| Salam tuan,harap tuan boleh menjawab soalan berkenaan "ialah" dan "adalah". Hobi saya ialah membaca buku. Adakah "ialah" betul? Adakah "membaca buku" ialah frasa kata kerja? Mohon pencerahan tuan untuk kedua-dua soalan di atas. | “Ialah” dan “adalah” merupakan kata pemeri. Penggunaan kata pemeri “ialah” hadir di hadapan frasa nama. Kata pemeri “adalah” pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. “Membaca buku” merupakan frasa kerja. Namun demikian, kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja. Oleh itu, ayat yang betul ialah “Hobi saya membaca buku.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 89, 90, 263, 264 dan 385. | Tatabahasa | 29.08.2024 |
| adakah kata pemeri "ialah" sesuai digunakan bagi pernyataan tersebut?" Hobi saya ialah memancing ." | Penggunaan kata pemeri “ialah” dalam ayat “Hobi saya ialah memancing." betul dan boleh digunakan. Kata pemeri “ialah” digunakan untuk menghubungkan frasa nama dengan frasa nama atau kata benda dalam ayat. Ayat tersebut juga boleh hadir tanpa kata pemeri “ialah”, contohnya “Hobi saya memancing.”. Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan penggunaan kata pemeri “ialah“, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 263. | Tatabahasa | 22.04.2025 |
| Jika "nya" ialah kata ganti nama diri ke-3, apakah fungsi "nya" dalam ayat "Keterangan alat ialah unsur yang menerangkan perkakas atau benda yang digunakan yang bentukNYA terdiri daripada frasa sendi nama. Kata sendi namaNYA ialah dengan". Ayat ini dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi ke-3. | Kata ganti nama diri orang ketiga –nya digunakan untuk merujuk manusia. Selain itu, dalam bahasa Melayu terdapat satu bentuk pascakata yang hadir selepas perkataan. Bentuk itu ialah –nya yang berfungsi sebagai penekan atau pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Oleh itu, fungsi –nya dalam ayat pertama ialah kata penekan dan ayat kedua ialah kata pembenda. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2013), halaman 104 dan 295-296. | Tatabahasa | 06.12.2025 |
| Mohon pencerahan beda perkataan KUIS, KAIS, KAIT dan KAIH. Mohon juga contoh ayat untuk membedakannya. Terima kasih. | Kais atau mengais mempunyai tiga makna, iaitu: 1. mencakar dan menggaruk (tanah, pasir dan sebagainya) seperti ayam yang mencari makan 2. mencari (rezeki) dengan susah payah Kaih ialah ialah versi dialek (tidak baku) untuk kata baku kais. Kuis atau menguis mempunyai dua makna, iaitu: 1. menolak, menepis, atau menyepak sesuatu ke tepi atau ke tempat lain 2. mencakar atau menggaruk (sampah, tanah dan lain-lain) seperti ayam untuk mencari makanan Kait mempunyai empat makna, iaitu: 1. besi, kayu dan sebagainya yang bercangkuk di hujungnya dan dipasang pada buluh dan sebagainya untuk memetik buah-buahan dan sebagainya 2. sesuatu yang terselindung dan menyusahkan 3. berkaitan dengan kait 4. lihat makna mengait Mengait mempunyai empat makna, iaitu: 1. memetik sesuatu dengan kait 2. menarik atau mencangkuk sesuatu dengan sesuatu yang seperti kait 3. menjalinkan benang dengan jarum kait untuk membuat (renda, baju panas dan sebagainya) 4. mengambil (keuntungan dan lain-lain) dengan cara tidak halal Untuk maklumat lebih lanjut, silalah dapatkan Kamus Dewan Perdana (2020) di kedai-kedai buku DBP atau melalui portal DBPNiaga.my | Makna | 07.12.2025 |
| 1. Adakah penggunaan kata pemeri boleh digandingkan dengan kata tugas (kata bantu)? Contoh: Kelebihan sukan ini ialah/adalah dapat menyihatkan tubuh badan. Yang manakah betul? 2. Penggunaan kata kerja dengan kata pemeri apa yang betul? ialah atau adalah? Contoh: ialah/adalah menanam sayur | Kata pemeri “ialah” dan “adalah” tergolong dalam jenis kata tugas, tidak boleh digandingkan dengan kata bantu dan tidak boleh hadir di hadapan kata kerja. Kata pemeri “ialah” digunakan di hadapan frasa nama manakala kata pemeri “adalah” digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh Ayat: (i) Sepak takraw ialah sukan yang elok dipertandingkan. (ii) Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015) halaman 249 hingga 265. | Tatabahasa | 17.12.2025 |
| Assalamualaikum. Apakah kata pemeri untuk frasa "salah satu"? Merujuk jawapan Khidmat Nasihat 6.5.2010, digunakan "ialah", contoh ayat, "Congkak ialah salah satu jenis permainan tradisional." Sekiranya merujuk Khidmat Nasihat 16.11.2010, digunakan "adalah", ayatnya "Pengaruh Media Massa adalah salah satu punca berlakunya gejala sosial. Persoalannya, adakah penentuan tertentu untuk frasa ini? Selain kaedah, "ialah" untuk frasa nama dan "adalah" untuk frasa adjektif dan sendi nama. Terima kasih. | Kata pemeri “ialah” hadir di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala kata pemeri “adalah” hadir di hadapan frasa adjektif atau frasa sendi nama. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP 20214), halaman 263 - 264 dan 494 - 496. Pihak kami mohon maaf atas kekeliruan tersebut. | Tatabahasa | 07.07.2025 |
| Antara ciri-ciri utama sukarelawan IALAH merupakan individu yang sihat dan sanggup berkorban masa dan wang ringgit. Berdasarkan soalan di atas, adakah perkataan IALAH perlu digantikan dengan ADALAH ? | Kata pemeri “ialah” hadir di hadapan frasa nama manakala kata pemeri “adalah” hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Maka ayat yan betul ialah " Ciri-ciri utama sukarelawan ialah individu yang sihat dan sanggup berkorban masa serta wang." | Tatabahasa | 06.07.2024 |
| Bilakah penggunaan ialah dan adalah digunakan ? | Perkataan "ialah" dan "adalah" tergolong dalam kata pemeri." Ialah" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala "adalah" digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. Rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, hlm. 263 - 264. | Tatabahasa | 03.09.2024 |
| Betulakah penggunaan ialah dalam ayat ini: Tugas utama ketua darjah ialah memastikan semua pelajar di dalam kelas bekerjasama. | Ayat yang betul ialah "Tugas utama ketua darjah adalah untuk memastikan semua pelajar di dalam kelas bekerjasama." | Tatabahasa | 09.02.2026 |
| Perkataan 'mendapat' ialah kata kerja transitif atau kata kerja tak transitif? Adakah ayat yang menggunakan perkataan 'mendapat' dan pelakunya ialah kata ganti diri ketiga boleh dipasifkan? Mohon berikan pencerahan. Terima kasih. | Perkataan 'mendapat' ialah kata kerja transitif. Kata kerja transitif memerlukan objek untuk melengkapkan maksudnya. Contoh ayat: "Dia mendapat hadiah." Ayat yang menggunakan perkataan 'mendapat' dan pelakunya ialah kata ganti diri ketiga boleh dipasifkan. | Tatabahasa | 21.02.2025 |