maksud perkataa "folklore" dalam bahasa malayu | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, folklore ialah budaya rakyat. | Istilah | 09.06.2009 |
apakah Sastera Rakyat tulung jawabkan | Sastera rakyat atau sastera lisan ialah sastera yang bukan bercorak tulisan. Hasil sastera ini tersebar dari mulut ke mulut dan diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi. Sastera lisan berkembang dalam masyarakat yang mempunyai kebudayaan pinggiran yang bertamadun. Sastera rakyat adalah sebahagian daripada budaya rakyat (folklore) yang merangkum semua aspek kehidupan sesuatu masyarakat. Sastera rakyat mempunyai beberapa cirinya yang tersendiri, iaitu: i) Sastera itu diucapkan melalui perantaraan mulut. ii) Sastera rakyat itu lahir dalam masyarakat yang belum mencapai taraf kehidupan yang maju atau bercorak bandaran. iii) Sifat sastera rakyat itu menggambarkan ciri-ciri budaya satu-satu kumpulan masyarakat. iv) Hasul sastera rakyat itu dianggap sebagai milik masyarakat tanpa diketahui siapa pengarangnya. v) Sastera rakyat tidak mementingkan fakta dan kebenaran. Antara yang termasuk dalam sastera rakyat ialah seperti: a) Cerita hantu atau makhluk halus seperti hantu Pocong b) Cerita binatang seperti cerita Sang Kancil c) Cerita jenaka seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Si Luncai. d) Cerita Lipur Lara seperti Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Malim Deman, Hikayat Terung Pipit, Hikayat Raja Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal. | Lain-lain | 01.09.2009 |
definisi budaya berpasangan | Merujuk Kamus Dewan, budaya ialah 1. tamadun, peradaban: ~ Islam; 2. kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan, dsb): ~ kuning; 3. bersifat budaya, yg mengenai kebudayaan, (yg) sudah maju (akal budi): antropologi ~; ~ kuning budaya Barat yg dianggap mempunyai unsur-unsur buruk atau negatif; ~ rakyat cerita, adat, pakaian, tingkah laku dsb yg diwarisi oleh sesuatu masyarakat atau bangsa; Berpasangan pula ialah 1. merupakan pasangan kpd: gelas ini ~ dgn yg itu; 2. = berpasang-pasangan berpasang, berdua-dua (sepasang-sepasang): para tamu sama ~ mengikuti irama muzik. Walau bagaimanapun,budaya tersebut boleh didefinasikan mengikut konteks yang bersesuaian. | Lain-lain | 01.09.2010 |
Saya sedang menjalankan satu projek pengumpulan cerita-cerita rakyat tempatan/peribumi Sabah dan SARAWAK dengan bantuan pelajar-pelajar saya. Kami akan menganjurkan Malam Senandong Bahasa, Sastera dan Budaya Peribumi pada 10.10.2010 dan Program Sehati Sejiwa 1Malaysia pada 20.10.2010. Adakah pihak DBP sudi membantu terutama dari segi kewangan serta membukukan cerita-cerita dan puisi rakyat yang kami kumpulkan sebagai koleksi warisan bangsa? | Sdr. yang dihormati, Pertamanya diucapkan tahniah dan syabas kepada sdr. kerana merancang dan berusaha untuk melaksanakan projek pengumpulan cerita-cerita rakyat Sabah dan Sarawak dan menganjurkan Malam Senandung Bahasa, Sastera dan Budaya Peribumi. Berhubung dengan bantuan kewangan dari DBP yang sdr. maksudkan maka sdr. tulislah surat dan diajukan surat tersebut kepada Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sekiranya cerita-cerita rakyat dan puisi rakyat yang dikumpul sudah lengkap( sebagai sebuah manuskrip) dengan kajian, kata pengantar dan bibliografinya maka bolehlah dihantar kepada Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. | Lain-lain | 02.10.2010 |
Meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi serta 1 Malaysia di kalangan rakyat Malaysia ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat. | Saudara, Tiada soalan dikemukakan. Sila jelaskan kemusykilan saudara. | Lain-lain | 09.11.2010 |
Sejauh manakah bahasa melambangkan bangsa?Bincangkan tajuk ini dari aspek budaya,identiti,jati diri,perpaduan dan penyatuan rakyat untuk negara kita. | Keterampilan seseorang apabila berbahasa menunjukkan asal keturunannya,jika baik, baiklah bangsanya, jika tidak, sebaliknya. Untuk maklumat lanjut dan terperinci tentang tajuk yang diberi sila rujuk buku/makalah yang berkaitan. | Lain-lain | 11.12.2008 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera pihak DBP. Saya ingin memohon pertolongan pihak DBP untuk mengenal pasti ayat yang mana satu betul dan tidak mempunyai sebarang kesalahan tatabahasa. Ayat Pertama: Pengetahuan ini penting untuk memupuk semangat persefahaman dan kesalingan serta sikap hormat-menghormati di kalangan rakyat pelbagai agama, ras dan budaya. Ayat Kedua: Pengetahuan ini penting untuk memupuk semangat persefahaman dan kesalingan serta sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai agama, ras dan budaya. Jasa baik pihak DBP didahului dengan ucapan terima kasih daun keladi. Sekian, wassalam. | Ayat yang betul ialah Pengetahuan ini penting untuk memupuk persefahaman dan hormat-menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai agama, ras dan budaya. | Tatabahasa | 16.01.2012 |
