Assalamualaikum 1) kata kerja tak transitif berpelengkap perlu letak keterangan(pelengkap) lpas kata kerja tu kan? saya agak keliru nak membezakan dengan kata kerja transitif aktif. contoh ayat: ...lantas 'menyemarakkan' gelombang keganasan.. ...pertahanan bagi 'menghadapi' serangan pihak Siam. Sejarah 'membuktikan' bahawa Kerajaan Patani... ...seorang pembesar negeri yang 'menaiki' takhta Patani... ayat2 ini lebih sesuai digolong dalam kata kerja yang mana satu? 2) 'mengekang' boleh dipasifkan x? 3) adakah 'berbohong' itu kata kerja tak transitif tanpa pelengkap? | 1. Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap mesti diikuti pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, kerana objek atau penyambut hanya hadir selepas kata kerja transitif aktif dan boleh mengalami proses pasif. Pelengkap ialah unsur yang hadir selepas kata kerja tak transitif untuk menyempurnakan maksud ayat. Ayat dengan kata kerja aktif tak transitif yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan. Untuk lebih memahami tajuk tersebut lihat penerangan dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 145. 2. Kata kerja mengekang boleh dipasifkan menjadi dikekang. 3. Perkataan berbohong tergolong dalam kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. | Tatabahasa | 24.03.2012 |
Assalamualaikum, ayat ini lebih sesuai digolong dalam kata kerja yang mana satu? 1)...'mencetuskan' kontroversi. 2) mitos 'melampaui' fakta sejarah. 3) filem ini 'mengelirukan' kerana merujuk kerajaan... 4) sikap 'berfikiran' kuno 5) Siam 'mengambil' masa 6) 'mempersiapkan' pertahanan 7) tidak mahu 'menerima' kebenaran sy agak keliru antara kk transitif aktif & kk tak transitif berpelengkap | 1. Mencetuskan kontroversi - Kata kerja aktif transitif. 2. Melampui fakta sejarah - Kata kerja aktif transitif. 3. Mengelirukan ... - Kata kerja aktif transitif. 4. Berfikiran kuno - Kata kerja tak transitif berpelengkap. 5. Mengambil masa - Kata kerja aktif transitif. 6. Mempersiapkan pertahanan - Kata kerja aktif transitif. 7. Menerima kebenaran - Kata kerja aktif transitif. Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap mesti diikuti pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, kerana objek atau penyambut hanya hadir selepas kata kerja transitif aktif dan boleh mengalami proses pasif. Pelengkap ialah unsur yang hadir selepas kata kerja tak transitif untuk menyempurnakan maksud ayat. Ayat dengan kata kerja aktif tak transitif yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan. Untuk lebih memahami tajuk tersebut lihat penerangan dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 145. Untuk menguasai jenis kata kerja, sila rujuk tajuk pembentukan kata kerja kerana setiap subtajuk di bawahnya diterangkan jenis kata kerja yang terbentuk daripada proses tersebut. | Tatabahasa | 24.03.2012 |
Mohon penjelasan ayat yang betul. 1. Kemalangan jalan raya melibatkan motosikal mencatatkan "peratusan" yang paling tinggi berbanding dengan kenderaan lain. 2. Lemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal mencatatkan "peratus" yang paling tinggi berbanding dengan kenderaan yang lain. | 1. Kemalangan jalan raya melibatkan motosikal mencatatkan "peratusan" yang paling tinggi berbanding dengan kenderaan lain. - peratusan bermaksud bilangan dengan kiraan peratus, oleh itu kata peratusan menyempurnakan maksud ayat yang diberi, manakala bermaksud peratus satu dibahagi dengan seratus, tidak sesuai dengan konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 30.04.2009 |
'Adik bermain bola.' Mengapakah 'bermain' dalam ayat tersebut merupakan kata kerja transitif seperti yang dijelaskan dalam arkib soalan tetapi dalam ayat 'Adik sedang bermain.' pula, kata kerja tersebut merupakan kata kerja tak transitifif tanpa pelengkap? | Dua ayat yang dikemukakan: A. Adik sedang bermain. B. Adik bermain bola. 1. Perkataan bermain pada ayat A dan B di atas ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap iaitu tidak memerlukan objek atau penyambut untuk menyempurnakan maksud ayat. Perkataan bola pada ayat B bukan objek tetapi frasa keterangan. Ayat "Adik bermain." ayat lengkap. Perkataan atau frasa selepasnya berfungsi sebagai keterangan. Contohnya: Adik bermain di padang. Adik bermain dengan kawannya. Perkataan bermain dalam ayat B bukan kata kerja transitif. Dalam pembentukan kata kerja, perkataan yang menerima imbuhan awalan beR- menjadi kata kerja tak transitif sama ada berpelengkap atau tanpa pelengkap; tidak ada yang menjadi kata kerja transitif. 2. Untuk makluman, pihak kami sedang berusaha memperbaiki perkhidmatan KNDBP berkaitan pertanyaan bahasa. Antaranya ialah mengenal pasti jawapan-jawapan yang tidak tepat di dalam arkib untuk dimansuhkan. Terima kasih kerana membantu kami mengenal pasti kesilapan yang dilakukan. Kami memohon maaf atas perkara ini. | Tatabahasa | 27.04.2011 |