RAJA BOT RAJA JUMAAT | RAJA BOT RAJA JUMAAT (1849-1916), pentadbir daerah Lukut. Dia adalah putera Raja Jumaat bin Raja Jaafar dan ibunya ialah Senai, puteri Sultan Muhammad. Semasa berumur lapan tahun, dia telah khatam al-Qur’an. Tiga tahun kemudian dia dihantar ke Melaka untuk mendapat pendidikan di Sekolah Inggeris Melaka. Dia dijaga oleh Kolonel Ronald Macpherson, Residen Kauselor Melaka. Selepas itu, dia diajar hal-hal perniagaan oleh Baba Chee Yam Chuan, saudagar Melaka yang juga sabahat baik Raja Jumaat. Chee Yam Chuan banyak membantu pembangunan Lukut. Raja Bot kembali ke Lukut setelah berada di Melaka selama dua tahun. Dalam usia 13 tahun, dia membantu ayahnya menjalankan peniagaan, khususnya membeli keperluan seperti pakaian, candu dan makanan yang dijual kepada pekerja lombong. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
NEGERI NAUNGAN | Negeri naungan ialah negeri lemah yang dikuasai oleh negara yang lebih kuat. Negeri naungan biasanya mempunyai fungsi kuasa berkerajaan sendiri yang tertentu tetapi negara “penaung”nya mempunyai kata pemutus dalam hal- hal yang penting. Kuasa penaung menjalankan semua perhubungan luar negeri untuk negeri naungan dan mengawasi pertahanan negeri naungan tersebut. Dalam sejarah British, zaman Naungan (1653– 1659) ialah zaman semasa Oliver Cromwell memerintah England sebagai Raja Penaung. Puteranya, Richard menggantikannya sebagai raja penaung pada tahun 1658. | UMUM | |
SEWARD, WILLIAM HENRY | Seward, William Henry (1801–1872), berkhidmat sebagai setiausaha negara Amerika Syarikat semasa Perang Saudara Amerika (1861– 1865). Dia ialah pemimpin Republikan yang terkemuka di negara itu pada tahun 1860, tetapi tewas di tangan Abraham Lincoln dalam penamaan calon parti. Seward bertungkus-lumus untuk pemilihan Lincoln dan diterima dalam Kabinet Lincoln sebagai Setiausaha Negara. Oleh sebab kemampuan Seward mengendalikan hal-ehwal luar negara, negara-negara Eropah tidak memberi sebarang bantuan kepada Negeri-Negeri Gabungan. Seward telah dicederakan oleh orang yang bersubahat dengan John Wilkes Booth pada malam Lincoln dibunuh. Dia mengambil masa yang lama untuk sembuh dan meneruskan tugasnya sebagai Setiausaha Negara di bawah Presiden Andrew Johnson. | UMUM | |
UJIAN TOKOKAN TEKANAN | Kaedah ujian telaga yang sering digunakan dalam industri petroleum. Tujuan ujian ini dilakukan adalah untuk mendapatkan keupayaan reservoir (kh) atau kebolehtelapan-tebal dan kulit (S) telaga. Kadangkala, tekanan purata reservoir juga diperoleh menerusi ujian ini. Untuk menjalankan ujian tokokan tekanan, mula-mula telaga ditutup sehingga tekanan reservoir menjadi stabil. Selepas itu, telaga dibuka dan dialirkan. Hal ini menyebabkan tekanan reservoir menyusut. Seterusnya telaga ditutup sekali lagi dalam sela masa tertentu. Semasa telaga ditutup, tekanan permukaan formasi diukur. Penutupan kali kedua ini menyebabkan tekanan reservoir bertambah. Itulah sebabnya ujian ini dinamai ujian tokokan tekanan.....Rujuk Ensiklopedia Sains dan Teknologi | KEJURUTERAAN | Kaedah |