Bolehkah anda terangkan maksud maksud pantun-pantun berikut? Petang hari pergi ke pekan, Pulang membawa sebungkus laksa; Hidup muhibah perlu diamalkan, Di negara Malaysia berbilang bangsa. Cantik bergugus buah papaya, Masak dipetik satu per satu; Walaupun berlainan bangsa budaya, Kerana muhibah hidup bersatu. Air mengalir dalam terusan, Mengairi sawah beratus relung; Bekerjasama segala urusan, Tanda bersatu bergotong-royong. Tuan Puteri dari kayangan, Senyuman manis seperti madu; Bermacam keturunan bukan halangan, Untuk membina bangsa yang padu. Enak nian air kelapa, Penawar sakit mujarab sekali; Kebudayaan asal tidak dilupa, Kebudayaan nasional mereka banggai. | Untuk makluman saudara, kelima-lima rangkap pantun yang diajukan secara umumnya membawa persoalan tentang semangat muhibah yang perlu diamalkan oleh rakyat Malaysia. Muhibah yang bermaksud hubungan mesra pelbagai kaum dapat diwujudkan dengan perbagai cara, antaranya melalui aktiviti bergotong-royong, bersukan dan menghadiri perayaan-perayaan kaum di Malaysia. Semangat setia kawan , persefahaman dan kerjasama akan terbentuk melalui aktiviti tersebut dan secara tidak langsung perpaduan kaum juga akan dapat dicapai. Disamping itu, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah saling hormati menghormati pelbagai budaya dari pelbagai kaum yang ada di negara ini disamping merasa bangga dengan kebudayaan nasional. Walau bagaimanapun memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini adalah penting untuk pembangunan negara. Sekian. | Lain-lain | 13.12.2010 |
1) Sesungguhnya, dasar dan sistem pendidikan dapat dianggap sebagai satu daripada alat terpenting dan berkesan untuk menyemai dan memupuk semangat kebangsaan dan kecintaan terhadap bangsa dan negara, "membina" jati diri dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya di negara ini. 2)Bahasa Melayu telah membuktikan keupayaan dan kejayaannya sebagai wahana untuk "membina" kehidupan nasional dan negara yang moden dan maju. 3)Dalam zaman pembinaan negara, misi raksasa pemimpin dan rakyat adalah untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan "membinanya" sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa persekolahan dan bahasa budaya tinggi yang mampu mendukung pengucapan struktur pemikiran moden dan canggih, selain sebagai bahasa supraetnik yang mengatasi garis ras untuk menyatukan pelbagai kaum di negara ini. adakah membina merupakan kata kerja transitif aktif dalam ketiga-tiga ayat di atas? | Perkataan membina dalam ketiga-tiga ayat tersebut ialah kata kerja aktif transitif yang memerlukan objek untuk melengkapkan maksudnya. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 157. | Tatabahasa | 24.03.2012 |
ASSLAMUALAIKUM. Saya ingin bertanya tentang kesantunan berbahasa tonggak tamadun bangsa.Soalan saya. 1.Bagaimanakah cara kita untuk mengatasi masalah kepincangan berbahasa serta adat kesopanan dan kesantunan berbahasa di kalangan masyarakat kini? 2.Sejauh manakah pentingnya pelestarian bahasa melayu penting dari sudup taraf,fungsi dan peranannya dalam komunikasi? 3.Adakah bahasa dan budaya melambangkan ketamadunan sesebuah masyarakat.Bagaimana? | Dalam menjawab soalan yang diberikan, pihak kami hanya memberikan pandangan umum sahaja. (i). Usaha untuk mengatasi masalah kesantunan berbahasa perlu dimulakan dari peringkat awal pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Asas yang kuat dapat meneguhkan penggunaan bahasa Melayu dalam apa jua keadaan. (ii). Pelestarian bahasa Melayu dalam komunikasi sosial dan keilmuan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Setiap rakyat seharusnya mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu dalam apa jua bidang. (iii). Bahasa dan budaya sememangnya melambangkan ketamadunan masyarakat. Slogan Bahasa Jiwa bangsa menggambarkan bahawa bahasa menjadi nadi bagi sesebuah bangsa; hilang bahasa, hilanglah bangsa. | Makna | 17.01.2008 |