SHINTY, | Shinty sejenis permainan yang dimainkan di Scotland. Shinty juga dikenali sebagai camanachd. Terdapat 12 orang pemain bagi satu-satu pasukan. Permainan ini serupa dengan permainan hoki, tetapi pemainnya menggunakan kayu yang lebih pendek yang dinamakan caman. Setiap pasukan cuba membuat jaringan dengan memasukkan bola ke dalam hail (gol) yang berukuran 4 meter lebar dan 3 meter tinggi. Permainan ini terbahagi kepada dua bahagian, setiap satu diberi masa 45 minit. Pemain boleh memukul bola dengan mana-mana bahagian caman, sama ada bola itu berada di udara atau di tanah. Permainan ini lebih pantas dan lebih ganas daripada hoki. Pertandingan utama adalah untuk merebut Piala Pusingan Persatuan Camanachd. | UMUM | |
RINGETTE | Ringette ialah sejenis sukan berpasukan untuk gadis dan wanita muda. Permainan ini seakan serupa dengan permainan hoki ais. Permainan ini dicipta di Ontario, Kanada pada tahun 1963. Kini, permainan ini dimainkan di bahagian utara Amerika Syarikat dan beberapa buah negara Eropah serta Kanada. | UMUM | |
MASTODON | Mastodon ialah haiwan yang hampir serupa dengan gajah. Sekarang, haiwan ini telah pupus. | UMUM | |
ZUHRAH | Zuhrah dikenali sebagai “saudara kembar” bumi kerana kedua-dua buah planet ini mempunyai saiz yang serupa. Diameter Zuhrah ialah kira-kira 12 100 kilometer, hampir 644 kilometer lebih kecil daripada diameter bumi. | UMUM | |
ANJING RAKUN | Anjing rakun ialah anggota famili anjing berbulu tebal yang tumbuh serupa dengan rakun. Tempat asal anjing ini ialah hutan Siberia dan Asia Timur termasuk Jepun. | UMUM | |
KELENJAR PROSTAT | Kelenjar prostat ialah organ sistem reproduksi lelaki. Kelenjar ini merembeskan bendalir kental yang keputih-putihan dalam tubuh. Semua mamalia jantan mempunyai bentuk kelenjar prostat yang serupa. Pada orang lelaki, kelenjar itu terletak betul-betul di bawah pundi air kencing dan bersetentangan dengan bahagian rektum. Beratnya lebih kurang 20 gram dan besarnya lebih kurang sebesar buah berangan. Prostat terdiri daripada tisu yang berotot dan berkelenjar, serta mempunyai permukaan yang bergentian lagi liat. | UMUM | |
THEREMIN | Theremin ialah alat muzik berbentuk kotak yang serupa dengan alat penerima radio. Nada muzik dihasilkan oleh dua litar elektronik frekuensi tinggi di dalam alat berkenaan. Pemain alat ini menghasilkan muzik dengan menggerakkan tangan kanannya di udara di hadapan antena yang terpacak pada alat muzik tersebut. Pemain mengawal nada bunyi dengan menggunakan suis dan menggerakkan tangan kirinya ke atas lingkaran logam di atas theremin. Lev Theremin, ahli sains Rusia, mencipta alat ini dan memainkannya buat pertama kali di khalayak ramai pada tahun 1920. Theremin adalah semata-mata satu keanehan muzik, tetapi ia telah digunakan sebagai alat solo. Penggubah muzik untuk theremin termasuk Bohuslav Martinu dan Edgard Varèse. | UMUM | |
DEMAM CAMPAK | Demam campak ialah sejenis penyakit yang mengakibatkan ruam di seluruh tubuh. Penyakit ini ialah satu penyakit yang sangat mudah berjangkit (boleh berjangkit melalui sentuhan). Lazimnya penyakit ini berlaku pada kanak-kanak tetapi orang dewasa juga boleh dijangkiti. Di negara maju hanya segelintir yang dijangkiti penyakit itu menemui ajal. Walau bagaimanapun, penyakit ini boleh menyebabkan kematian kepada ramai kanak-kanak yang kekurangan zat makanan di negara membangun. Nama perubatan untuk penyakit campak ialah rubeola. Campak Jerman, yang dikenali sebagai rubella sebenarnya ialah sejenis penyakit yang berlainan, tetapi mempunyai tanda-tanda awal yang serupa. | UMUM | |
MENARA LOCENG | Menara loceng, dalam bahasa Inggeris disebut campanile. Istilah ini berasal daripada perkataan Itali yang bermaksud loceng. Kebanyakan menara loceng terdapat di Itali. Bentuk menara biasanya segi empat tetapi ada juga yang berbentuk bulat. Sebahagian besarnya dibina di atas struktur yang berasingan, tetapi ada yang disambungkan pada gereja. Loceng di menara ini berfungsi untuk memanggil orang bersembahyang. Menara serupa ini juga didirikan di dewan bandar raya yang berfungsi sebagai menara pengawal dan struktur yang menjadi kebanggaan orang ramai. | UMUM | |
RAS, MANUSIA | Ras, Manusia atau bangsa manusia. Semua manusia adalah dari keturunan manusia yang hidup ratusan ribu tahun dahulu. Oleh itu, kita semua berkongsi leluhur yang sama. Ini bermakna bahawa semua manusia yang tinggal di dunia hari ini berkaitan dengan satu sama lain. Walaupun kita semua berkaitan, kita tidak kelihatan serupa. Badan kita berbeza saiz dan bentuknya, kulit kita berbeza-beza warnanya, mata kita berbeza warna dan bentuknya, bibir dan hidung kita berbeza bentuknya, dan rambut kita berbeza warna dan teksturnya. | UMUM | |