digital leadership | kepemimpinan digital | Pendidikan | Tiada | Keupayaan individu untuk mendorong dan mengetuai transformasi sekolah menerusi teknologi, mencipta dan mengekalkan budaya pembelajaran digital, menyokong pembangunan teknologi berasaskan profesional, membekalkan kepemimpinan dan pengurusan digital, serta memudahkan dan menguruskan isu sosial, etika dan perundangan. |
cooptation | pilih lantik | Sains Politik | Politik Perbandingan | Tindakan atau aksi melantik seseorang yang bukan daripada kalangan ahli organisasi untuk mengetuai sesuatu tugas atau jawatan. Tindakan ini dilakukan atas beberapa sebab antaranya bertujuan mengukuhkan kedudukan organisasi tersebut. Kooptasi ini dilakukan kerana pemimpin yang dipilih itu mempunyai pengaruh yang besar dan karisma yang tinggi serta dapat mengekang dan membendung saingan politik yang diwujudkan oleh individu tersebut terhadap organisasi itu. Selain itu, kooptasi juga bermatlamatkan untuk mengimbangi kuasa di kalangan kelompok yang bersaing dalam sesuatu arena dan dengan ini dapat melebarkan lagi kedudukan sesebuah organisasi dalam saingan tersebut. Contohnya, Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang dipilih lantik dalam UMNO pada tahun l98l. Sinonim kooptasi. |
cabinet | kabinet | Sains Politik | Politik Perbandingan | Badan eksekutif yang dianggotai oleh jemaah menteri yang dipilih dari kalangan ahli dewan perundangan. Anggota jemaah kabinet akan dipertanggungjawabkan untuk mengetuai portfolio atau kementerian tertentu. Kebiasaannya, ahli kabinet ini akan bermesyuarat satu atau dua minggu sekali dan dipengerusikan oleh perdana menteri dalam sistem demokrasi berparlimen atau oleh presiden dalam sistem demokrasi berpresiden. Pelantikan ahli jemaah kabinet dalam amalan demokrasi merupakan hak mutlak ketua kerajaan. Istilah ini berasal daripada perkataan Perancis yang membawa maksud bilik rahsia yang digunakan oleh Raja Perancis pada era sebelum revolusi untuk bermesyuarat dengan pegawai istana tertentu. Pegawai yang dipercayai oleh raja sahaja dipanggil untuk bermesyuarat kerana ia melibatkan rahsia negara. |
charismatic leadership | kepimpinan berkarisma | Sains Politik | Politik Perbandingan | Sifat kepimpinan luar biasa dan sangat istimewa yang dimiliki oleh pemimpin tertentu sama ada yang bersifat keagamaan atau politik dalam mengetuai masyarakat atau negara. Autoriti sesebuah organisasi atau masyarakat itu amat bergantung kepada sifat karisma tersebut. Pemimpin berkarisma akan memaksimumkan segala kebolehannya untuk mendapatkan sokongan dan perhatian masyarakat. Bagi masyarakat tradisi, kelahiran pemimpin ini amat penting sebagai pencetus kepada perubahan atau revolusi. Secara amnya, kepimpinan karismatik ini lahir dalam masyarakat yang memiliki kadar rasional yang masih rendah. Max Weber tokoh yang mengutarakan konsep kepimpinan ini menyatakan bahawa karisma seseorang pemimpin akan menjadi berkurangan mengikut tahap rasionalisasi masyarakat. Semakin tinggi tahap rasionalisasi masyarakat semakin kurang idola karisma seseorang pemimpin. Contohnya, pemimpin seperti Adolf Hitler, Lenin, Soekarno dan Mahatma Gandhi. |
