Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[se.o.lah.o.lah] | سا ءوله-اوله

Definisi : seakan-akan, selaku, seperti: me­langkah indah, ringan, cepat ~ tak ber­pijak di lantai; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[se.o.lah.o.lah] | سا ءوله-اوله

Definisi : seakan-akan: Beliau melangkah ~ tidak berpijak di lantai. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
olah1 (kata nama)
1. Bersinonim dengan canda: tingkah, ragam, kerenah, laku, fiil, perangai, gelagat,

2. Bersinonim dengan akal: muslihat, helah, dalih, tipu daya, kelentong, putar-belit, auta, temberang,

Kata Terbitan : seolah-olah, berolah, memperolahkan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Saya ingin bertanya tentang penggunaan perkataan "seolah-olah." Adakah kita perlu tambah atau tidak perkataan "seperti" selepas "seolah-olah"? Contohnya. 1) Dia berlagak seolah-olah seperti orang kaya. 2) Dia berlagak seolah-olah orang kaya. Yang mana satu betul? Ada seperti atau tanpa seperti?Seolah-olah bermaksud seakan-akan, selaku, seperti. Oleh itu, tidak perlu ada pengulangan perkataan "seperti" selepas perkataan "seolah-olah". 

Jawapan yang betul ialah "Dia berlagak seolah-olah orang kaya."
Lain-lain09.09.2020
Adakah perkataan -nya boleh digabungkan dengan perkataan "seolah-olah"? Contoh ayat: Kalau kamu berkata begitu, seolah-olahnya kamu menuduh saya mencuri. Pada pendapat saya, dalam contoh ayat di atas, perkataan -nya itu adalah tidak diperlukan untuk menyampaikan maksud ayat kerana jika digugurkan perkataan -nya dalam ayat itu, ia masih menyampaikan maksud yang sama. Kalau kamu berkata begitu, SEOLAH-OLAH kamu menuduh saya mencuri. Untuk itu saya berpendapat perkataan seolah-olah tidak perlu sama sekali disertakan dengan -nya dalam mana-mana keadaan jua. Ia menjadi perkataan yang lewah dan berlebihan. Ia juga tidak menjadikan perkataan seolah-olah sebagai penegasan. Adakah betul pendapat saya?Antara fungsi -nya ialah sebagai kata tugas, iaitu penegas dalam ayat seperti dalam contoh ayat yang tuan berikan. Kata -nya perlu hadir untuk melengkapkan ayat tersebut. Untuk lebih jelas sila lihat contoh yang lain seperti sesungguhnya pemuda itu telah difitnah sebelum ini.Tatabahasa29.05.2020
Adakah betul penggunaan gamat di dalam ayat ini? Gamatlah bunyinya bahana seolah-olah ........
Gamat bermaksud bising dan riuh rendah. Frasa yang dikemukakan kurang gramatis. Sila rujuk kamus untuk makna setiap perkataan bagi membentuk ayat yang lebih gramatis.
Makna18.11.2020
Salam sejahtera Tuan, Macam mana untuk merujuk kepada lagu atau bunyi yang seolah-olah masih kedengaran sungguhpun nyanyi itu sudah habis? Adakah 'baki lagu' itu sesuai digunakan untuk merujuk kepada keadaan sedemikian? Sekian, terima kasih.Untuk makluman tuan, dalam data kami tiada maklumat mengenai baki lagu. Frasa yang boleh digunakan ialah penghujung lagu.Tatabahasa24.09.2013
Saya meminta maaf kerana keliru akan keterangan yang encik berikan. Keterangan encik seolah-olah tiada wujud perbezaan antara perkataan 'bertanyakan' & "menanyakan'. Setakat yang saya maklum, 'bertanyakan' ialah kata kerja intransitif yang diikuti oleh sesuatu yang ditanya. Contohnya, Saya bertanyakan keadaan kesihatan ibunya. Kata 'bertanya' perlu diikuti oleh kata sendi. Contohnya, Saya bertanya tentang keadaan kesihatan ibunya. Manakala kata 'menanyakan' ialah kata kerja transitif yang diikuti oleh kata ganti nama atau kata nama orang yang ditanya. Contohnya, Saya menanyakan dia tentang keadaan kesihatan ibunya. Kata 'menanya' perlu diikuti oleh kata sendi. Contohnya, Saya menanya kepada dia tentang keadaan kesihatan ibunya. Adakah pemahaman saya di atas betul dari segi rumus bahasa Malaysia? Harap pihak encik dapat memberikan jawapan yang konkrit tentang soalan ini. Terima kasih.Pendapat saudara memang benar. Dalam halaman 194 dan 200, buku Tatabahasa Dewan menjelaskan bahawa kata kerja yang terhasil dengan apitan meN-...-kan ialah kata kerja transitif dan kata kerja yang terbentuk melalui beR-...-an ialah kata kerja tak transitif. Jawapan kami sebelum ini merujuk data daripada kamus.Tatabahasa25.06.2012
apakah perbezaan bagi 'pertindanan makna' dan 'kelewahan bahasa' kerana kedua- duanya kelihatan seolah- olah mempunyai konsep yang sama.

