PILIH ATUR DAN GABUNGAN | Pilih atur dan gabungan ialah nama yang digunakan oleh ahli matematik untuk merujuk kepada kumpulan objek atau simbol tertentu. Pilih atur ialah susunan teratur satu set objek. Contohnya, ABC, ACB dan BAC adalah tiga pilih atur set simbol A, B dan C. Gabungan ialah kumpulan yang mencakupi objek yang sama tidak kira aturannya . Set ABC, ACB, dan BAC kesemuanya adalah merupakan contoh-contoh gabungan yang sama. Set-set seperti ABC, ABD, dan ACD adalah contoh gabungan yang berbeza. | UMUM | |
SURABAYA | Surabaya (pend. 2 159 170) ialah bandar raya kedua terbesar di Indonesia selepas Jakarta. Ia juga merupakan ibu provinsi Jawa Timur. Surabaya adalah pusat industri dan perniagaan utama. Pelabuhannya, Tanjung Perak adalah sebuah pangkalan tentera laut utama Indonesia dan satu daripada pusat pelayaran yang penting. | UMUM | |
SWAMMERDAM, JAN | Swammerdam, Jan (1637–1680) ialah pakar anatomi dan zoologi Belanda. Dia merupakan perintis bidang ilmu anatomi binatang kecil, terutama anatomi serangga. Pemerhatiannya yang teliti tentang cara kehidupan lebah dan maifli merupakan hasil kerja yang klasik. Malahan usahanya mengklasifikasikan serangga menjadi asas pengkajian ilmu entomologi iaitu ilmu kajian serangga. Selain itu, dia adalah antara orang yang mula-mula membuat pemerhatian tentang fisiologi saraf dan otot. | UMUM | |
TERUSAN KIEL | Terusan Kiel adalah jalan air yang merupakan jalan pintas bagi kapal-kapal yang belayar dari Laut Utara ke Laut Baltik. Pada suatu masa dahulu, ia dikenali sebagai Terusan Kaiser Wilhelm. Nama Jerman yang rasmi ialah Nord-Ostsee-Kanal (Terusan Laut Utara-Timur). Ia memendekkan pelayaran mengelilingi Denmark dengan jarak melebihi 480 kilometer. Terusan ini terletak di utara Jerman. Ia bermula dari Brunsbüttelkoog di muara Sungai Elbe hingga Holtenau berhampiran Kiel, iaitu bandar pelabuhan Baltik. Terusan ini dinamakan serupa nama bandar pelabuhan Kiel. Pembinaan Terusan Kiel dimulakan oleh kerajaan Jerman pada tahun 1887, dan siap pada tahun 1895. Semenjak itu, terusan ini telah diperluaskan. Julat kelebaran terusan ini ialah antara 102 meter hingga 162 meter, dalamnya 11 meter dan panjangnya 98.5 kilometer. Bom-bom tentera Berikat merosakkan terusan ini semasa Perang Dunia II (1939–1945). | UMUM | |
MINOR | Minor adalah orang yang masih di bawah umur. Di kebanyakan negara, umur yang sah dari segi undang-undang ialah 21 tahun. Namun kini, banyak negara telah mengurangkan umur itu kepada 18 tahun. Umur dewasa adalah umur ketika seseorang itu layak untuk mengundi, dan berkahwin tanpa meminta keizinan ibu bapa. Ia juga merupakan umur seseorang itu perlu bertanggungjawab terhadap perbuatannya. | UMUM | |
NABI MUSA A.S. | Nabi Musa a.s. ialah nabi dari kalangan Bani Israel , juga merupakan (Utusan Allah) bagi mereka. Namanya ialah Musa ibn ‘Imran tetapi bukan abang Maryam binti ‘Imran (Ibu Nabi Isa a.s.) seperti anggapan sesetengah orang. Ini adalah kerana perbezaan masa di antara kedua-duanya beratus- ratus tahun. Baginda diutuskan oleh Allah SWT. kepada Firaun dan kaumnya yang amat menyombongkan diri dan suka membuat kerosakan. Baginda juga salah seorang nabi yang paling kerap disebut dalam al-Qur'an, malah disebutkan kisah baginda secara terperinci di beberapa tempat dalam al-Qur'an. Beberapa ayat yang lain turut menceritakan kehidupan Nabi Musa a.s. secara ringkas. Antaranya, firman Allah yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Qur'an) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya dia adalah orang pilihan, dan seorang Rasul lagi nabi. Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Thur Sina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata-kata dengan Kami. Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya Harun yang juga seorang nabi”. (Surah Maryam 19:51–53) | UMUM | |
MENCIUS | Mencius (390? S.M.–305? S.M.) ialah ahli falsafah Cina yang utama. Dia merupakan salah seorang tokoh yang paling berpengaruh dalam perkembangan falsafah Cina yang dikenal sebagai Konfusianisme. Mencius paling terkenal kerana keyakinannya bahawa sifat semula jadi manusia adalah baik. Dia juga percaya bahawa rakyat sesebuah negara mempunyai alasan apabila menggulingkan atau malahan membunuh raja yang zalim. Mencius mentakrifkan raja yang zalim sebagai orang yang mengabaikan kebajikan rakyat dan memerintah mereka dengan tidak bertimbang rasa. Kebanyakan gagasan Mencius terdapat dalam Mengzi (juga dieja Meng-tzu), buku yang mungkin merupakan koleksi ajarannya. | UMUM | |
SYAWAL | Syawal ialah bulan ke-10 mengikut takwim Hijrah yang digunakan di sesetengah negara Islam. Bulan Syawal adalah selepas bulan Ramadan dan merupakan bulan permulaan bagi mengerjakan haji yang bermula dari 1 Syawal hingga ke-10 Zulhijah. Ia mendapat nama pada zaman datuk Nabi Muhammad s.a.w. yang kelima, iaitu Kilab ibn Murrah kira-kira pada tahun 412 M. | UMUM | |
MISSISSIPPI | Mississippi ialah sebuah negeri di selatan Amerika Syarikat. Kawasan ini dahulunya merupakan kawasan pertanian dan pekan kecil. Mississippi kini menjadi negeri perindustrian dan bandar yang sibuk. Jackson adalah ibu negeri Mississippi dan bandar terbesar. | UMUM | |
NEW PLYMOUTH | New Plymouth (pend. 48 519) ialah sebuah bandar di Pulau Utara, New Zealand. Bandar ini merupakan bandar utama dan pelabuhan Taranaki, yang pernah satu masa dahulu dinamai provinsi New Plymouth . New Plymouth menjadi pangkalan pengeluar gas luar pantai yang amat besar. Bandar yang terletak di bawah cerun utara Gunung Egmont ini mempunyai beberapa pantai. Taman Pukekura, adalah salah satu taman yang mempunyai pemandangan yang paling indah di New Zealand. Muzium Taranaki dan balai seni lukis terletak berhampiran pusat bandar. Gereja St. Mary, yang dibuka pada tahun 1846, merupakan salah satu gereja batu tertua di New Zealand. | UMUM | |