kingship | pemerintahan beraja | Sains Politik | Politik Perbandingan | Kedudukan raja sebagai pemerintah yang berkuasa mutlak dalam sesebuah negara. Pemerintahan ini meletakkan raja sebagai sumber kuasa atau menguasai penggubalan undang-undang. Raja juga mengetuai pemerintahan atau badan kabinet dan memiliki sepenuh kuasa ke atas mahkamah atau badan yang mengadili undang-undang. Segala aspek pemerintahan seperti dasar ekonomi negara, perjalanan pentadbiran, kebebasan media, sistem pendidikan dan kewangan ditentukan oleh pihak istana. Penggantian kuasa dalam negara seperti ini melalui sistem keturunan atau warisan. Contohnya, negara Brunei Darussalam. |
investigator | penyelidik | Herba | Peraturan dan Pemasaran | Individu yang bertanggungjawab untuk menjalankan ujian klinikal di tapak ujian. Sekiranya ujian klinikal dijalankan secara berpasukan di tapak ujian, penyelidik ini bertindak sebagai penyelidik utama yang bertanggungjawab mengetuai pasukannya. |
decolonization | penyahjajahan | Sains Politik | Politik Perbandingan | Pengurangan kuasa dan penghakisan dominasi kuasa penjajah. Proses ini berlaku secara berperingkat-peringkat dan meliputi segenap aspek sosial, ekonomi dan politik. Dalam konteks politik, proses ini dapat dilihat apabila pihak penjajah mula memberi peluang dan melatih anak tempatan dalam bidang pentadbiran serta melantik mereka untuk mengetuai jabatan atau memikul tanggungjawab tertentu dalam penggubalan dasar. Dalam konteks sosial pula, dasar sosial yang dahulunya berasaskan kepada nilai penjajah digantikan dengan nilai tempatan. Demikian juga halnya dalam aspek ekonomi, kuasa ekonomi tempatan secara berperingkat mengambil alih pengurusan dan ekuiti modal ekonomi yang dahulunya dikuasai penjajah. Contohnya, pemerintah Malaysia selepas mencapai kemerdekaan melakukan penyahjajahan dalam segenap aspek politik, ekonomi dan sosial bagi mengurangkan dominasi British di negara ini. |
armchair theory | teori kerusi empuk | Sains Politik | Politik Perbandingan | Teori dalam bidang ilmu sains sosial yang dihasilkan tanpa kajian yang saintifik. Teori ini dihasilkan melalui pengamatan pemikiran dan imaginasi idealisme seseorang tokoh terhadap sesuatu fenomena yang diperhatikannya. Teori ini digarap tanpa kajian empirikal lapangan dan hanya berasaskan penaakulan dan logik akal peribadi. Contohnya teori Plato berhubung dengan persoalan pemerintahan, menyatakan bahawa golongan cendekiawan sahaja layak memegang dan mengetuai urusan pemerintahan negara. Premis tersebut dihasilkan tanpa proses penaakulan ilmiah yang saintifik, tanpa hipotesis khusus yang diuji, tidak ada pertimbangan deduksi dan metodologi yang teratur. Teori-teori yang dikemukakan oleh ahli falsafah seperti Plato, Socrates, Aristotle dan lain-lain yang sezaman dengannya, lazim dikategorikan sebagai teori kerusi empuk. Teori-teori sains sosial yang lahir selepas kemunculan aliran pemikiran positivisme barulah dikategorikan sebagai teori sains sosial yang bersifat saintifik. |
praetor | praetoria | Sains Politik | Politik Perbandingan | Jawatan yang wujud pada zaman Rom (300- 242 SM) sebagai anggota lembaga pemerintah yang kemudiannya berperanan seperti majistret mahkamah. Jawatan ini berkembang menjadi dua praetor iaitu praetor bandar yang mengadili konflik antara penduduk-penduduk bandar dan praetor peregrinus iaitu praetor yang menguruskan konflik antara penghijrah atau orang luar yang berada di bandar tersebut. Praetor bandar ini kadangkala memangku jawatan praetor peregrinus apabila praetor tersebut terpaksa mengetuai tentera ke medan perang. Walaupun menguruskan tugas pengadilan di mahkamah, praetor ini turut berperanan menguruskan permainan awam. |