVER | Tambo, Oliver (1917–1993), mengetuai Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) semasa dalam buangan selepas Kongres tersebut diharamkan di Afrika Selatan pada tahun 1960 (lihat Kongres Kebangsaan Afrika ). | UMUM | |
PERSHING, JOHN JOSEPH | Pershing, John Joseph (1860–1948), mengetuai Pasukan Ekspedisi Amerika (A.E.F.) di Eropah semasa Perang Dunia I. A.E.F. merupakan Tentera Amerika Syarikat yang pertama dihantar ke Eropah. Jeneral Tentera Bersekutu ingin menggunakan tentera Amerika untuk menggantikan tenteranya yang diserang bertalu-talu, tetapi Pershing bertegas bahawa Tentera Amerika harus bertempur secara berasingan kecuali kerana kes tertentu. Dia percaya bahawa kesedaran tentang wujudnya Tentera Amerika yang semakin kuat akan melemahkan semangat tentera Jerman. | UMUM | |
AIDIT D.N. | Aidit D.N. (1923–1965), mengetuai Parti Komunis Indonesia dari tahun 1951 hingga tahun 1965. Dia berjaya membina sebuah parti politik Indonesia yang terbesar dan tersusun dengan baik, dengan keanggotaan lebih daripada tiga juta orang. Parti Komunis yang diketuainya menyokong Presiden Sukarno. Selepas percubaan rampasan kuasa oleh pegawai tentera prokomunis pada tahun 1965, Aidit melarikan diri ke Jawa Tengah, dan dia telah ditembak di sana. | UMUM | |
PERTEMPURAN GETTYSBURG | Pertempuran Gettysburg, berlaku pada 1 Julai hingga 3 Julai 1963 dan merupakan titik penentuan dalam Perang Saudara Amerika (1861–1865). Jeneral George G. Meade yang mengetuai tentera Utara (Kesatuan) seramai 90 000 orang untuk menewaskan Jeneral Robert E. Lee yang mengetuai tentera Selatan (Gabungan) seramai 75 000 orang. Kedua- dua pasukan bersenjata bertempur secara kebetulan di sebuah bandar kecil, di Gettysburg, Pennsylvania . Tembak-menembak berlaku apabila briged gabungan menyerang pasukan berkuda Kesatuan di bandar Gettysburg pada 1 Julai. | UMUM | |
DAGOHOY, FRANCISCO | Dagohoy, Francisco (1704?–1774?), patriot Filipina mengetuai pemberontakan menentang pemerintah kolonial Sepanyol di Filipina pada tahun 1744. | UMUM | |
AMUNDSEN, ROALD | Amundsen, Roald (1872–1928), penjelajah Norway, mengetuai ekspedisi yang pertama sampai di Kutub Selatan. Amundsen dan empat orang rakannya menemui kutub tersebut pada 14 Disember 1911. Mereka mendahului ekspedisi Inggeris yang diketuai oleh Robert F. Scott lima minggu lebih awal. Amundsen juga terkenal kerana kerap membuat penjelajahan di Artik. | UMUM | |
ORELLANA, FRANCISCO DE | Orellana, Francisco de (1511?–1546) ialah penjelajah Sepanyol, mengetuai ekspedisi orang Eropah yang pertama belayar sepanjang Sungai Amazon di Amerika Selatan. | UMUM | |
MONNET, JEAN | Monnet, Jean (1888–1979) ialah peniaga Perancis dan pembesar yang mengetuai suatu pergerakan untuk menyatukan Eropah Barat pada tahun 1950-an dan tahun 1960-an. Dia dikenali sebagai Bapa Komuniti Eropah. Monnet mencadangkan penubuhan Komuniti Batu Arang dan Keluli pada tahun 1950 dan menjadi presiden pergerakan itu dari tahun 1952 hingga tahun 1955. Dia mengasaskan Komuniti Bertindak untuk Kesatuan Eropah dan menjadi presidennya dari tahun 1956 hingga 1975. Dia membantu menubuhkan Komuniti Tenaga Atom (Euratom) dan Komuniti Ekonomi Eropah (kini dikenali sebagai Kesatuan Eropah); kedua-duanya ditubuhkan pada tahun 1957. Lihat Kesatuan Eropah. | UMUM | |