Ensiklopedia

TajukSinopsisBidangKlasifikasi
S.O.K. UBAIDULLAH, TAN SRI

S.O.K. Ubaidullah, Tan Sri (1918- ) ialah

tokoh Maal Hijrah 1989 dan Pengerusi Tetap

Malaysian Indian Congress (MIC) semenjak 1

Januari 1994. Dia juga dikenali sebagai ahli

perniagaan, pendakwah, dermawan, penulis, ahli

akademik, dan ahli politik. S.O.K. Ubaidullah

berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1938

sewaktu berusia 20 tahun. Ketika itu

dia baru sahaja menamatkan pengajian di

Universiti Madras, India. Dia bekerja dengan abang

iparnya dari tahun 1939 hingga tahun 1949.

Keluarganya tinggal di Sungai Ujong, Negeri

Sembilan (kini kawasan tersebut dikenali sebagai

Seremban), dan mengambil kontrak memberi

perkhidmatan lampu pada waktu malam di bandar

tersebut. Kemudian pada penghujung tahun 1949,

dia berpindah ke Kuala Lumpur dan membuka

cawangan perniagaan keluarganya di bandar

tersebut dan memberi perkhidmatan yang sama di

sepanjang Jalan Tun Perak (dahulu dikenali sebagai

Jalan Mountbatten dan sebelumnya dikenali

sebagai Java Street).

UMUM 
MEMORI

Memori ialah kebolehan untuk mengingat

sesuatu yang sudah dipelajari atau yang pernah

dialami. Memori merupakan bahagian penting

dalam proses pembelajaran. Jika kita tidak

mengingati langsung tentang masa lampau, maka

kita tidak akan dapat mempelajari sesuatu yang

baru. Semua pengalaman kita akan hilang sebaik

sahaja pengalaman tersebut berakhir dan setiap

keadaan baru betul-betul merupakan suatu perkara

yang asing. Tanpa memori kita akan mengalami

pengalaman yang sama berulang kali untuk

“pertama kalinya”. Kita juga akan kehilangan

nikmat yang diberikan oleh memori kepada

kehidupan – nikmat kenangan yang indah di

samping kenangan yang menyedihkan.

UMUM 
NABI DAN RASUL

Nabi dan rasul ialah orang lelaki daripada

kalangan manusia yang dipilih oleh Allah SWT

dan diturunkan wahyu kepada mereka. Perbezaan

antara nabi dan rasul ialah: Allah SWT

membangkitkan para nabi dengan membawa

syariat baru atau syariat lama, dan menyuruh

mereka beramal dengannya untuk menjadi ikutan

kepada orang lain. Contohnya, banyak nabi di

kalangan Bani Israel, tetapi mereka tidak

diperintahkan berdakwah kepada seluruh manusia,

kerana setiap nabi itu diutuskan kepada kaumnya

sahaja. Manakala para rasul pula dipilih oleh Allah

SWT dan diwahyukan syariat kepada mereka serta

disuruh menyampaikannya kepada seluruh

manusia. Allah SWT menurunkan kitab kepada

Nabi Muhammad SAW., iaitu al-Qur’an. Manakala

Nabi Isa a.s. telah berdakwah untuk beberapa

ketika dengan menyeru kepada ajaran Taurat,

kemudian Allah SWT menurunkan kepadanya

kitab Injil, lalu dia pun menyeru kepada ajaran Injil.

Dengan keterangan di atas, nyatalah bahawa

gelaran rasul lebih umum daripada gelaran nabi,

kerana rasul juga adalah nabi sedangkan nabi

mungkin tidak menjadi rasul.

UMUM 
SEVEN SLEEPERS OF EPHESUS

Seven Sleepers of Ephesus , menurut legenda

purba, ialah tujuh remaja beragama Kristian yang

telah melarikan diri ke kawasan pergunungan

berhampiran Ephesus di Asia Kecil, untuk

menyelamatkan diri daripada penganiayaan oleh

Maharaja Decius pada tahun 251 M. Orang yang

mengejar mereka telah menemui tempat

persembunyian mereka dan menyekat jalan masuk

ke situ. Dua ratus tahun kemudian, seorang

penggembala terserempak dengan gua tersebut

dan menemui ketujuh-tujuh remaja tersebut

sedang nyenyak tidur. Apabila dia

mengejutkannya, mereka mengatakan bahawa

mereka baru tidur  satu malam sahaja. Salah

seorang daripada mereka pergi ke Ephesus untuk

mencari makanan dan membayar dengan

menggunakan duit syiling yang berusia 200 tahun.

Remaja itu telah ditangkap kerana disyaki sebagai

pencuri harta karun. Walau bagaimanapun,

Maharaja Theodosius II percaya bahawa satu

keajaiban telah berlaku dan membawa remaja itu

dalam satu perarakan besar-besaran ke gua

tersebut. Kemudian, dia membina sebuah gereja

dan kawasan perkuburan yang besar di situ

sebagai memperingati peristiwa itu. Ketujuh-tujuh

lelaki itu hidup tidak lama. Kesemuanya meninggal

dunia pada masa yang sama dan dikebumikan di

tempat mereka pernah tidur.

UMUM 

Kembali ke atas