| Bagaimana ayat berikut boleh diperbaiki jika 'nya' tidak boleh digunakan? Gagak itu cuba memasukkan paruhnya ke dalam jag itu. Ataupun 'paruhnya' betul jika 'nya' dianggap sebagai kata penekan? | Nya ialah kata ganti nama diri orang ketiga. Oleh itu, 'nya' perlu digugurkan dalam ayat tersebut dan menjadi Gagak itu cuba memasukkan paruh ke dalam jag itu. | Tatabahasa | 21.12.2011 |
| Tuan, saya faham bahawa: Dalam frasa 'dengan teliti' , perkataan 'teliti' ialah kata adjektif. Dengan berdasarkan rumus tatabahasa, kata adjektif tidak boleh hadir selepas kata sendi nama. Untuk menangani masalah ini, panel penulis Tatabahasa Dewan telah memasukkan kata pembenda -nya sebagai kata tugas dalam bahasa Melayu.Kata pembenda :-nya :ialah kata tugas yang menjadikan perkataan yang bukan kata nama sebagai kata nama. Oleh hal yang demikian, frasa 'dengan teliti' perlu dibetulkan menjadi 'dengan telitinya'. Bagaimanakah pula dengan perkataan seperti berikut : 1. dengan berhati-hati atau dengan berhati-hatinya. 2. dengan tertib atau dengan tertibnya 3. dengan bersungguh-sungguh atau dengan bersungguh-sungguhnya Ribuan terima kasih diucapkan terlebih dahulu. | Penggunaan frasa yang betul ialah “dengan telitinya”, “dengan berhati-hati”, “dengan tertibnya” dan “dengan bersungguh-sungguhnya”. Dalam frasa “dengan berhati-hati”, kata pembenda tidak digunakan kerana perkataan “berhati-hati” bukan kata adjektif, sebaliknya kata kerja. | Tatabahasa | 30.06.2022 |
| Salam sejahtera. Saya dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia menggunakan tajuk program Pelibatan Ibu Bapa dan Sekolah. Adakah maksud atau penggunaan nya berbeza dengan Penglibatan Ibu Bapa dan Sekolah? | Mengikut Tatabahasa Dewan, berdasarkan faktor fonologi, perubahan peN- ...-an menjadi pe-...an apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf m, n, ng, r, l, y dan w. Oleh sebab itu, bentuk yang betul bagi kata libat ialah 'pelibatan'. Namun disebabkan kekerapan masyarakat menggunakan 'penglibatan' maka Kamus Dewan dan Kamus Pelajar memasukkan entri ‘penglibatan” iaitu melibatkan diri sesuatu hal atau perkara, jadi “penglibatan” juga boleh digunakan untuk maksud yang sama dengan “pelibatan”. | Tatabahasa | 19.02.2014 |
| Salam hormat, Lema *Jibrail - mentakrifkan malaikat yang menyampaikan wahyu kepada rasul atau nabi. Manakala *Jibril (ejaan tanpa a) terdapat pada lema *wahyu mentakrifkan firman (kalam) Allah yang dibaca kepada nabi dan rasul-Nya yang disampaikan sama ada melalui malaikat (Jibril) ataupun tanpa melaluinya. Juga pada lema *mewahyukan - mentakrifkan menurunkan wahyu kepada, menyampaikan petunjuk (pengajaran dll) dengan wahyu disampaikan kepada Nabi oleh Jibril... Persoalannya - boleh perkataan *Jibril digunaka di samping perkataan *Jibrai? | Salam hormat dan terima kasih atas perhatian yang diberikan. Untuk makluman, kamus terkini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (Kamus Dewan Perdana, 2020) telah memasukkan entri Jibril dan ditakrifkan seperti berikut: Jibril جبريل [dʒib·ril] n malaikat yg tugasnya menyampaikan wahyu kpd rasul Manakala entri Jibrail ditakrifkan seperti berikut: Jibrail جبرائيل [dʒib·rɒ.·il] n Jibril Walaupun kedua-dua ejaan dimasukkan sebagai entri, ejaan Jibril lebih lazim penggunaanya berbanding Jibrail. Terima kasih. | Ejaan | 18.05.2025 |