Tidak ada data yang berkaitan dengan frasa tersebut dalam sumber rujukan kami. Pertindanan lazimnya dikaitkan dengan keadaan mencakupi bahagian-bahagian tertentu yang sama, manakala kelewahan ialah hal (keadaan) yang berlebih-lebihan. Berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal, dsb yg tidak perlu (misalnya perkataan yang digunakan dlm ayat). Melihat kepada makna kata sebahagian daripada frasa tersebut, terdapat perbezaan antara kedua-duanya.

Tatabahasa15.12.2011
Saya ingin mengemukakan satu soalan mengenai penyalahgunaan bahasa melayu masa kini.Bahasa Melayu seolah-olah mengalami keracunan dan bolehkah anda senaraikan penyalahgunaan bahasa melayu dan huraikan dengan lebih lanjut tentang permasalahan ini.Sekian Terima Kasih.Penyalahgunaan bahasa Melayu berlaku apabila masyarakat pengguna bahasa Melayu tidak menggunakan bahasa Melayu mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu yang sedia ada. Penyalahgunaan bahasa Melayu berlaku dalam aspek ejaan, pemilihan kata, tatabahasa, sebutan dan juga penggunaan bahasa rojak, iaitu mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Saudara boleh melayari Laman DBP di bawah Pusat Dokumentasi Bahasa Melayu  untuk mendapatkan makalah atau rencana tentang perkara ini. yang diterbitkan di dalam majalah seperti Pelita Bahasa atau Jurnal Bahasa.  Lain-lain06.03.2008
saya sering tertanya-tanya kenapa bahasa kita,Bahasa Malaysia selalu berubah-ubah dari masa ke semasa,seolah-olah tiada satu pendirian sebagaimana Bahasa Inggeris.sebagai contoh ejaan, kalau dulu dari ejaan lama ke ejaan baru,kemudian kembali ke ejaasn baeu semula.satu lagi contoh yang paling senang ialah penggunaan 'Bahasa Malaysia' dan 'Bahasa Melayu'.dulu pernah digunakan Bahasa Malaysia,ditukar kepada Bahasa Melayu, kemudian diguna kembali Bahsa Malaysia.? ini memberi kesan terutamanya para pelajar yang mungkin akan ketinggalan dengan perubahan terkini bahasa kita.mungkin pihak DBP boleh jelaskan dan mungkin juga dapatkan satu jalan penyelesaian.terima kasih

Bahasa Melayu sebagai bahasa moden sentiasa berkembang dan menerima tempias dengan persekitaran luar terutamanya kemajuan sains dan teknologi yang memungkinkan bermacam-macam. Selagi bahasa Melayu itu hidup dan berkembang sedikit sebanyak akan mengalami perubahan sama juga seperti bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa moden yang lain. Perubahan itu datangnya daripada pelbagai faktor termasuklah faktor politik. Kerajaan mengumumkan penggunaan iatilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia atas alasan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di Malaysia, tetapi pada dasarnya bahasa Melayu tetap digunakan untuk tujuan ilmu dan peradaban.

Lain-lain28.10.2009
Dua orang wanita itu dipanggil untuk mengecam/mengecamkan penjenayah yang merompak mereka. mengecam dalam kamus dewan seolah-olah ada maksud yang sama?Ayat yang betul dari segi tatabahasa ialah Dua orang wanita itu dipanggil untuk mengecamkan penjenayah yang merompak mereka. Perkataan mengecam dalam Kamus Dewan membawa maksud yang sama. Tatabahasa02.07.2008
Program pengindahan Sungai Klang dan Sungai Gombak anjuran Jabatan Parit dan Saliran yang diberi nama "River of Live" seolah-olah satu lagi usaha menidakkan kepentingan bahasa Melayu. Paling mengecewakan, ia turut berlaku di jabatan kerajaan. Bagaimana harus DBP bertindak?Kami berterima kasih kepada tuan atas maklumat yang disampaikan. DBP akan memantau penggunaan bahasa yang digunakan dalam paparan awam termasuklah kempen kerajaan. DBP akan menghantar surat teguran kepada pihak berkenaan kerana DBP tidak ada kuasa menghukum pihak yang melakukan kesalahan atau tidak memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaa.Lain-lain24.05.2012
123456789

Kembali ke atas