Adakah penggunaan kata sendi nama "dalam" dan "pada" dalam ayat berikut betul? contoh ayat: 1. Hitamkan jawapan pada kertas jawapan objektif yang disediakan. 2. Soalan hendaklah dijawab dalam kertas jawapan yang disediakan. Apakah perbezaan antara kedua-dua kata sendi nama? Sekian, Terima kasih. | Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Dalm konteks ayat yang diberikan kata sendi nama pada digunakan sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Oleh itu. ayat pertama "Hitamkan jawapan pada kertas jawapan objektif yang disediakan" adalah betul. Ayat kedua sepatutnya menggunakan sendi nama pada. (Soalan hendaklah dijawab pada kertas jawapan yang disediakan). Kata sendi nama dalam digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak seperti perkara, peristiwa, hal, urusan, bahasa, bidang, masyarakat dan sebagainya. Contohnya: dalam hal, dalam keheningan malam, dalam mesyuarat, dalam bahasa kebangsaan. | Tatabahasa | 29.02.2012 |