Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[me.ri.sau.kan] | مريساوکن

Definisi : 1. mengacau (keamanan, ke­tenangan, dll), mengganggu (ketenteraman); 2. menyebabkan risau, mengacaukan (hati), mencemaskan, menggelisahkan, merusuhkan (hati, fikiran): beberapa kejadian yg ~ hati; ia semakin ~ orang-orang yg mendengar kata-katanya; 3. berasa risau (cemas, gelisah) tentang sesuatu: apa yg dirisaukan tentang perkara ini. Saya boleh bereskan; dia tidak bimbang dan tidak pula ~ masa depan; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[me.ri.sau.kan] | مريساوکن

Definisi : 1 menimbulkan rasa risau; menyusahkan hati; menggelisahkan: Kematian bapanya secara mengejut itu ~nya. 2 berasa risau akan (ttg) sesuatu: Apakah yg dirisaukan? (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
risau (adjektif)
Bersinonim dengan bimbang, runsing, khuatir, gelisah, resah, cemas, cuak, rimas, saru, susah hati, gelabah, rusuh hati, pusang hati, bingung, buncah, kacau;,
Kata Terbitan : merisaukan, kerisauan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam sejatera. Saya medapati ramai guru sering menegaskan bahawa perkataan yang indah dan klasik tidak patut digunakan dalam PMR atau SPM tetapi saya berpendapat bahawa pelajar perlu dipupuk untuk mempelajari dan mencintai bahasa melayu demi memartabatkan bahasa kebangsaan kita bukan merisaukan tanggapan pemeriksa semata-mata . Jika pelajar tidak dapat meggunakan perkataan bahasa melayu yang berkualiti dalam peperiksaan, mereka tidak dapat menggunakannya lagi selepas alam persekolahan. Rentetan daripada itu, banyak perkataan bahasa melayu tidak akan dikenali oleh rakyat kita sendiri dalam dunia yang semakin meminggirkan tradisi. Pelajar sering dimomokkan dengan tanggapan pemeriksa yang tidak gemar melihat perkataan indah atau klasik justeru menyebabkan mereka tidak ingin mempelajari perkataan baru dan berpuas hati dengan ilmu yang dimiliki. Jika setiap pelajar perlu menjadikan kamus dbp sebagai rujukan utama, apa salanya jika menggunakan perkataan yang terdapat dalam kamus yang menjadi akar tunjang kepada bahasa melayu? Jika benar perkataan sedemikian tidak wajar digunakan, mengapakah perkataan ini wujud dalam kamus? Jika perkataan bombastik tidak sesuai dalam karangan peperiksaan, bilakah perkataan-perkataan ini sesuai digunakan? Tujuan saya bukan untuk berperang pena tetapi sebagai anak malaysia yang bertanggungjawab saya agak risau akan situasi ini. Saya berharap pihak dbp dapat memberi penjelasan. Sekian. Bahasa Jiwa Bangsa

Penulisan yang baik lazimnya terletak pada kekuatan wacana yang dikupas dan diolah dengan baik, disokong dengan pembentukan ayat yang berkesan melalui kosa kata yang tepat dan indah. Kekuatan kosa kata yang baru atau melankolik tidak menjamin penulisan yang baik.

Istilah17.08.2010
Pengesahan kata pemeri Bolehkan saya sahkan sama ada latihan bertajuk Palam Pemasa pada minit ke-8 adalah betul. Saya keliru kerana jawapan yang betul menurut cikgu dalam youtube (https://www.youtube.com/watch?v=Esw5tDq2cEA) ini ialah: "Cuti sekolah adalah saat yang saya nantikan" (kenapa bukan adalah? Perkataan yang selepas ialah ialah 'saat' iaitu kata nama) "Namun, perkara yang merisaukan ayah adalah keselamatan rumah kami" (kenapa bukan ialah? bukankah keselamatan sudah menjadi kata nama?) Mohon pencerahan. Terima kasih. Salam Ramadan, MaizuraSalam sejahtera,

Kata pemeri "ialah" menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala "adalah"  menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh penggunaan "ialah" i. Anak ialah anugerah Allah ii. Sepak takraw ialah sukan yang elok dipertandingkan. Contoh penggunaan "adalah" i. Kursus ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta. ii. Kerja pembaikan lif dijangka siap adalah pada minggu hadapan. (untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, hal. 263). Kedua-dua kata pemeri (ialah dan adalah) tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja.

