NOTARI AWAM | Notari awam ialah pegawai yang diberi kuasa oleh undang-undang untuk mengesahkan dokumen tertentu, dan untuk mengangkat sumpah. Banyak dokumen, seperti surat ikatan, mesti disahkan oleh notari sebelum ia boleh dikuatkuasakan secara sah dari segi undang-undang. Tujuan pengesahan sesuatu dokumen oleh notari adalah untuk melindungi mereka yang menggunakannya daripada pemalsuan. | UMUM | |
MAHKAMAH KANGGARU | Mahkamah kanggaru ialah istilah slanga bagi kumpulan orang yang tidak diberi kuasa, yang menghukum sendiri sesuatu kesalahan dengan bertindak sebagai mahkamah. Kumpulan seperti ini selalunya mengetepikan prinsip undang-undang dan keadilan serta mengenakan hukuman yang tidak adil dan keterlaluan. | UMUM | |
TUNKU KUDIN | TUNKU KUDIN ( ? -1905), pentadbir dan pemimpin di Selangor. Nama sebenarnya ialah Tunku Thiauddin atau Dhiauddin, putera Sultan Zainal Rashid dan adinda Sultan Ahmad Tajuddin. Ketokohannya menonjol selepas berkahwin dengan Tunku Arfah (Tunku Chik) puteri Sultan Abdul Samad, pada tahun 1868. Selepas perkahwinan itu, Sultan Abdul Samad melantiknya sebagai wizurai, atau wakil raja Selangor memandangkan kebolehan dan kecekapan kepimpinan serta latar belakang pendidikan Inggerisnya. Sebagai wizurai dia diberi kuasa mentadbir Selangor bagi pihak Sultan Abdul Samad. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
NGAH IBRAHIM LONG JAAFAR | NGAH IBRAHIM LONG JAAFAR (? – 1895), pentadbir Larut (1840 – 1875), Ngah Ibrahim mewarisi pentadbiran Larut daripada ayahnya, Long Jaafar. Pada 24 Mei 1858, dia diberi kuasa oleh Sultan Jaafar Muazam Syah untuk mentadbir kawasan yang meliputi Kerian dan Bagan Tiang. Ngah Ibrahim tinggal di Permatang (Matang) dan berkahwin dengan Wan Halimah, anak Laksamana Wan Muhammad Amin. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
DATO' SERI AGAR DIRAJA | DATO’ SERI AGAR DIRAJA, salah satu gelaran Orang Besar dalam kerajaan Melayu. Gelaran ini pernah disandang oleh Tun Mahmud yang menjadi pemerintah Selangor pada masa Kesultanan Melaka. Dalam huraian tentang Dato’ Seri Agar Diraja ini, rujukan khusus kepada negeri Perak. Dalam Kesultanan Perak, Dato’ Seri Agar Diraja ialah gelaran bagi Orang Besar Delapan. Penyandang gelaran ini lebih dikenal dengan panggilan Dato’ Sagor. Isterinya digelar Tuk Puan, manakala pembantunya dikenal dengan gelaran Paduka Raja. Pada tahun 1860-an, gelaran Dato’ Seri Agar Diraja disandang oleh Ngah Kamdin. Dia diberi kuasa oleh Sultan Perak menguruskan pentadbiran di kawasan tebing Sungai Perak, iaitu di antara Kampung Gajah dengan Pulau Tiga. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Jawatan/Gelaran |
WAN MUTAHIR | WAN MUTAHIR ( ? -1863), Bendahara Seri Maharaja Pahang (1857-1863). Dia ialah putera Bendahara Wan Ali yang telah dinaikkan pangkatnya sebagai Engku Muda pada tahun 1832. Dia dikahwinkan dengan Tengku Chik, puteri Sultan Ahmad, dari Terengganu. Apabila Bendahara Wan Ali meninggal dunia pada tahun 1856, berlaku perang saudara antara anak-anaknya iaitu Wan Mutahir dan Wan Ahmad. Punca perselisihan berpusat pada surat wasiat yang telah dirangka oleh Bendahara Wan Ali sebelum kematiannya. Dia menegaskan bahawa putera kesayangannya, Wan Ahmad akan diberi kuasa mengawal Kuantan dan Sungai Endau. Wan Mutahir yang menaiki takhta pada tahun 1857 dengan gelar Bendahara Seri Maharaja tidak mengendahkan amanah ini. Kegagalan Wan Mutahir menziarahi ayahandanya yang sakit tenat sebelum kematiannya memberikan Wan Ahmad peluang untuk mendapatkan haknya. Dikatakan bahawa Wan Mutahir adalah anak seorang gundik dan sebab itu dia tidak berhak menuntut takhta kerajaan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
OLDS, RANSOM ELI | Olds, Ransom Eli (1864–1950) ialah pelopor Amerika dalam penciptaan dan pembuatan kereta. Dua buah kereta, Oldsmobile dan Reo (daripada kependekan namanya), diberi nama bersempena dengan namanya. Pada tahun 1886, dia mula membuat eksperimen dengan pedati yang digerakkan oleh kuasa wap di dalam kedai mesin bapanya di Lansing, Michigan. Kemudian, dia mencipta kereta wap empat roda yang dijualnya kepada sebuah firma di India pada tahun 1893. Ini merupakan kereta Amerika Syarikat yang pertama dijual ke luar negara. | UMUM | |