Selamat petang tuan. Mengapakah universiti dalam bahasa Melayu tidak dinamai "pusat pengajian tinggi", seperti Pusat Pengajian Tinggi Malaya, Pusat Pengajian Tinggi Sains Malaysia? Mengapakah dinamakan "universiti"? Kata "universiti" kata yang dipinjam daripada bahasa Inggeris dan telah melalui penyesuaian ejaan yang sedikit sahaja, jadi bunyi bahasa Inggeris "university" itu tampak sangat. Ini yang dikatakan kata pinjaman bahasa Melayu yang keinggerisan. Dalam bahasa Melayu, sudah sedia ada frasa "pusat pengajian tinggi" untuk menunjukkan sekolah mahasiswa, oleh itu, mengapakah kata "university" daripada bahasa Inggeris dipinjam lagi untuk menjadi "universiti"? Frasa "pusat pengajian tinggi" kata bahasa Melayu jati! | Perkataan "universiti" telah lama diterima dalam bahasa Melayu dan telah mantap penggunaannya. | Istilah | 28.11.2016 |
Mohon pihak DBP berikan jawapan untuk mengelakkan kekeliruan. Ayat & perkataan manakah yang betul? 1. bicara bukan SEBARANG bicara 2. dia bukan orang SEMBARANGAN Saya keliru untuk menggunakan perkataan SEBARANG, SEBARANGAN, SEMBARANG & SEMBARANGAN. | Merujuk Kamus Dewan, sebarang bermaksud a) bukan yang biasa sahaja; b) bukan sedikit, luar biasa (sangat banyak sekali dan lain-lain); c) bukan apa-apa; sebarangan lazimnya digunakan dalam istilah bagi padanan arbitrary dalam bahasa Melayu; sembarang bermaksud apa-apa atau sesiapa saja; asal saja; juga bermaksud sebarang; dan sembarangan bermaksud tidak dengan usul periksa; dengan begitu saja; tidak dengan pilih-pilih lagi. Berdasarkan maksud yang diberikan kedua-dua ayat tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 07.01.2011 |
1. Tuan, dalam konteks Malaysia, adakah singkatan "Ir." bagi Jurutera Profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia) dan lulusan universiti tempatan atau United Kingdom merujuk kepada gelaran "Insinyur" atau "Ingenieur"? Di Eropah, singkatan "Ir." adalah untuk gelaran "Ingenieur". Bukankah istilah "Insinyur" berasal dari Bahasa Indonesia dan bermaksud sarjana keteknikan lulusan negara tersebut? 2. Seperkara lagi, apakah sebutan yang betul untuk singkatan "Ir."? Apakah ianya disebut dengan nama penuh "Ingenieur/Insinyur" atau I R (disebut dengan dua huruf ini sahaja) kerana dalam sesetengah majlis rasmi ada pengacara majlis menyebutnya dengan sebutan I R sahaja. Dalam masa yang sama, singkatan "Dr." tidak pula disebut D R tetapi dengan nama penuh "Doktor". | Dalam Kamus Dewan, ejaan "Ir" dilabelkan sebagai bahasa Indonesia dan kependekan bagi Insinyur. Sedikit maklumat yang kami peroleh, mengikut amalan di negara kita gelaran "Ir" d iberikan kepada jurutera bertauliah yang telah lulus ujian kelayakan profesional. Gelaran tersebut disebut mengikut ejaan huruf yang diwakili, iaitu Ir (I.R) sama seperti Ar (A.R) bagi Arkitek, berbeza dengan amalan di negara jiran kita yang menyebut dengan ejaan penuh Insiyur. Untuk amklumat lanjut, tuan boleh menghubungi pihak Lembaga Jurutera Malaysia, pihak yang berwenang dalam hal berkenaan. | Penyemakan dan penterjemahan | 18.10.2015 |
Tuan, apakah beda antara "puas" dengan "berpuas"? Pada saya, beda dua kata itu hanya golongan kata, iaitu "puas" sifat dan "berpuas" perbuatan tiada melampau kerana telah ditambahi awalan ber- pembentuk perbuatan tiada melampau. Dalam Tatabahasa Dewan pada halaman ke-169, apabila sifat rasa seperti gembira, sedih bergabung dengan awalan ber-, ber- bermaksud berada dalam keadaan sifat rasa itu. Maka bermaksudlah "berpuas" berada dalam keadaan puas. Saya tidak melihat beda makna antara "puas" dengan "berpuas", hanya cara penggunaan kedua-dua kata dalam ayat mungkin sedikit lain. "Berpuas" bermaksud berasa puas, maka berpuas kepada jayanya dalam peperiksaan = berasa puas kepada jayanya dalam peperiksaan. Kalau digunakan kata "berpuas", digunakan kata "berpuas" sahaja, iaitu "berpuas kepada jayanya dalam peperiksaan" tetapi jika yang digunakan "puas", mungkin perlu disertakan kata "berasa", iaitu "berasa puas kepada jayanya dalam peperiksaan" kerana berasa puas = berpuas. Namun begitu, tanpa kata "berasa", saya tidak melihat kesalahan frasa "puas kepada jayanya dalam peperiksaan" kerana jika cerita frasa sifat "puas" dapat diluaskan dengan frasa sendi nama keterangan "kepada jayanya dalam peperiksaan". Saya telah mengetahui bahawa kedua-dua kata ini bermakna serupa dan golongan kedua-dua kata ini berbeda, yang hendak saya soalkan: adakah "puas" dan "berpuas" ini senjang kaedah penggunaannya dalam ayat? Bolehkah tuan menunjukkan kesenjangan tersebut? | Awalan beR- membentuk kata kerja yang bersifat tak transitif sama ada berpelengkap atau tanpa pelengkap. Pada dasarnya perkataan yang berawalan beR- ialah kata kerja yang membawa pengertian berlakunya sesuatu mengikut makna yang terkandung dalam kata dasar seperti bertukar dan bersenam. Namun begitu terdapat juga pengertian khusus, bergantung pada golongan perkataan tertentu seperti bercukur, bertumbuk dan bertulis. Kata kerja bermain membawa maksud yang terkandung dalam kata dasar main. Dalam bahasa Melayu, perkataan yang menandai masa perbuatan didahului dengan perkataan telah, sedang dan akan. Walau bagaimanapun dalam konteks ayat yang dapat menjelaskan masa berlakunya sesuatu perbuatan, maka perkataan telah, sedang dan akan boleh digugurkan. Contohnya ayat Ahmad sedang bermain bola sepak di Stadium Bukit Jalil menunjukkan perbuatan itu sedang dilakukan dan ayat Ahmad bermain bola sepak di stadium semalam, tidak perlu lagi didahului kata telah.
| Tatabahasa | 22.12.2016 |