Merujuk pertanyaan puan, kata pemeri ialah merupakan kata yang tepat untuk kedua-dua soalan tersebut.

Sekian, terima kasih.

Layari prprm.dbp.gov.my untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.
Tatabahasa20.05.2020
Assalamu alaykum wa rahmatullahi wa barakatuh dan selamat sejahtera kepada pihak PRPM yang dikasihi Allah. Saya ada sedikit kerisauan yang saya ingin utarakan mengenai ejaan satu perkataan yang saya jumpai baru-baru ini di sebuah page facebook yang bernama SAYS SEISMIK yang menyatakan mengenai perkataan harian yang sering kita gunakan dengan ejaan yang salah. Page tersebut mengatakan ianya adalah bersumberkan dari pihak DBP. Perkataan yang merisaukan saya ialah perkataan 'sunah". Menurut kefahaman saya ianya adalah perkataan yang dipinjam dari bahasa arab. Kita akan menjumpai kesemua terjemahan kitab-kitab muktabar akan menggunakan ejaan 'sunnah' dengan dua huruf 'n'. Ini adalah kerana didalam bahasa arab ada syaddah pada huruf nun ن menjadikan transliterasinya menjadi 'sunnah' dan bukannya 'sunah' sebagaimana yang disarankan oleh pihak PRPM. Saya berharap agar pihak DBP dapat memberi penjelasan dan penyelesaian dalam permasalahan ejaan ini agar sama-sama dapat kita mengambil manfaat dari perbincangan ini. Terima kasih atas masa pihak tuan/puan.Peminjaman kata daripada bahasa Arab disesuaikan ejaannya dalam bahasa Melayu. Penggunaan tasydid dalam bahasa Arab tidak dilambangkan hurufnya dalam bahasa Melayu, seperti ejaan sunah. Penggunaan ejaan ini boleh disemak melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. Pelbagai bentuk ejaan yang ditemukan dalam media sosial, namun sebagai pengguna yang bertanggungjawab kita boleh memainkan peranan dengan menggunakan dan meuar-uarkan ejaan yang betul. Walaupun media sosal atas nama peribadi bukanlah wadah rasmi yang perlu kita berbahasa dengan baik dan betul, sekurang-kurangnya kita dapat memainkan peranan kecil untuk kesan yang lebih besar kepada usaha mempromosikan penggunaan bahasa yang baik dan betul.Ejaan09.10.2017
Sebagai seorang guru bahasa, saya dapati sebilangan besar pelajar kini kurang menguasai peribahasa dan gagal memanfaatkan penggunaan peribahasa dalam penulisan karangan. Saya berharap agar pihak tuan dapat menunjukkan beberapa contoh terbaik tentang cara memanfaatkan peribahasa dalam penulisan.Encik Mohamad Tawpik, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. saya akui sejak akhir-akhir ini penggunaan peribahasa baik dalam penulisan atau penggunaan seharian dalam kalangan pelajar memang merisaukan kita, kerana seolah-olah mereka tidak terdedah dengan apa sebenarnya peribahasa dan bila dan masa yang sesuai digunakan. Untuk memberikan contoh rasanya saya tidak dapat berikan. Yang boleh saya cadangkan,kerana kami terpaksa menjawab soalan ini dalam tempoh 24 jam, cuba dapatkan buku tentang peribahasa dan ambil satu dua daripadanya untuk dijadikan tajuk perbincagan dan seterusnya dijadikan sebagai tajuk penulisan. Terima kasih.Tatabahasa21.02.2009

Kembali ke atas