BURGHLEY, LORD | Burghley, Lord ( 1520–1598) juga dieja Burleigh, ialah negarawan Inggeris. Burghley menguruskan hal ehwal luar dan dalam England semasa pemerintahan Ratu Elizabeth I, satu zaman yang sering dikenali sebagai Zaman Keemasan Inggeris. | UMUM | |
PAINE, THOMAS | Paine, Thomas (1737–1809) ialah penulis risalah, pejuang politik, dan penulis politik dan agama Amerika kelahiran Inggeris yang terkenal. Tulisannya mempengaruhi pemikiran politik pemimpin Revolusi Amerika, dan dia menjadi tokoh terkenal di Paris semasa Revolusi Perancis. Bekas Presiden Amerika Syarikat, John Adams menulis pada tahun 1806, “Saya tidak kenal sebarang orang di dunia yang lebih berpengaruh terhadap kehidupan atau hal ehwal yang berlaku di dunia selama 30 tahun yang lalu berbanding Thomas Paine”. | UMUM | |
SHARBINIY, SYAMS AL-DIN AL- | Sharbiniy, Syams al-Din al ( ? – 977 H. / ? –1569 M.), ahli fiqh mazhab Syafi‘i, ahli tafsir dan juga pakar nahu. Nama penuhnya ialah Muhammad ibn Ahmad al-Sharbiniy al-Qahiriy yang lebih dikenali dengan nama al-Khatib al-Sharbiniy Syams al-Din. Dia lahir di Kaherah dan berguru dengan para sarjana Mesir pada zamannya. Dia mengeluarkan fatwa dan mengajar ilmunya semasa guru-gurunya masih hidup. Orang sezamannya memperakui kebaikan, kelebihan dan kezuhudannya dalam hal keduniaan. Antara buku karangannya ialah al-Siraj al-Munir fi al-I‘anah ‘ala Ma‘rifat ba‘du Ma‘aniy Kalam Rabina al-Hakim al-Khabir, al-Fath al-Rabbaniy fi Hilliy Alfaz Tasrif ‘Izz al-Din al-Zanjaniy dan Sharh Minhaj al- Din li al-Jurjaniy fi Sha‘biy al-Iman. | UMUM | |
LAPORAN BIRU | LAPORAN BIRU, laporan tentang pentadbiran Brooke. Laporan Biru atau Blue Report bersifat komprehensif dan kritis dan disediakan oleh Captain Cyril Drummond Le Gros Clark, pegawai kanan Brooke, pada tahun 1934. Laporan ini siap dan diterbitkan pada tahun 1935. Le Gros Clark bertugas sebagai Setiausaha Hal Ehwal Cina dari tahun 1929 hingga tahun 1941. Pada tahun 1941, dia dinaikkan pangkat sebagai Ketua Setiausaha Negeri. Dia ditawan oleh pihak Jepun semasa perang Dunia Kedua, dan dibunuh oleh Jepun di Keningau, Sabah, sebelum pihak Jepun menyerah kalah. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Penerbitan |
TUANKU HAJI BUJANG TUANKU HAJI OTHMAN, TUN | TUANKU HAJI BUJANG TUANKU HAJI OTHMAN, Tun (1890-an – 1986), Yang Dipertua Negeri Sarawak yang kedua. Dia lahir di Sibu, Sarawak. Tuanku Bujang adalah daripada keturunan Arab-Melayu. Tuanku Bujang mendapat pendidikan Melayu dan pernah menjadi ketua anak negeri dalam perkhidmatan pentadbiran Brooke dan kemudian dinaikkan pangkat ke jawatan pegawai tadbir pada masa British. Semasa pendudukan Jepun, dia telah dilantik mewakili orang Melayu Sibu dan bertanggungjawab ke atas hal-ehwal orang Melayu (bersama-sama dengan Abang Haji Openg). Tuanku Bujang merupakan salah seorang pemimpin Melayu yang menentang penyerahan Sarawak kepada British pada tahun 1946. ini menyebabkan berlakunya perselisihan dengan Datu Bandar Abang Mustapha, pemimpin Melayu yang propenyerahan. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |