| Kesesuaian dalam penggunaan perkataan Tuan/Puan dan Encik/Cik dalam ayat. | Penggunaan perkataan Tuan/Puan dan Encik/Puan dalam ayat boleh digunakan bergantung pada situasi rasmi dan tidak rasmi. Contoh situasi rasmi: Urusan penulisan surat-menyurat rasmi, teks ucapan rasmi, protokol majlis atau acara rasmi, penulisan ilmiah dan sebagainya. Contoh situasi tidak rasmi: Percakapan sehari-hari, terutamanya panggilan untuk orang yang lebih tua atau orang yang baru dikenali. | Lain-lain | 11.08.2025 |
| Mohon semakan kesesuaian bahasa: "Gangguan Seksual: Tolak Normalisasi, Tunjuk Hormat" | Frasa yang betul ialah "Gangguan Seksual: Tolak Normalisasi, Jaga Batas Pergaulan". | Tatabahasa | 08.10.2024 |
| Boleh bantu saya semak kesesuaian perkataan berikut; 1. may use cookies, pixel tags and other technologies - mungkin menggunakan kuki, teg piksel dan teknologi 2. images (still/recording) - imej (pegun/ rakaman) 3. contact preferences - kenalan keutamaan 4. APPLICABILITY Our Privacy Notice applies ... - KESESUAIAN Notis Privasi kami digunakan ... 5. How we collect? - Bagaimana kami mengumpul? Terima kasih. | Sila berikan contoh perkataan dalam ayat agar pihak kami dapat memberikan terjemahan yang baik dan betul mengikut konteks ayat. | Makna | 24.03.2022 |
| Kesesuaian terjemahan (mohon rujuk lampiran) | Cadangan terjemahan bagi “Ethics in Management: Ethical Dilemma and Decision Making” ialah “Pengurusan Etika: Dilema Etika dalam Membuat Keputusan atau Pengurusan Etika: Dilema dan Pembuat Keputusan”. Cadangan terjemahan ini bergantung pada kesesuaian konteks ayat. | Penyemakan dan penterjemahan | 09.10.2024 |
| Saya mempunyai pertanyaan tentang kesesuaian untuk tagline company | Perkataan wara atau wara’ tiada dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021). Perkataan warak pula bermaksud taat kepada perintah Allah SWT, kuat beribadat dan menjauhi perkara yang dilarang Allah SWT dan segala perkara yang syubhah. Berhubung dengan slogan dalam bahasa Inggeris Green Wara’, Quality for All, tidak diperakui dan perlu diterjemah dalam bahasa Melayu mengikut konteks yang bersesuaian. Pihak DBP hanya menyemak slogan dalam bahasa Melayu. Mohon hantar semula slogan dalam bahasa Melayu yang bersesuaian dengan konteks aktiviti badan/institusi tersebut untuk kami semak dan memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 2509. | Penyemakan dan penterjemahan | 08.12.2025 |
| SAYA MEMOHON BANTUAN UNTUK SEMAKAN KESESUAIAN NAMA PROGRAM INI DAN SUSUN ATUR PERKATAAN:- "PROGRAM PENINGKATAN KAPASITI KREATIF MALAYSIA" NOTA: PROGRAM BERKAITAN DENGAN INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF | Ayat yang betul ialah PROGRAM PENINGKATAN KANDUNGAN INDUSTRI KREATIF MALAYSIA. | Tatabahasa | 03.03.2021 |
| Apakah perbezaan antara ayat di bawah serta kesesuaian penggunaannya: 1. Dengan hormatnya saya menjemput perhatian tuan/puan kepada perkara tersebut di atas. 2. Dengan hormatnya saya menarik perhatian tuan/puan berhubung perkara tersebut di atas 3. Dengan hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara tersebut di atas. 4. Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara tersebut di atas. | Ayat yang betul dan sesuai digunakan ialah "Dengan hormatnya saya merujuk perkara yang tersebut di atas." | Tatabahasa | 11.06.2023 |
| Penggunaan "kamu" dan "awak". Saya ingin mendapat kepastian tentang kesesuaian menggunakan "awak" dan "kamu" dalam situasi yang berlainan. Misalnya, adakah benar "awak" boleh digunakan dalam semua situasi, tetapi "kamu" biasanya digunakan oleh orang yang berkedudukan lebih tinggi bila bercakap dengan orang bawahannya atau orang yang lebih muda daripadanya? Terima kasih. | Kata “Kamu” dan “Awak” merupakan kata ganti nama diri kedua dan pada kelazimannya "kamu" digunakan apabila bercakap dengan orang yang lebih rendah umur dan tarafnya. Kata ganti nama diri kedua "Awak" pula digunakan apabila bercakap dengan orang yang sama taraf atau sebaya. | Lain-lain | 24.08.2025 |
| Tuan, Boleh jelaskan maksud atau makna tentang fitur linguistik? Bagaimanakah kesesuaian penggunaan perkataan "fitur lingusitik" dan contoh ayat? Adakah merujuk kepada ciri bahasa? Ingin saya mengetahui secara rinci. Terima kasih | Untuk makluman puan, melalui pangkalan data Khidmat Nasihat DBP dengan pautan http://kndbp.dbp.gov.my, kami hanya menjawab pertanyaan yang berkaitan dengan bahasa Melayu (aspek tatabahasa dan perkamusan), sastera Melayu, penerbitan DBP dan umum tentang DBP. Untuk mendapatkan maklumat tentang ilmu fitur linguistik kami mencadangkan puan untuk membuat pembacaan dalam buku-buku yang berkaitan dengan bidang Linguistik serta subbidangnya, ataupun bertanya dengan pakar yang lebih arif dalam bidang tersebut.
