DESTAR | DESTAR, sejenis pakaian di kepala yang di sesetengah tempat dikenali dengan setangan, tengkolok atau tanjak, mengikut reka bentuknya. Destar biasanya menggunakan kain yang dipintal dan diikat di kepala seperti serban, atau diikat di keliling tarbus tinggi atau kopiah. Ada juga destar yang dibuat daripada sehelai kain (setangan) yang sederhana besarnya dan diikat di kepala mengikut cita rasa pemakainya. Sekiranya lipatan kain itu meruncing ke atas, ikatan ini disebut tanjak. Tengkolok pula lebih rumit reka bentuknya yang biasanya dipakai oleh raja dan orang bangsawan. | BUDAYA | Konsep |
PAKAIAN KEPALA | PAKAIAN KEPALA, sesuatu yang dipakai di kepala sarna ada oleh orang lelaki atau perempuan. Bagi orang lelaki, pakaian kepala termasuklah destar, tengkolok, tanjak, bebulan, semutar, topi, kopiah dan songkok. Bagi wanita pula pakaian kepala disebut sebagai kain kelubung, selendang, kain tudung dan topi. | BUDAYA | Pakaian |
TELEPUK | TELEPUK, seni menghias kain dengan perada emas. Biasanya telepuk digunakan untuk menghias kain sarung yang dipakai sebagai kain dagang luar, ataupun kain persegi yang dijadikan tengkolok atau tanjak. Telepuk mempunyai sejarahnya sendiri dan dianggarkan telah mula diusahakan sejak abad ke-17 hingga abad ke-18, apabila ia diperkenalkan ke Tanah Melayu melalui pedagang Bugis yang datang dari Sulawesi. | BUDAYA | Proses/Tindak Balas |
PAKAIAN PERTABALAN | PAKAIAN PERTABALAN, pakaian istiadat raja atau sultan pada hari pertabalan baginda. Dalam istiadat Melayu, pakaian yang dipakai pada hari pertabalan tidak dianggap sebagai satu alat kebesaran. Pakaian yang dijadikan alat kebesaran terpenting ialah tengkolok diraja. | BUDAYA | Pakaian |
PANDAK ENDUT | PANDAK ENDUT ( ? -1877), penentang penjajah British. Dia adalah ipar Dato' Maharaja Lela dan orang kanan dalam pakatan membunuh J.W.W. Birch, Residen British Perak. Pandak Endut menghadiri mesyuarat yang diadakan di rumah Dato' Maharaja Lela. Dalam mesyuarat tersebut, Dato' Maharaja Lela memaklumkan yang Sultan Abdullah, Laksamana Wan Muhammad Amin dan Syahbandar Uda Mahamor memberitahu bahawa dalam beberapa hari lagi J.W.W. Birch akan datang ke Pasir Salak dan mereka ditugaskan untuk membunuhnya. Pandak Endut dilantik sebagai wakil Dato' Maharaja Lela dalam tindakan membunuh J.W.W. Birch. Sebagai tanda kuasa ini, dia dianugerahi satu persalinan yang terdiri daripada baju, tengkolok dan pedang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |