PLAYER, GARY | Player, Gary (1935– ) ialah ahli sukan Afrika Selatan yang menjadi salah seorang pemain golf utama di dunia pada tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an. | UMUM | |
QUEENSBERRY, MARQUESS OF | Queensberry, Marquess of (1844–1900), John Sholto Douglas ialah ahli sukan Scotland yang telah menaja satu peraturan baru sukan tinju yang diberi nama sempena namanya (lihat Queensberry ). Sebenarnya peraturan itu ditulis oleh John Graham Chambers dari Kelab Olahraga Amatur. Peraturan itu muncul buat pertama kalinya pada tahun 1867. | UMUM | |
THOMPSON, DALEY | Thompson, Daley (1958– ), salah seorang ahli sukan British yang menonjol dalam semua bidang. Dalam Sukan Olimpik 1980 dan 1984 Thompson memenangi pingat emas dalam acara dekatlon , iaitu pertandingan dua hari yang teruk yang terdiri daripada 10 acara olahraga yang berlainan. Thompson memecahkan rekod dunia dengan memperoleh markah tertinggi dalam acara dekatlon sebanyak tiga kali. Dia juga memenangi pingat emas bagi acara dekatlon di Kejohanan Dunia 1983, Kejohanan Eropah 1982, dan Sukan Komanwel 1978, dan 1982. Francis Daley Thompson lahir di London. | UMUM | |
PERGUNUNGAN ADIRONDACK | Pergunungan Adirondack adalah sekumpulan gunung yang melitupi kawasan seluas 30 000 kilometer persegi di barat laut negeri New York. Pergunungan Adirondack terletak di sebelah barat Pergunungan Appalachian. Ramai pelancong dan ahli sukan mengunjungi Pergunungan Adirondack untuk melihat hidupan liar dan menyaksikan pemandangan yang indah. Kawasan ini mempunyai kira-kira 100 puncak gunung dan hampir separuh daripadanya mencapai ketinggian melebihi 1200 meter. Gunung Marcy ialah puncak tertinggi di negeri New York. Ketinggiannya 1629 meter. Puncak Algonquin mencapai ketinggian 1558 meter. Tasik Champlain dan Tasik George adalah antara ratusan tasik yang terdapat di kawasan itu. Tasik Saranac dan Tasik Placid merupakan tempat percutian yang terkenal. | UMUM | |
PERJANJIAN GLENEAGLES | Perjanjian Gleneagles ialah ikrar yang dibuat oleh pemimpin Negara Komanwel pada tahun 1977 untuk tidak menggalakkan hubungan sukan dengan Afrika Selatan. Perjanjian itu telah dibuat ketika satu mesyuarat di Hotel Gleneagles, di Kawasan Tayside , Scotland . Para pemimpin menandatangani satu perjanjian bahawa mereka perlu menasihati ahli sukan lelaki dan wanita supaya tidak melawat Afrika Selatan. Tujuan perjanjian itu adalah untuk mengenakan tekanan ke atas kerajaan Afrika Selatan supaya menghapuskan dasar aparteid. Lihat Aparteid. | UMUM | |
THORPE, JIM | Thorpe, Jim (1887–1953), atlet serba boleh terbaik dalam sejarah. Thorpe menjadi pemain bola sepak kolej dan profesional Amerika dan masyhur sebagai juara olahraga Olimpik. Dia juga bermain dalam liga-utama besbol Amerika. Dalam Sukan Olimpik tahun 1912, Thorpe muncul sebagai atlet pertama yang memenangi kedua-dua acara pentatlon dan dekatlon (lihat Olahraga [dekatlon, heptatlon dan pentatlon]). Tetapi lebih kurang sebulan kemudian, pingat tersebut ditarik balik. Kesatuan Olahraga Amatur memutuskan Thorpe seorang ahli sukan profesional dan tidak layak bertanding dalam Sukan Olimpik kerana dia didapati bermain besbol dengan bayaran yang rendah. Pada tahun 1982, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengembalikan pingat emas Thorpe dan memasukkan namanya dalam senarai juara Olimpik tahun 1912. | UMUM | |
MEMBELAH KAYU | Membelah kayu ialah sejenis sukan pertandingan yang popular di Australia dan New Zealand. Pertunjukan pertanian negeri ini menarik lebih daripada 150 orang ahli mengapak kayu termasuk peserta dari luar negara. Badan yang menguruskan pertandingan itu di Australia ialah Persatuan Pengapak Kayu Australia. | UMUM | |
MILO | Milo (?- ?), ahli gusti legenda Yunani dalam sejarah sukan Olimpik purba. | SUKAN | Tokoh |
MERCOURI, MELINA | Mercouri, Melina (1925–1994) ialah pelakon wanita dan ahli politik wanita Yunani. Dia berkhidmat sebagai menteri kebudayaan kerajaan sosialis dari tahun 1981 sehingga dia meninggal dunia. Mercouri banyak mengembara untuk memperkenalkan seni dan sukan Yunani, di samping mengetengahkan isu kewanitaan. | UMUM | |
MELEMBING IKAN | Melembing ikan ialah sukan memburu ikan dalam air dengan menggunakan lembing atau tiruk, atau menggunakan senapang yang melancarkan lembing. Penggemar melembing ikan memburu ikan di dalam sungai, tasik, dan lautan di seluruh dunia. Ikan yang ditangkap dijadikan makanan. Sesetengah ahli biologi menggunakan kaedah melembing ikan apabila menanda ikan untuk tujuan penyelidikan, tanpa mencederakan ikan tersebut. | UMUM | |