Tuan, adakah ayat ini betul? 1. Guru Kemahiran Hidup menasihatkan cara memenggal kayu kepada murid-muridnya. Kata "menasihatkan" bermaksud memberikan sesuatu sebagai nasihat atau sebagai tunjuk ajar. Jadi, ayat (1) bermaksud guru Kemahiran Hidup memberikan cara memenggal kayu sebagai tunjuk ajar kepada murid-muridnya atau bermaksud guru Kemahiran Hidup menjadikan cara memenggal kayu sebagai tunjuk ajar kepada murid-muridnya. | Ayat yang lebih betul : Guru itu memberi tunjuk ajar cara memotong kayu kepada murid-muridnya atau Guru itu menunjuk cara memotong kayu kepada murid-muridnya. | Tatabahasa | 31.12.2014 |
Salam, Kakak _____ kulit buah kiwi itu sebelum memakannya. A mengopak B mengupas C mengopek D memenggal (A atau B atau C?) Kebanyakan kejadian kebakaran berpunca daripada _____ orang ramai menjaga keselamatan. A kecuaian B kelupaan C kelekaan D kealpaan (A atau D??) Apakah jawapan yang paling sesuai?? | 1. Merujuk Kamus Dewan, perkataan mengupas juga membawa maksud mengopak dan mengopek. Oleh itu, ketiga-tiga perkataan tersebut boleh menjadi jawapan kepada ayat tersebut. 2. Jawapan yang betul ialah kecuaian. Untuk maklumat lanjut sila rujuk www.prpm.dbp.gov.my dan lihat makna setiap perkataan yang tersebut. | Tatabahasa | 19.06.2013 |
1. Bagaimana pengguanaan yang betul bagi tanda "/"? contoh: Tanah mestilah bebas daripada sebarang binaan/ bangunan kediaman di atasnya. atau Tanah mestilah bebas daripada sebarang binaan atau bangunan kediaman di atasnya. 2. Apabila dibaca, adakah maksud ayat tersebut adalah "binaan atau bangunan kediaman" atau "binaan kediaman atau bangunan kediaman"? | 1. Berdasarkan buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023) halaman 127, tanda garis miring (/) digunakan sebagai: (a) Pengganti kata “dan”, “atau” dan “per”. (b) Penulisan nombor alamat. (c) Nombor rujukan surat rasmi. (d) Penanda yang memenggal ayat. Perkataan sebelum dan selepas tanda miring (/) perlu dirapatkan. Dalam konteks soalan yang diajukan, kedua-dua contoh ayat yang diberikan adalah betul. (a) Tanah mestilah bebas daripada sebarang binaan/bangunan kediaman di atasnya. (b) Tanah mestilah bebas daripada sebarang binaan atau bangunan kediaman di atasnya. 2. Frasa yang sesuai dalam ayat ini ialah binaan atau bangunan kediaman. Perkataan kediaman tidak perlu diulang bagi mengelakkan kelewahan dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sesawang Khidmat Nasihat Bahasa DBP, http://kndbp.dbp.gov.my/ | Tatabahasa | 29.05.2024 |
Apakah perbezaan antara memontong dengan memangkas?contoh,memangkas dahan pokok | Memangkas ialah 1. memotong hujung tumbuh-tumbuhan supaya pendek: 2. memotong dengan gunting; menggunting. Manakala memotong pula ialah 1. memutuskan sesuatu dengan pisau (gergaji dan lain-lain), memenggal, mengerat; 2. menghiris (daging, ikan dan lain-lain); 3. menebang (kayu, pokok dan lain-lain); 4. menyembelih (binatang dan lain-lain); 5. menggunting (rambut), memangkas; 6. menggunting (pakaian dan lain-lain); 7. menuai (jagung, padi dan lain-lain); 8. mengudungkan (tangan dan lain-lain); 9. membedah (perut dan lain-lain); 10. mengurangi (gaji, pendapatan dan lain-lain); 11. memintasi (jalan, perjalanan dan lain-lain); 12. menyelang (percakapan, orang dan lain-lain); 13. memendekkan (kata, nama dan lain-lain) Contoh Ayat: 1. Ali sedang memotong daging di dapur. 2. Ali sedang memangkas dahan pokok di kebun. | Tatabahasa | 21.08.2021 |