OEDEMA | Oedema ialah bengkak tisu badan yang disebabkan oleh bendalir terkumpul dalam ruang antara sel. Oedema mungkin setempat – iaitu, terhad kepada satu bahagian badan – atau ia mungkin menjejaskan tisu di seluruh badan. Oedema setempat biasanya terjadi apabila kandungan kapilari yang cedera bocor dan masuk ke dalam ruang-ruang tisu yang berdekatan. | UMUM | |
DARTER | Darter ialah mana-mana satu daripada kira-kira 140 spesies ikan air tawar yang kecil yang tergolong dalam famili perch. Darter terdapat di perairan Amerika Utara di sebelah timur Pergunungan Rocky, dari tengah Kanada hingga ke utara Mexico. Ikan ini mendapat namanya daripada cara ia meluru dari setempat ke setempat. | UMUM | |
LIGNOKAINA | Lignokaina ialah sejenis ubat untuk menahan rasa sakit di bahagian tubuh yang tertentu. Ubat seperti ini dinamakan anestetik setempat. Lignokaina digunakan di dalam pembedahan dan prosedur pergigian sebagai penyekat saraf bahagian. Ini bermakna, ia disuntik di sekeliling saraf yang mengawal deria rasa di bahagian tubuh yang tertentu. Lignokaina juga digunakan dalam salap dan semburan yang berpreskripsi ataupun yang tidak berpreskripsi sebagai bahan anestetik untuk kecederaan kulit yang kecil. Lignokaina digunakan juga untuk merawat denyutan jantung yang tidak normal. | UMUM | |
STATISTIK PENTING | Statistik penting ialah satu rekod peristiwa paling asas bagi manusia, termasuklah butiran kelahiran, perkahwinan, perceraian, penyakit, dan kematian. Statistik penting bagi menunjukkan perubahan yang berlaku pada penduduk sesebuah negara, negeri, atau provinsi atau masyarakat setempat. | UMUM | |
PERTUBUHAN SUKARELA | PERTUBUHAN SUKARELA, badan yang keahliannya secara sukarela. Kebebasan berpersatuan dan kewujudan pertubuhan sukarela adalah satu ciri penting dalam sistem demokrasi. Sungguhpun kebebasan itu perlu disesuaikan dengan keperluan dan kepentingan setempat namun, pertubuhan jenis ini menjadi saluran terpenting bagi manusia memenuhi hasrat dan naluri semula jadi untuk hidup berkelompok atau berkumpulan. Sistem demokrasi menggalakkan kewujudan berbagai-bagai bentuk dan jenis persatuan atau pertubuhan sukarela kerana dengan demikian sahajalah tercapainya suatu bentuk keseimbangan dalam masyarakat yang boleh mengurangkan pula kemungkinan tercetusnya ketegangan yang boleh menggugatkan sistem itu sendiri. | BUDAYA | Persatuan |
SIANTAN | SIANTAN, salah satu pulau dalam kelompok Pulau Anambas, Indonesia, dan sebahagian daripada kepulauan di Laut China Selatan yang dikenal sebagai Pulau Tujuh. Kepulauan Pulau Tujuh yang terletak di antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Kalimantan, termasuk lebih daripada 300 buah pulau. Orang setempat membahagikan kepulauan itu ke dalam tujuh kelompok, iaitu Jemajar (Anambas Barat), Siantan (Anambas Besar), Pulau Laut (Natuna Utara), Bunguran (Natuna Besar), Subi (Natuna Selatan), Serasan (Pulau Perompak) dan Tambelan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
PUTERI GUNUNG LEDANG | PUTERI GUNUNG LEDANG, puteri legenda. Dia dipercayai berketurunan jin dan tinggal di puncak gunung Ledang, Johor. Kisah puteri ini telah menjadi legenda bagi masyarakat Melayu di Malaysia. Cerita tentangnya terdapat dalam bentuk lisan yang disampaikan di kalangan masyarakat setempat dalam bentuk tulisan seperti dalam Sejarah Melayu. Orang Melayu percaya puteri ini wujud, oleh itu pertuturan dan tingkah laku hendaklah dijaga jika mahu mendaki gunung tersebut. Jika tidak dipatuhi, dipercayai orang itu akan ditimpa sesuatu bencana. | BUDAYA | Konsep |
SENI BINA ISLAM | Seni bina Islam adalah salah satu bidang penting yang dikuasai oleh umat Islam. Ini terbukti dengan keupayaan para arkitek Islam membina pelbagai jenis bangunan yang mempunyai ciri-ciri keagamaan dan ilmiah seperti masjid, sekolah dan pondok. Contoh seni bina bercorak moden termasuk istana, rumah, hotel, pejabat kerajaan, agensi, hospital, air pancut dan jambatan; serta bangunan yang mempunyai ciri pertahanan seperti kota, kubu, tembok, pintu gerbang dan kem tentera. Setiap binaan mempunyai ciri dan peranannya yang tersendiri. Reka bentuknya berbeza berdasarkan masa dan keadaan setempat. | UMUM | |
KIRKBY COLLEGE | MAKTAB KIRKBY, maktab perguruan di Britain. Maktab yang lebih dikenal dengan nama Malayan Teachers College Kirkby ini terletak di Liverpool, United Kingdom. Maktab ini ditubuhkan pada awal tahun 1952. Malayan Teachers College Kirkby juga dikenal dengan nama “Little Malaya’ oleh masyarakat setempat atau ‘Kampung Kirkby’ oleh masyarakat Tanah Melayu yang berada di United Kingdom. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Institusi/Organisasi |
PERTUBUHAN ISLAM DI SINGAPURA | PERTUBUHAN ISLAM DI SINGAPURA, beberapa pertubuhan Islam yang wujud pada awal abad ke-20 di Singapura. Agama Islam telah lama bertapak di Singapura sebelum penjajahan British (1819). Walau bagaimanapun, kegiatan keislaman yang bercorak lebih teratur dan lebih berkesan hanya berkembang semenjak akhir abad ke-19 dengan tertubuhnya beberapa pertubuhan Islam setempat. Singapura merupakan pusat penting penyebaran Islam di Nusantara ketika itu. Ramai guru dan pelajar Islam dari Asia Tenggara mengunjungi Singapura untuk mendalami pengetahuan mereka tentang pelbagai aspek Islam. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Persatuan |