Taurus, Lembu Jantan , ialah buruj (kumpulan bintang) yang membentuk tanda kedua zodiak. Dalam mitologi Yunani, Zeus mengubah dirinya menjadi seekor lembu jantan yang putih bersih supaya dia dapat menawan hati Europa yang dicintainya. Lembu itu dikagumi oleh Europa lalu ditungganginya. Zeus pun mendedahkan identitinya dan mengahwini Europa. Di langit, Taurus dapat dicamkan dengan kehadiran dua gugusan bintang yang terbuka. Gugusan bintang berbentuk V, iaitu Hyades , menandakan muka lembu. Pleiades, gugusan bintang yang agung dan lebih padat, membentuk bahu lembu itu. Bintang yang kemerah-merahan, Aldebaran, menandakan mata kanan. Dua butir bintang lagi, Beta dan Zeta Tauri, membentuk hujung tanduk lembu. Taurus juga termasuk Nebula Ketam, suatu jisim gas dan debu yang mengembang, dan yang berpunca daripada supernova (ledakan bintang) serta T. Tauri, bintang yang berubah-ubah. Lihat juga Astrologi; Supernova; Zodiak. |