| Bagaimanakah membezakan perkataan "menyangkut" dan "menyangkutkan" ? Adakah perbezaannya seperti ayat di bawah: a)Ali menyangkut baju. b)Ali menyangkutkan baju pada dinding. | Saudara, Perkataan menyangkut/menyangkutkan daripada perkataan 'sangkut' bermaksud 1 terletak pd sesuatu dgn berkait; bergantung: Bajunya ~ pd paku di dinding bilik tidurnya. 2 ada kaitan atau hubungan (dgn): ~ dgn perkara itu, mereka akan mengadakan mesyuarat khas. bersangkutan 1 bersangkut banyak-banyak atau banyak yg bersangkut (bkn pakaian dll). 2 bersangkut dgn (bkn hubungan atau kaitan); ada pertaliannya atau ada hubungannya antara satu dgn yg lain; bertalian. menyangkut 1 melekat pd sesuatu (kawat pd kawat, kain pd duri dsb) kerana berkait. 2 memasukkan atau membawa ke dlm sesuatu perkara (urusan dsb); melibatkan. menyangkutkan meletakkan sesuatu pd kait; menggantungkan; menggayutkan: Dia ~ bekalannya pd dahan pohon jambu. tersangkut 1 terlekat pd sesuatu; terpaut; tergantung: Layang-layangnya ~ pd dahan pokok. 2 tidak dpt bergerak atau tidak dpt keluar dgn lancar; terhenti: Kerana air bah, kami ~ di Temerloh. 3 turut terlibat dlm sesuatu perkara: Dia ~ juga dlm perompakan itu. sangkutan 1 tempat menyangkutkan sesuatu. 2 apa-apa yg mengganggu atau yg menghalang; rintangan. persangkutan hal, keadaan dsb bersangkut atau bersangkutan; pertalian; perhubungan. penyangkutan perihal, perbuatan dsb menyangkut atau menyangkutkan. penyangkut alat yg digunakan utk menyangkutkan sesuatu. Daripada makna di atas, kata menyangkut digunakan dalam konteks melekat pada sesuatu. Contoh kawat menyangkut pada kawat yang lain, manakala kata menyangkutkan pula digunakan dalam konteks meletakkan sesuatu pada sesuatu. Contoh, Ali menyangkutkan bajunya pada dinding. | Tatabahasa | 25.08.2010 |
| Salam Saya hendak bertanya, dalam bahasa Melayu adakah perkataan adangan dan teradang? Kata dasar perkataan ini ialah adang? Apakah maksud kata adangan dan teradang? terima kasih | Mengikut Kamus Dewan, perkataan “Adang” itu sendiri mempunyai beberapa maksud iaitu adang-adang penyekat (yg memisahkan, mengasingkan, dsb): tiap-tiap meja disekat dgn satu ~; ~ pintu penyekat di muka pintu; mengadang 1. = mengadangi menahan (seseorang) drpd dapat lalu atau masuk ke sesuatu tempat (dgn mendepangkan tangan, merintangkan sesuatu, dsb), menghalang(i), menyekat: Hamid ~nya di pintu, tidak mahu memberinya masuk; 2. menyekat laluan (di jalan raya): mereka ~ jalan dgn meletakkan tong-tong kosong; sebatang pokok yg tumbang ~ jalan dan menyebabkan banyak kenderaan terkandas; 3. menunggu dgn tujuan hendak menyergap (menyerang hendap): merancang utk ~ musuh; 4. menuju, memaksudkan, menghadapi; 5. menempuh (bahaya, kesukaran, dsb); musuh jangan diadang, selisih jangan dicari prb pertelingkahan atau perselisihan janganlah dicari-cari; sungguhpun kawat yg dibentuk, ikan di laut yg diadang prb sungguhpun nampaknya tidak ada sesuatu maksud tetapi ada juga benda yg dituju; mengadangkan menggunakan sbg adang, merentangkan (sesuatu), mendepangkan (tangan): diadangkannya lengannya; pengadangan 1. tempat utk mengadang; 2. perbuatan mengadang; pengadang 1. penghalang, perintang (di jalan dll), sekatan; 2. orang yg mengadang (menghalang atau menyekat orang lain); 3. penyamun dsb yg mengadang (menunggu dan menyerang hendap). (Kamus Dewan Edisi Keempat). Saudara yang budiman, Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkataan andang, sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari" atau sila rujuk Kamus Dewan edisi Keempat. | Tatabahasa | 23.10.2018 |