PHILEMON DAN BAUCIS | Philemon dan Baucis ialah watak-watak utama dalam satu legenda kecil Yunani purba. Philemon, petani yang warak, hidup dengan isterinya yang setia, Baucis di negeri Phrygia. Pada suatu hari, dua orang pengembara datang ke rumah mereka meminta untuk bermalam. | UMUM | |
MUNCHAUSEN, BARON | Munchausen, Baron ialah nama tukang cerita dan watak utama dalam buku kecil berjudul Baron Munchausen’s Narrative of His Marvellous Travels and Campaigns in Russia . Ia mula diterbitkan di England pada tahun 1785. Jualannya sangat laris hingga menyebabkan edisi yang lebih tebal dihasilkan dengan banyak oleh pencetak. Edisi ini menggunakan cakap besar dan berdegar-degar yang berlebih-lebihan. Naskhah dalam bahasa Jerman terbit pada tahun 1786. Pengarang buku ini ialah Rudolph Erich Raspe (1737–1794), profesor Jerman yang dibuang negeri dan tinggal di London. | UMUM | |
ARTHUR, KING | Arthur, King ialah raja legenda pada zaman pertengahan Britain. Dia menjadi watak utama dalam beberapa buah kisah yang paling popular dalam kesusasteraan dunia. Selama hampir 1000 tahun para pengarang telah menceritakan tindakan berani Arthur dan petualangan sateria-sateria Meja Bulatnya (Round Table). | UMUM | |
DONGENG | Dongeng ialah cereka rekaan yang mengajar tentang moral. Dalam kebanyakan dongeng, satu atau lebih watak utama merupakan haiwan, pokok, atau benda yang bercakap dan bertindak seperti manusia. Dongeng boleh disampaikan sama ada dalam bentuk prosa ataupun puisi. Dalam kebanyakan dongeng, pengajarannya disimpulkan pada penghujung cerita dalam bentuk bidalan. | UMUM | |
PUNCH DAN JUDY | Punch dan Judy ialah watak utama dalam sejenis pertunjukan boneka komik yang popular di England . Punch ialah si bongkok yang berhidung bengkok yang memakai pakaian tradisional Itali . Manakala Judy pula ialah isterinya. Pertunjukan Punch dan Judy biasanya mempunyai banyak cerita jenaka yang kasar dan ganas. Dalam pertunjukan itu, Punch selalunya memukul anaknya, bertengkar dengan isterinya, dan membunuhnya dan ada kalanya watak lain. Punch dibawa ke muka pengadilan dan dihukum mati, tetapi berjaya mengelakkan hukuman itu melalui tipu muslihat. | UMUM | |
STOKER, BRAM | Stoker, Bram (1847–1912), pengarang British, telah mengarang cerita Dracula (1897), salah satu cerita seram yang paling terkenal sepanjang zaman. Count Dracula, watak utama buku ini, ialah seorang bangsawan. Dia sebenarnya puntianak (pembunuh yang menghisap darah). Dia tinggal di Transylvania (kini sebahagian Romania) dan berumur beberapa ratus tahun. Pada waktu malam, dia bertukar menjadi kelawar besar dan terbang ke merata desa, menghisap darah dari leher mangsa-mangsanya yang sedang tidur. Dracula berpindah ke England dan menakutkan penduduk di situ pula. Akhirnya dia ditangkap pada waktu siang dan dibunuh. “Dracula’s Guest”, sebuah cerita pendek yang asalnya ialah satu bab daripada buku Dracula, tidak diterbitkan sehingga tahun 1937. Buku lain yang ditulis oleh Stoker termasuk The Mystery of the Sea (1902) dan Famous Imposters (1910). | UMUM | |
NILSSON, BIRGIT | Nilsson, Birgit (1918– ), penyanyi soprano Sweden yang terkenal. Dia terkenal kerana suaranya yang bertenaga dan jelas. Pengkritik menganggap Nilsson sebagai salah seorang penyanyi terbaik yang berperanan sebagai watak utama dalam opera Richard Wagner. Persembahannya sebagai pelakon wanita utama dalam opera Wagner, Isolde dan Brünnhilde menjadi ukuran pada masa itu. | UMUM | |
SMOLLETT, TOBIAS GEORGE | Smollett, Tobias George (1721–1771) ialah salah seorang penulis novel awal Inggeris yang hebat. Novelnya yang disampaikan secara tidak teratur menceritakan kisah lucu dan kadangkala lucah yang berlaku dalam kehidupan watak utama. Novelnya dibaca kerana watak ganjil, satira sosial yang getir, dan semangat lucunya yang meluas. | UMUM | |
PENGLIPUR LARA | PENGLIPUR LARA, nama umum untuk tukang cerita dalam tradisi lisan Melayu. Penglipur lara mendapat panggilan ini kerana cerita rakyat yang disampaikannya menghiburkan hati pendengar dan menghilangkan duka lara bukan sahaja bercerita tetapi melakonkan aksi watak-watak dalam ceritanya, mengajuk ucapan dialog dan bangun menari, bersilat, berjalan dan bergerak di pentas untuk menghidupkan ceritanya. Dia juga menggunakan topeng-topeng untuk menggambarkan lebih jelas rupa sesuatu watak, terutama watak utama dan watak jahat. Kadang-kadang penglipur lara menyarungkan pakaian seperti baju layang atau sesuatu jubah yang longgar dengan cepat di atas pentas bagi mengindahkan lagi penceritaannya. | SASTERA | Drama/Filem/Teater/Persembahan |
SHARIF, OMAR | Sharif, Omar (1932– ) ialah nama pentas bagi pelakon kelahiran Mesir. Dia menjadi bintang filem terkenal apabila filem yang dibintanginya, Lawrence of Arabia (1962) memenangi Academy Award. Dia mengukuhkan statusnya apabila melakonkan watak utama dalam filem Dr. Zhivago (1965). Kedua-dua filem ini dihasilkan oleh pengarah berketurunan British, David Lean. Pada mulanya, Omar Sharif melakonkan watak hero yang romantik, iaitu watak stereotaip yang sukar dielakkannya. Kemudian, dia melakonkan watak komedi ringan. Minat peribadinya adalah untuk menjadi pelakon bertaraf dunia. Omar Sharif lahir di Iskandariah. Nama sebenarnya ialah Michael Shalhoub. | UMUM | |