| Lain-lain | 08.08.2024 |
| apakah perbezaan penyenggaraan dan penyelenggaraan. mohon bantuan untuk sertakan bersama contoh, kesesuaian ayat digunakan dan info terperinci. Terima kasih. | Kata penyenggaraan dan penyelenggaraan mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun penyelenggaraan mempunyai makna tambahan. Makna sesuatu kata di dalam kamus dipecahkan mengikut konteks penggunaannya oleh masyarakat. Berikut merupakan makna berserta ayat contoh bagi kata penyenggaraan dan penyelenggaraan dalam Kamus Dewan Perdana: senggara سڠݢارا [səŋ·gɑ·rɑ] menyenggarakan مڽڠݢاراکن [mə·ɲəŋ·gɑ·rɑ·kɑn] [psf: disenggarakan, senggarakan] kt memelihara atau menjaga (bangunan, kenderaan, jalan raya dan lain-lain) secara teratur supaya berada dalam keadaan yang baik: Kos menyenggarakan taman laut itu agak tinggi, maka caj terpaksa dikenakan kepada pengunjung.◆Setiap jurutera akan menyenggarakan pesawat yang mengalami kerosakan dengan bantuan mekanik.◆Landskap boleh direka secara ringkas supaya senang untuk disenggarakan. penyenggaraan ڤڽڠݢاراءن [pə·ɲəŋ·gɑ·rɑ·ɑn] n perbuatan menyenggarakan sesuatu: Penyenggaraan itu dijalankan di hangar Malaysia Airlines. selenggara سلڠݢارا [sə·ləŋ·gɑ·rɑ] menyelenggara مڽلڠڬارا [mə·ɲə·ləŋ·gɑ·rɑ] ktt memelihara atau menjaga bangunan, kenderaan, jalan raya dan sebagainya secara teratur supaya berada dalam keadaan yang baik: Kerja-kerja menyelenggara akan dimulakan segera. menyelenggarakan مڽلڠݢاراکن [mə·ɲə·ləŋ·gɑ·rɑ·kɑn] [psf: diselenggarakan, selenggarakan] 1 kt memelihara atau menjaga (bangunan, kenderaan, jalan raya dan sebagainya) secara teratur supaya berada dalam keadaan yang baik: Sepuluh orang pekerja ditugaskan untuk menyelenggarakan kawasan taman istana ini setiap hari.◆Landasan kereta api diselenggarakan oleh pekerja mahir. 2 kt mengatur dan mengurus (pertandingan, pameran dan lain-lain) supaya lancar dan sempurna: Pegawai ini telah ditugaskan untuk menyelenggarakan pameran buku agama Islam.◆Kursus kepimpinan ini diselenggarakan oleh Jabatan Perdana Menteri. 3 kt mengurus dan mengerjakan (ladang, kilang dan lain-lain) supaya berjalan dengan baik Syarikat menghabiskan banyak wang untuk menyelenggarakan kilang dan peralatannya.◆Ladang yang luas wajar diselenggarakan mengikut pengetahuan sains. 4 kt menjalankan atau melaksanakan (rancangan, perintah dan lain-lain) Parlimen harus menyelenggarakan tanggungjawab secara berkesan. penyelenggaraan ڤڽلڠݢاراءن [pə·ɲə·ləŋ·gɑ·rɑ·ɑn] 1 n hal atau perbuatan menyelenggara atau menyelenggarakan: Pengetahuan dan kemahiran penyelenggaraan komputer sangat penting pd masa kini. 2 n hal atau perbuatan mengawasi atau menjaga kesihatan, keselamatan dsb: Para doktor terlatih bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan kesihatan pesakit yang mendapatkan rawatan di sini. | Makna | 08.08.2025 |